Dua warga emas diselamatkan selepas rumah dilanda banjir
- Admin UKK
- Berita
Raub: Seorang lelaki berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 75 tahun dan wanita berusia 70 tahun diselamatkan selepas rumah mereka di Kampung Ulu Gali, di sini, dinaiki air, hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub yang menerima maklumat segera memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka pagi tadi.
"Mangsa OKU yang kudung kaki dari Kampung Ulu Gali dihantar ke PPS Kemas Ulu Gali pada jam 1 tengah hari manakala wanita warga emas yang tinggal di kampung sama dipindahkan pada jam 1.45 tengah hari," katanya.
Sementara itu, sehingga jam 3 petang, PPS Dewan Orang Ramai Tok Machang menempatkan seramai 95 mangsa banjir yang meningkat berbanding 89 mangsa pagi tadi.
PPS Dewan Orang Ramai Ulu Gali turut menunjukkan peningkatan daripada 10 mangsa kepada 26 orang.
Mangsa banjir di PPS Kemas Ulu Gali Tengah juga meningkat apabila seramai 33 mangsa dipindahkan berbanding 26 mangsa pada jam 12 tengah hari.