Banjir: Guru, murid SK Kemasik di Terengganu diberi cuti bencana
- Admin UKK
- Berita
Kuala Terengganu: Kira-kira 900 murid dan 60 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Chukai di Kemaman, yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) diberi cuti bencana.
Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu Jelani Sulong berkata, cuti bencana itu diberikan selepas sebahagian bilik darjah digunakan sebagai tempat berlindung kira-kira 383 mangsa bencana banjir.
"Semua guru serta murid Tahun Satu hingga Enam diberi cuti bencana sehingga keadaan pulih sepenuhnya," katanya.
Selain SK Kemasik, Jelani berkata, satu lagi sekolah iaitu SK Teluk Kalong turut dijadikan PPS tetapi sesi persekolahan diteruskan seperti biasa kerana tidak menggunakan terlalu banyak kelas.
Katanya, sebanyak 90 sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri ini dijadikan PPS untuk menempatkan mangsa banjir.