Tabika Kemas siap sedia hadapi musim tengkujuh di Terengganu
- Admin UKK
- Berita
Kuala Terengganu: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sudah mengeluarkan arahan dan garis panduan kepada kakitangan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Pengarah Kemas Terengganu Dr Faridah Mat berkata, kelas-kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) antara paling terkesan apabila berlaku banjir.
Menurutnya, dianggarkan antara 100 hingga 125 kelas Tabika Kemas mengalami kerosakan akibat ditenggelami banjir hingga menjejaskan antara 2,500 hingga 3,125 murid pada MTL, tahun lalu.
Katanya, Tabika Kemas yang sering terjejas akibat banjir di Terengganu adalah di Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.
"Ia membabitkan kawasan-kawasan pedalaman yang sering dilanda banjir besar hingga ada tabika yang hanya kelihatan bumbung sahaja akibat ditenggelami air.
"Justeru, kita meminta semua guru dan kakitangan Kemas terutama di kawasan berisiko membuat persiapan awal dengan mengalihkan dokumen penting, barangan elektrik dan berharga ke tempat lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan BGL Kemas Negeri Terengganu, di Kalang Warisan, Pulau Manis, Serada, di sini, hari ini.
Menurutnya, terdapat sebanyak 856 tabika dengan bilangan kanak-kanak seramai 18,000 orang di negeri ini.
"Ada tabika yang mengalami kerosakan setiap kali berlaku banjir dan ia akan dibaiki bagi menjamin pembelajaran kanak-kanak tidak terjejas.
"Justeru, persiapan awal sudah dilakukan bagi mengurangkan impak kerosakan terhadap dokumen dan peralatan yang digunakan dalam sesi pembelajaran," katanya.