BANJIR PULIH, PPS DI RAUB DAN LIPIS DITUTUP
- Admin UKK
- Berita
KUANTAN, 12 NOVEMBER 2024 : Keadaan banjir di Raub dan Lipis kini pulih sepenuhnya dengan kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah berkenaan ditutup sepenuhnya hari ini.
Seramai 441 mangsa daripada 127 keluarga yang ditempat di enam PPS di Raub dan dua PPS di Lipis telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, Kapt (PA) Samsuddin Kambade berkata, enam PPS yang menempatkan 223 mangsa daripada 66 keluarga telah dibuka sejak Ahad lalu dan telah tutup sepenuhnya jam 9 pagi tadi.
Menurutnya, PPS yang dibuka di Raub berkenaan adalah PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, PPS Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, PPS Pusat Kegiatan Kemas Gali Tengah, PPS Balairaya Kampung Sungai Ruan, PPS Balairaya Kampung Sungai Pasu, PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Fallah dan PPS Masjid Kampung Pintu Padang.
Manakala Sekretariat JPBD Lipis memaklumkan, sebanyak 230 mangsa daripada 64 keluarga telah ditempatkan di PPS Lipis yang dibuka sejak semalam juga akan ditutup hari ini secara berperingkat.
PPS terbabit adalah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kechau Tui yang menempatkan 144 mangsa dari 36 keluarga dan Dewan Semai Bakti Felda Kechau 1 yang menempatkan 86 mangsa dari 28 keluarga. -PAHANGMEDIA