PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen ICT

8 lokasi berisiko banjir di LPT 2

MARANG – Pengendali Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2), LPT 2 Sdn. Bhd. bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula 5 November lalu.

Pengurus Wilayah LPT 2, Mohamad Pazli Kasim berkata, tumpuan akan diberikan terhadap lapan kawasan berisiko ditenggelami bah atau lintasan air di sepanjang laluan sepanjang 184 kilometer (km) tersebut.

“Tiga lokasi berisiko itu berada di dalam kawasan lebuh raya, dua selepas plaza tol dan tiga di luar kawasan lebuh raya.

“Antara lokasi utama adalah persimpangan bertingkat Plaza Tol Bukit Besi, Dungun dan Kilmeter (KM) 373, LPT 2 kedua-dua arah berhampiran Ajil, Hulu Terengganu,” katanya di Dataran Batu Putih di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui pada program Hari Komuniti MyPlus anjuran LPT 2 yang juga anak syarikat Plus Expressways Berhad.

Mohamad Pazli berkata, pihaknya menyediakan pelan mitigasi termasuk menyediakan laluan kontra sekiranya lokasi terlibat terjejas banjir dan lintasan air kelak.

Tambah beliau, maklumat terkini juga sentiasa disalurkan pengguna LPT 2 menerusi pelbagai medium media sosial.

“Kita juga telah mengambil langkah awal membina tembok penahan banjir di dua lokasi pernah berlaku tanah runtuh pada musim tengkujuh sebelum ini.

“Selain itu penanda aras banjir juga telah dipasang terutama di lokasi berisiko selain pemantauan cerun dan saliran LPT 2 secara berkala,” katanya. – KOSMO! ONLINE

883 sekolah di seluruh negara berisiko banjir - KP Pendidikan

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 883 sekolah termasuk rendah dan menengah dikenal pasti berisiko dilanda banjir di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 227 sekolah di Sarawak, Sabah (208 buah), Pahang (93 buah), Kelantan (91 buah), Terengganu (90 buah) dan Perak (45 buah).

Beliau berkata selain itu, di Selangor sebanyak 42 sekolah dikenal pasti berisiko diikuti Kedah (23 buah), Kuala Lumpur (19 buah), Johor (19 buah), Pulau Pinang (15 buah), Negeri Sembilan (10 buah) dan Melaka (sebuah).

Sehubungan dengan itu, pihaknya telah mengambil langkah awal untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula bulan ini hingga awal tahun depan.

"Pihak Kementerian Pendidikan (KPM) telah membuat pelancaran kesiapsiagaan menghadapi MTL 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Garuda, Kuantan, Pahang pada 28 Oktober lepas.

"Kita sudah bersedia sepenuhnya dengan mengaktifkan jawatankuasa sedia ada pada peringkat negeri, daerah dan kebangsaan. Di Terengganu sendiri sebanyak 80 sekolah bersedia untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) jika berlaku banjir," katanya selepas merasmikan Majlis Sekalung Budi Sejunjung Kasih Kenangan Abadi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu 2024 di sini hari ini.

Azman berkata, pihaknya juga telah meningkatkan kerjasama dengan agensi lain dan menambah penglibatan warga KPM sebagai sukarelawan banjir.

"KPM turut menyediakan perkhidmatan kauseling menerusi Smart Support Team (SST) dan Academic Suppport (AST) bagi membantu dari aspek sokongan moral. Kit sukarelawan juga disediakan untuk kerja-kerja pembersihan pascabanjir," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Sekalung Budi Sejunjung Kasih Kenangan Abadi diadakan bagi meraikan 929 anggota perkhidmatan awam KPM yang bakal dan telah bersara tahun lepas dan tahun ini. - Bernama

Thailand setuju jika Malaysia bina tembok keselamatan, banjir sepanjang sempadan

NARATHIWAT - Kerajaan Thailand menyambut baik cadangan kerajaan Kelantan untuk mengusulkan kepada Kerajaan Pusat mengenai pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir di sepanjang kawasan sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang.

Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Thotham berkata, pembinaan tembok berkenaan akan menjadi langkah penting dalam menangani pelbagai isu jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata, tembok yang sedia ada di sepanjang Sungai Golok telah membantu mengurangkan aktiviti penyeludupan dan pencerobohan sempadan secara haram.

"Jika Malaysia bersetuju dengan pembinaan tembok berkenaan, Thailand juga bersetuju kerana dengan adanya tembok itu masalah banjir akibat limpahan air Sungai Golok yang masuk ke Rantau Panjang akan dapat dikawal,” katanya kepada pemberita dalam sesi lawatan khas pertemuan media Kelantan bersama gabenor wilayah negara itu, baru-baru ini.

Pada 5 November lepas, kerajaan Kelantan merancang untuk mengusulkan kepada Kerajaan Pusat mengenai pembinaan tembok sepanjang kira-kira 100 kilometer di sempadan negeri itu dengan Thailand.

Usaha ini dianggap penting untuk menangani masalah jenayah penyeludupan serta mengurangkan risiko banjir yang berulang. - Bernama

Malaysia, UAE teroka potensi kerjasama NADMA, NCEMA - Ahmad Zahid

ABU DHABI: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedang meneroka kemungkinan kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Malaysia (NADMA) dan Pihak Berkuasa Pengurusan Krisis dan Bencana Kecemasan Kebangsaan (NCEMA) UAE.

NCEMA ialah pihak berkuasa terkemuka UAE di bawah Majlis Tertinggi bagi Keselamatan Negara dengan kepakaran luas dalam pengurusan krisis merentas sektor.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengalaman UAE dalam menangani cabaran bencana yang kompleks menawarkan pandangan yang tidak ternilai ketika kerajaan berusaha untuk memperkukuh tahap kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi bencana.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, saya melihat ini adalah nilai tambah yang baik buat Malaysia, mempelajari amalan pengurusan krisis seperti UAE. Melalui langkah strategi yang tepat, kita dapat meningkatkan ketahanan untuk melindungi masyarakat dan infrastruktur dengan lebih baik.

“Hari ini saya mempelajari tentang pengurusan bencana, dan yang paling penting adalah bagaimana sistem yang dilaksanakan itu (oleh UAE) menggunakan teknologi terbaharu,” katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat NCEMA di sini hari ini.
 

Ahmad Zahid berkata terdapat persamaan antara kedua-dua negara, dengan Malaysia mempunyai jawatankuasa di peringkat nasional, negeri serta daerah bagi pengurusan bencana, yang merupakan struktur hampir sama dengan negara UAE.

“Yang paling penting adalah bagaimana koordinasi dan tindakan-tindakan segera itu dilakukan. Apa yang dapat kita pelajari, dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) memberikan analisis berhubung sesuatu krisis,” katanya.

Rabu, Timbalan Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE Suhail Mohamed Al Mazrouei, sempena lawatan rasmi beliau selama tujuh hari bermula semalam ke negara Teluk itu, yang memfokuskan kepada pelbagai kerjasama, khususnya dalam pengurusan bencana.

Ahmad Zahid berkata NADMA telah mengemukakan beberapa cadangan untuk meningkatkan keupayaan pengurusan bencana Malaysia, termasuk melalui Pemerhatian Bumi (EO) menggunakan imejan satelit bagi mengumpul data kritikal mengenai corak cuaca, paras laut dan keadaan persekitaran, memberikan amaran awal tentang potensi bencana.

NADMA turut mencadangkan Sistem Platform Altitud Tinggi (HAPS), yang menggunakan dron dan belon altitud tinggi untuk menangkap data masa nyata resolusi tinggi untuk meningkatkan kesedaran situasi di kawasan yang terjejas.

Agensi itu juga mencadangkan supaya teknologi AI dimanfaatkan untuk menjangka kejadian bencana berdasarkan data sejarah, yang membolehkan amaran awal, meramal jenis bencana dan perancangan logistik, di samping penyediaan Kenderaan Khas Respons Bencana, mengambil pengajaran daripada penggunaan kenderaan canggih UAE dalam pengurusan bencana untuk lebih berkesan dan tindak balas yang pantas.

“Kerjasama ini akan mengukuhkan usaha bersama kita dalam memberikan bantuan bencana kepada negara jiran, termasuk Indonesia dan Filipina. Baru-baru ini pun kita mengerahkan helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia bersama 16 anak kapal untuk menyokong Filipina selepas Ribut Tropika Trami,” katanya.

Ahmad Zahid berkata selain itu Malaysia turut mengambil bahagian secara aktif dalam Persidangan Menteri-Menteri Asia Pasifik mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) di Filipina dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-12 di Brunei untuk mengukuhkan rangka kerja pengurusan risiko bencana serantau.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain pengurusan bencana, mesyuarat itu turut meneroka peluang kerjasama dalam sektor halal, termasuk pensijilan dan mengembangkan potensi perdagangan halal.

“Kita juga berbincang mengenai inisiatif memajukan usaha tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan meneroka kerjasama dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memudahkan pertukaran pengetahuan.

“Kerjasama berpotensi tinggi ini akan mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-UAE, meningkatkan perkongsian ke tahap baharu dan meletakkan asas kukuh untuk perkongsian pertumbuhan dan pembangunan mampan,” tambahnya.

 

NADMA jalin kerjasama dengan NCEMA UAE - TPM Ahmad Zahid

ABU DHABI: Pengalaman Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam menangani cabaran bencana dan krisis agak kompleks berbanding bencana yang kerap berlaku di Malaysia seperti banjir, tanah runtuh dan jerebu akibat kemarau serta kebakaran hutan.
Pengalaman negara itu yang menggunakan kepakaran teknologi seperti kecerdasan buatan( AI), data raya, dron dan belon beresolusi tinggi juga dilihat berupaya memberikan pengetahuan berguna kepada Malaysia.
 
Ini terutamanya bagi memperkukuhkan kesiapsagaan menghadapi bencana serta menyediakan sistem amaran awal yang menyeluruh kepada kawasan yang rentan bencana.
 
Ketika pertemuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohamed Al Mazrouei, pelbagai peluang kerjasama dibincangkan terutamanya dalam perkara berkaitan pengurusan bencana di kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin bersetuju peluang kerjasama wajar diterokai antara Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) dan Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis dan Bencana Nasional (NCEMA) UAE.
 
Ketika lawatan Ahmad Zahid ke ibu pejabat NCEMA di Abu Dhabi, beliau dan rombongan turut diberikan taklimat berkenaan fungsi dan operasi NCEMA oleh Naib Presiden NCEMA UAE, Obaid Rashid Al Hassan Al Shamsi.
“Kita mempunyai sistem amaran awal dengan kerjasama METMalaysia, di UAE suasananya berbeza kerana iklim panas dan keadaan negara berpadang pasir, kita negara yang terdedah kepada dua musim monsun, soalnya bagaimana koordinasi ini dilakukan.
"Ada persamaan di mana kita mempunyai jawatankuasa peringkat nasional, negeri dan daerah. Mereka juga ada sistem yang sama di peringkat nasional, dan tujuh wilayah Emirates dan beberapa daerah lain.
”Keperluan mendesak kita iaitu kita memulakan penggunaan AI, tetapi mereka lebih awal dari itu, mungkin kita boleh pelajari sama-sama dan dari sistem komunikasi yang mereka lakukan ketika krisis dan penglibatan sukarelawan.
"Kita sedia maklum UAE ramai pekerja asing dari pelbagai negara bahasa dan budaya berbeza tetapi kaedah-kaedah tertentu untuk komunikasi digunakan untuk kumpulan berbeza," kata Ahmad Zahid ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu kata Ahmad Zahid, Malaysia juga menyarankan agar program latihan dapat dilakukan NCEMA UAE dan NADMA bersama dengan NCEMA menghantar pasukan elit penyelamat mereka untuk tujuan latihan (training for trainers) dan Malaysia menghantar pasukan elit SMART untuk latihan di UAE, khusus untuk mempelajari dan bertukar pengetahuan berkaitan pengurusan bencana.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kini dalam rangka lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bermula Rabu hingga 19 November ini.
 
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search