PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

KPKM laksana pembenihan awan, elak tanaman padi Kelantan terjejas

KPKM laksana pembenihan awan, elak tanaman padi Kelantan terjejas

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan Operasi Pembenihan Awam (OPA) selama tiga hari bermula 21 Jun sehingga 23 Jun untuk meningkatkan paras air semasa Sungai Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pendekatan berkenaan dilakukan susulan sungai itu menjadi sumber utama pengairan kawasan penanaman padi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

 

Menurutnya, ia secara langsung memberi manfaat kepada hampir 3,400 pesawah yang mengusahakan aktiviti penanaman padi di kawasan tersebut.

“Sekiranya OPA ini tidak berjaya, penanaman (padi) tidak akan berlaku pada musim ini. Jadi kita akan kekurangan lebih kurang empat peratus bekalan padi.

“Bagaimanapun, negeri lain tidak berada pada tahap yang cemas,” katanya ketika majlis Penerbangan OPA hari terakhir di Bangunan Pergerakan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang pada Ahad.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Seterusnya, Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Yusri Jamari TUDM serta pegawai-pegawai kanan KPKM, Nadma, TUDM, MetMalaysia dan KADA.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meluluskan penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) sebanyak RM5 juta bagi menjayakan OPA di Kelantan.

Menurutnya, operasi itu susulan permohonan daripada KADA dan dilaksana melalui penyelarasan antara Nadma, KPKM, MetMalaysia dan TUDM.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, OPA tersebut adalah tindakan awal dilakukan kerajaan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September ini.

Mohamad berkata, OPA itu merupakan tindakan interim daripada KPKM bagi menangani isu kekurangan bekalan air untuk penanaman padi.

Jelasnya, pelbagai inisiatif telah diberikan kepada pesawah meliputi bantuan pam seperti pam mudah alih, booster pump dan backwork pump serta pembinaan tubewell.

Ketika ditanya mengenai operasi susulan sekiranya pelaksanaan OPA kurang memberangsangkan, Mohamad memberitahu bahawa KPKM ada merangka operasi di darat seperti pam bergerak dan pembinaan tubewell di beberapa lokasi berhampiran KADA.

Mengulas lanjut mengenai perihal tersebut, Lokman Hakim berkata, kementerian berkenaan telah mengenal pasti 280 lokasi di sekitar KADA untuk pembinaan tubewell.

“Kita telah buat (bina) beberapa dalam masa terdekat ini. Ada dalam dua tiga yang telah kita laksanakan dan boleh lihat di tubewell itu mempunyai air yang boleh digunakan.

“Kita akan lihat perkembangan dalam tempoh dua ke tiga hari lagi,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search