PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

NADMA jalin kerjasama dengan NCEMA UAE - TPM Ahmad Zahid

NADMA jalin kerjasama dengan NCEMA UAE - TPM Ahmad Zahid

ABU DHABI: Pengalaman Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam menangani cabaran bencana dan krisis agak kompleks berbanding bencana yang kerap berlaku di Malaysia seperti banjir, tanah runtuh dan jerebu akibat kemarau serta kebakaran hutan.
Pengalaman negara itu yang menggunakan kepakaran teknologi seperti kecerdasan buatan( AI), data raya, dron dan belon beresolusi tinggi juga dilihat berupaya memberikan pengetahuan berguna kepada Malaysia.
 
Ini terutamanya bagi memperkukuhkan kesiapsagaan menghadapi bencana serta menyediakan sistem amaran awal yang menyeluruh kepada kawasan yang rentan bencana.
 
Ketika pertemuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohamed Al Mazrouei, pelbagai peluang kerjasama dibincangkan terutamanya dalam perkara berkaitan pengurusan bencana di kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin bersetuju peluang kerjasama wajar diterokai antara Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) dan Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis dan Bencana Nasional (NCEMA) UAE.
 
Ketika lawatan Ahmad Zahid ke ibu pejabat NCEMA di Abu Dhabi, beliau dan rombongan turut diberikan taklimat berkenaan fungsi dan operasi NCEMA oleh Naib Presiden NCEMA UAE, Obaid Rashid Al Hassan Al Shamsi.
“Kita mempunyai sistem amaran awal dengan kerjasama METMalaysia, di UAE suasananya berbeza kerana iklim panas dan keadaan negara berpadang pasir, kita negara yang terdedah kepada dua musim monsun, soalnya bagaimana koordinasi ini dilakukan.
"Ada persamaan di mana kita mempunyai jawatankuasa peringkat nasional, negeri dan daerah. Mereka juga ada sistem yang sama di peringkat nasional, dan tujuh wilayah Emirates dan beberapa daerah lain.
”Keperluan mendesak kita iaitu kita memulakan penggunaan AI, tetapi mereka lebih awal dari itu, mungkin kita boleh pelajari sama-sama dan dari sistem komunikasi yang mereka lakukan ketika krisis dan penglibatan sukarelawan.
"Kita sedia maklum UAE ramai pekerja asing dari pelbagai negara bahasa dan budaya berbeza tetapi kaedah-kaedah tertentu untuk komunikasi digunakan untuk kumpulan berbeza," kata Ahmad Zahid ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu kata Ahmad Zahid, Malaysia juga menyarankan agar program latihan dapat dilakukan NCEMA UAE dan NADMA bersama dengan NCEMA menghantar pasukan elit penyelamat mereka untuk tujuan latihan (training for trainers) dan Malaysia menghantar pasukan elit SMART untuk latihan di UAE, khusus untuk mempelajari dan bertukar pengetahuan berkaitan pengurusan bencana.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kini dalam rangka lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bermula Rabu hingga 19 November ini.
 
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search