Redah banjir 700 meter ke PPS
- Admin UKK
- Berita
KUALA BERANG: Enam sekeluarga meredah banjir sejauh 700 meter untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Kemat semalam, selepas pekarangan kediaman mereka dinaiki air.
Zahriel Mohd Fahd Abdul Ghani, 42, bersama isteri, dua anak berusia lapan dan 10 tahun serta bapa dan ibu mentua, bergerak ke PPS kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Beliau berpindah selepas menyedari air naik dengan cepat di pekarangan rumahnya susulan hujan berterusan sebelum subuh semalam.
"Pada 2022, rumah didiami bersama mentua ditenggelami banjir sedalam empat meter, jadi saya lebih beringat.
"Jarak ke PPS di Balai Raya Kampung Kemat kira-kira 700 meter dari rumah dan perlu melalui kebun kelapa sawit.
"Walaupun petang, susah nak nampak jalan sebab hujan lebat," katanya.
Wahab Ali, 69, menjadi orang pertama berpindah ke PPS Kampung Kemat setiap kali banjir melanda kampungnya.
"Rumah saya di kawasan rendah terdedah dengan risiko banjir saban tahun.
"Hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan Sungai Kemat melimpah hingga menenggelamkan rumah saya bersama keluarga.
"Melihat air semakin naik, saya suruh anak bawa cucu ke PPS manakala saya pasang besi perancah untuk menempatkan barangan bagi mengelak ditenggelami.
"Selepas selesai, barulah saya ke PPS tidak jauh dari rumah. Setiap tahun, memang kami sekeluarga yang pertama sampai ke PPS Kampung Kemat," katanya.