PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Lindungi risiko kerugian

Lindungi risiko kerugian

Sungai Besar: Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) menerusi Bank Pertanian Malaysia (AgroBank) diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyuntik semangat pesawah mempertahankan tanaman padi yang menjamin sekuriti makanan negara.

Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) ini dikendalikan oleh Agro Captive Takaful Limited (ACTL) yang merupakan anak syarikat milik penuh AgroBank.

Inisiatif menjadi skim takaful patuh syariah pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara itu menarik perhatian mereka kerana ia melindungi risiko kerugian akibat bencana alam seperti banjir, kemarau, serangan penyakit serta makhluk perosak sering mengancam tanaman padi.

Menariknya, hanya tanaman padi sahaja dilindungi dengan pesawah layak menyertai STTP adalah warganegara berumur lebih 18 tahun, menjalankan aktiviti di kawasan ditetapkan dan berdaftar di bawah Skim Baja Kerajaan Persekutuan (SBPKP) serta pemegang akaun (deposit atau pembiayaan) AgroBank.

Pesawah, Imran Kasri, 40, berkata, dia teruja mengisi borang STTP apabila dimaklumkan pelbagai manfaat bakal diterima selain memberitahu kepada rakan lain.

"Saya sendiri mengusahakan 12 hektar sawah sejak 18 tahun lalu. Setiap musim saya dan pesawah lain berdepan pelbagai cabaran dan dugaan dari menanam hingga menuai padi. Dengan adanya STTP, saya bersyukur dan berterima kasih dengan keprihatinan pihak bertanggungjawab mendengar luahan pesawah. Paling penting komitmen kami selepas ini untuk mengusahakan sawah dengan lebih bersemangat," katanya ditemui di Parit 11 Timur di sini.

Bapa empat anak berusia tujuh hingga 15 tahun itu juga melahirkan keyakinan untuk meningkatkan mutu padi di kawasan Sungai Besar yang kini berada dalam keadaan kritikal.

"Sejak 10 tahun lalu, hasil padi semakin menurun. Sebelum ini, kami boleh memperoleh hasil sekitar lapan hingga 10 tan namun sekarang tinggal sekitar tiga ke empat tan sahaja.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana padi adalah sekuriti makanan negara. Walaupun tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku (risiko) akan datang, kami perlu komited mempertahankan tanaman ini," katanya.

Bagi rakannya, Shaharudin Ibrahim, 49, STTP dilihat memberi jaminan kepada pesawah sekiranya perkara tidak diingini berlaku seperti bencana alam.

"Kami tidak minta ia datang, tapi sekurang-kurangnya terjaminlah sedikit dengan adanya inisiatif ini.

"Walaupun masih baru dalam kalangan pesawah, saya akan mempromosikan STTP kepada rakan lain kerana ini peluang keemasan yang perlu direbut," katanya.

Bapa tiga anak berusia 21 hingga 26 tahun yang mengusahakan sawah sejak 10 tahun lalu memuji kesungguhan AgroBank dalam membela nasib pesawah.

Untuk rekod, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM50 juta bagi memastikan pesawah terbabit menerima perlindungan kewangan mencukupi apabila berdepan kerugian hasil tanaman akibat bencana.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AgroBank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dilaporkan berkata, skim perlindungan ini memberi manfaat besar kepada pesawah yang sering terdedah kepada risiko cuaca buruk dan penyakit tanaman.

Menurut beliau, skim itu menawarkan perlindungan kewangan sehingga RM3,000 bagi setiap pesawah yang mengalami kerosakan tanaman akibat bencana alam seperti banjir atau kemarau. Selain itu, bagi serangan penyakit dan makhluk perosak, perlindungan sehingga RM1,500 ditawarkan bagi setiap hektar semusim.

Tambah beliau, jumlah perlindungan ini lebih tinggi berbanding tabung bencana sedia ada yang secara tidak langsung membantu meringankan beban pesawah berdepan situasi genting.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search