PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir: 10 keluarga dipindahkan ke PPS di Johol

Banjir: 10 keluarga dipindahkan ke PPS di Johol

KUALA PILAH - Seramai 44 mangsa banjir membabitkan 10 keluarga di sekitar kawasan Johol di sini dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Dangi pada Sabtu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Pilah, Leftenan Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, jumlah tersebut masih tidak berubah setakat petang Ahad.

"Terdapat 10 keluarga ditempatkan di PPS ini termasuk dua orang kurang upaya (OKU) dan seorang bayi lelaki.

"Keadaan cuaca ketika ini mendung dan masih hujan, jadi kita tidak benarkan mereka pulang buat masa ini.

"Bagaimanapun kita akan pantau daripada masa ke masa keadaannya dan bergantung kepada cuaca pada esok hari," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, satu lagi PPS turut dibuka di Tampin membabitkan 19 mangsa yang mana ketika ini terdapat enam mangsa masih berada di lokasi.

Media sebelum ini melaporkan hujan berterusan pada Sabtu menyebabkan beberapa lokasi sekitar Kuala Pilah dan Tampin dinaiki air.

Berikutan itu, Jalan Batang Melaka-Gemencheh di Tampin ditutup untuk semua kenderaan akibat banjir kilat pada paras hampir satu meter di kawasan itu.

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Gemas-Tampin dan Jalan Mantai-Air Kuning Selatan-Sungai Dua untuk ke destinasi masing-masing.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar, misi bantuan banjir terus digerakkan dengan kerjasama Majlis Daerah Tampin, pasukan pengakap serta sukarelawan.

"Lebih 50 individu dipecahkan ke beberapa lokasi di sekitar pekan Gemencheh, termasuk Taman Muhibbah, Bukit Rokan, Kampung Tengah dan Kampung Gedok," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search