KOTA SAMARAHAN: Sarawak mempunyai jumlah kawasan berisiko banjir paling tinggi iaitu sebanyak 1,066 atau kira-kira 19 peratus daripada keseluruhan 5,648 lokasi 'hot spot' (titik panas) banjir yang dikenal pasti di seluruh Malaysia.
Justeru, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata bagi menghadapi situasi bencana terutamanya di sepanjang fasa Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) sudah merangka satu pelan pengurusan banjir iaitu Kitaran Pengurusan Kecemasan yang meliputi empat aspek utama.
Katanya, aspek pertama membabitkan mitigasi, yang merangkumi Tindakan Selepas Semakan (AAR) dan bedah siasat, penambahbaikan, kajian kawasan berisiko dan kajian logistik serta kelengkapan kebombaan dan penyelamatan.
Aspek kedua ialah persediaan membabitkan kesiapsiagaan peralatan dan kelengkapan, penjajaran keanggotaan dan shif kerja pegawai, pengaktifan Pangkalan Hadapan Wilayah, Penubuhan Pasukan Gerak Cepat MTL Red Team, latihan antara agensi, pemantauan situasi cuaca, latihan dalaman serta pendidikan awam.- BERITA HARIAN
26 Julai 2023 - Seminar Pengurusan Bencana Disaster Management Working Group (DMWG) MAL-THAI merupakan program bilateral yang diadakan dua kali setahun secara bergilir antara Malaysia dan Thailand. Seminar ini merupakan salah satu program dan inisiatif bagi tahun 2023 oleh Kumpulan Kerja Pengurusan Bencana (DMWG) Malaysia/Thailand berlandaskan kepada arahan-arahan yang dikeluarkan bagi mencapai objektif perjanjian 18 Mei 2000 yang telah termeterai antara Kerajaan Malaysia dan Thailand. Seminar ini telah diadakan di Kroh Hot Spring And Riverview, Pengkalan Hulu, Perak pada 26 Julai 2023.
Seminar ini dihadiri oleh En Addyhanis bin Ahamad, Pengarah, Seksyen Penyelarasan Operasi (SPeO), NADMA selaku Pengerusi DMWG Malaysia (MJC), En Nazaruddin bin Sharaai, Pengarah NDCC, NADMA selaku penceramah dan Mej Wazirudin bin Mahfot @ Mahbott, Penolong Pengarah Kanan (SPeO), selaku urusetia. Seramai 20 wakil agensi daripada Malaysia yang turut hadir dalam seminar ini adalah agensi-agensi dari Negeri Perak seperti PDRM, ATM, JBPM, APM, KKM, Kastam, Imigresen, JKM, PBSM dan MKN Negeri. Seramai 19 delegasi daripada Thailand turut hadir pada seminar ini. Pihak Malaysia-Thailand Border Coordination Office (MTBCO) selaku urusetia bagi seminar ini.
Acara pembukaan dirasmikan oleh Mr Eak Youngapai Na Songkla (District Officer of Betong). Manakala acara penutup dirasmikan oleh En Addyhanis bin Ahmad (Pengarah SPeO, NADMA). Seminar ini memfokuskan kepada bencana tanah runtuh bagi kawasan Pengkalan Hulu, Perak (Malaysia) dan Betong, Yala (Thailand). Ceramah bertajuk "Pengurusan Risiko Tanah Runtuh" yang disampaikan oleh Dr Ferdaus bin Ahmad dari JMG. Manakala ceramah bertajuk "Fungsi dan Peranan NDCC" disampaikan oleh En Nazaruddin bin Sharaai (Pengarah NDCC NADMA).
Joint Initial Planning Conferrence IPC SAREX MALINDO KE-42 antara Malaysia dan Indonesia 2023
- Admin UKK
- Korporat
26 Julai 2023 - Joint Initial Planning Conferrence IPC SAREX MALINDO KE-42 antara Malaysia dan Indonesia 2023 di Porta Hotel by Ambarukkmo, Yogyakarta, Indonesia. IPC ini telah dihadiri oleh wakil NADMA iaitu Tuan Rusli Bin Ibrahim & Supt. Al Amin Mukammal bin Abdul Razak. IPC ini telah dipengerusikan secara bersama oleh Laksamana Madya Agus Haryoni, Director of SAR Preparedness of BASARNAS dan En. Suresh a/l V.B Menon, Pengarah Bahagian Operasi Navigasi Udara CAAM. Tarikh SAREX MALINDO ke 42 ini akan diadakan pada 19-22 September 2023 melibatkan dua lokasi iaitu di Pontianak, Indonesia & Kuching, Sarawak. NADMA memainkan peranan sebagai exercise planner dan telah melontarkan idea dan cadangan berkaitan exercise semasa sesi IPC SAREX MALINDO KE-42 ini.
PUTRAJAYA: Seramai 250 petugas pasukan penyelamat bagi misi bencana di Turkiye pada Februari lalu menjadi kumpulan pertama menerima Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan.
Pingat itu pertama kali diwujudkan bagi mengiktiraf dan menghargai jasa, bakti serta pengorbanan anggota-anggota penyelamat yang terbabit misi bencana dan menyelamat di luar negara.
Majlis penganugerahan itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Armizan dalam ucapannya berkata, pingat itu bagi mengiktiraf peranan disumbangkan oleh wira-wira negara sewaktu berada di Turkiye yang terdiri daripada pelbagai anggota pasukan penyelamat.
“Ia termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Katanya, pasukan pertama petugas penyelamat negara mula digerakkan ke Turkiye pada 6 Februari lalu bagi menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap akibat gempa bumi di Gaziantep.
Armizan berkata, pasukan penyelamat Malaysia berjaya menyelamatkan lima mangsa yang masih hidup dan mengeluarkan 47 mangsa yang meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berhadapan dengan beberapa cabaran yang agak mencabar antaranya cuaca ekstrem di lokasi bencana, koordinasi logistik dan pengangkutan serta perbezaan bahasa dan budaya,” katanya.
Pada masa sama, katanya, ATM menghantar seramai 110 orang pasukan perubatan bagi mengendalikan Hospital Medan Malaysia (HMM) bermula dari 15 Februari hingga 23 Mac lalu.
Katanya, seramai 2,415 pesakit berjaya dirawat termasuk 83 kes pembedahan.
“Sumbangan yang dicurahkan ini mengharumkan nama dan melonjakkan lagi imej Malaysia di pentas antarabangsa yang sudah pasti membanggakan kita semua.
“Ia akan menjadi tanda aras kepada Malaysia semasa menyertai SAR di luar negara pada masa akan datang,” katanya - UTUSAN