Gua Musang: Lebih 1,000 penduduk Pos Balar, di sini, yang berdepan dengan risiko tanah runtuh setiap kali musim tengkujuh meminta pihak berwajib menyelenggara laluan di Bukit Pasir, dekat sini yang menjadi laluan utama keluar masuk ke pos berkenaan.
Tinjauan mendapati, laluan di Bukit Pasir itu juga menjadi laluan utama penduduk dari Pos Belatim serta agensi kerajaan dan kontraktor untuk ke penempatan Orang Asli bagi menghantar bantuan atau mengambil pesakit.
Seorang penduduk, Nen Aja, 27, berkata ketika musim hujan dan tanah lembap, laluan terbabit akan berlaku hakisan yang boleh membahayakan kenderaan melaluinya.
Lebih merisaukan, apabila hujan berlarutan selama beberapa hari boleh menyebabkan berlaku tanah runtuh dan penduduk tidak dapat keluar dari perkampungan mereka.
"Laluan ini sangat berisiko untuk diguna kerana boleh membahayakan nyawa pengguna terutama apabila tiba musim tengkujuh.
"Jalan ini kerap rosak dan berlaku hakis apabila hujan berterusan selama beberapa hari, lebih membimbangkan ketika kami dalam perjalanan keluar dan berlaku tanah runtuh.
"Laluan ini menjadi laluan utama untuk ke perkampungan di Pos Balar, jadi kami penduduk di sini berharap ia dapat diselenggara oleh pihak berwajib," katanya ketika ditemui di Pos Balar, di sini.
Nen berkata, laluan terbabit pernah diselenggara oleh pihak kontraktor namun kerana faktor cuaca ia kembali rosak.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim yang menerima aduan rakyat itu sudah meninjau lokasi terbabit dan berharap kerja menyelenggara jalan itu dapat disegerakan.
Katanya, langkah keselamatan perlu diambil bagi memudahkan urusan rakyat yang berada di kawasan pedalaman.
"Dianggarkan lebih 1, 000 keluarga menggunakannya kerana menjadi laluan menghantar anak ke sekolah serta berurusan di Bandar Gua Musang.
"Kita tidak mahu alasan jalan rosak menyebabkan kebanyakan ibu bapa tidak membenarkan anak ke sekolah," katanya.
KUANTAN, 12 NOVEMBER 2024 : Keadaan banjir di Raub dan Lipis kini pulih sepenuhnya dengan kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah berkenaan ditutup sepenuhnya hari ini.
Seramai 441 mangsa daripada 127 keluarga yang ditempat di enam PPS di Raub dan dua PPS di Lipis telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, Kapt (PA) Samsuddin Kambade berkata, enam PPS yang menempatkan 223 mangsa daripada 66 keluarga telah dibuka sejak Ahad lalu dan telah tutup sepenuhnya jam 9 pagi tadi.
Menurutnya, PPS yang dibuka di Raub berkenaan adalah PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, PPS Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, PPS Pusat Kegiatan Kemas Gali Tengah, PPS Balairaya Kampung Sungai Ruan, PPS Balairaya Kampung Sungai Pasu, PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Fallah dan PPS Masjid Kampung Pintu Padang.
Manakala Sekretariat JPBD Lipis memaklumkan, sebanyak 230 mangsa daripada 64 keluarga telah ditempatkan di PPS Lipis yang dibuka sejak semalam juga akan ditutup hari ini secara berperingkat.
PPS terbabit adalah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kechau Tui yang menempatkan 144 mangsa dari 36 keluarga dan Dewan Semai Bakti Felda Kechau 1 yang menempatkan 86 mangsa dari 28 keluarga. -PAHANGMEDIA
Banjir kilat Lembah Klang dan Selangor: Kereta terkandas, sekolah terjejas dinaiki air
- Admin UKK
- Berita
INSIDEN hujan lebat yang berlaku sejak awal pagi Selasa menyebabkan beberapa laluan dan kawasan sekitar Selangor serta Lembah Klang dilanda banjir kilat.
Situasi tersebut sekali gus menyebabkan kesesakan yang luar biasa memandangkan banyak kenderaan terkandas akibat laluan dinaiki air.
Orang ramai turut berkongsi situasi banjir kilat di media sosial sebagai amaran dan peringatan bersama.
Antara kawasan yang terjejas agak teruk adalah kawasan Batu Tiga (Shah Alam), Persiaran Jubli Perak (Shah Alam), Bukit Jelutong (Shah Alam), Kapar dan Bukit Raja (Klang), Pasar Borong Klang (Klang), beberapa kawasan di Lebuhraya Grandsepadu dan Sungai Penchala.
Sementara itu, sebuah sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Batu Belah, Klang turut dinaiki air sehingga paras lutut menyebabkan gangguan kepada aktiviti pembelajaran dan kesukaran pergerakan pelajar.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Monsun Timur Laut atau lebih dikenali musim tengkujuh diramal berterusan sehingga Mac 2025.
Ketua pengarah MetMalaysia memaklumkan sekiranya hujan lebat berterusan serentak dengan air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta peka dengan maklumat, nasihat dan ramalan cuaca melalui met.gov.my, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi METMalaysia.
PETALING JAYA - Polis mengesahkan lorong kecemasan dan separuh lorong kiri di Kilometer (KM) 18.6 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) arah selatan ditutup sementara bagi kerja-kerja pembaikan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, penutupan sementara itu dibuat ekoran insiden tanah mendap di lokasi. tersebut.
"Sehubungan itu, pihak polis memohon semua pengguna jalan berkenaan untuk merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Selain itu menurut beliau, pihak polis juga menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa peka dan berhati-hati semasa melalui laluan tempat kejadian.
Tambahnya, orang ramai juga diminta mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.
Persiapan hadapi banjir: KPDN Kelantan lantik 133 pemborong, peruncit bekalkan bahan makanan asas
- Admin UKK
- Berita
TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melantik 133 pemborong dan peruncit sebagai langkah memastikan bekalan makanan asas mencukupi ketika banjir.
Pengarahnya, Azman Ismail, berkata pada masa sama 15 stesen minyak turut dilantik bermula bulan ini sehingga Mac tahun hadapan.
Daripada jumlah 133 itu, ia membabitkan 67 peruncit dan 66 adalah pemborong dan kebanyakan premis yang dipilih itu sudah dikenal pasti berada di kawasan bebas banjir.
"Semua mereka yang dilantik itu akan diberikan bekalan kuota tambahan sebanyak 30 peratus membabitkan 21 barangan keperluan asas termasuk gandum, beras, gula dan tepung berbanding kuota asal.
"Begitu juga untuk 15 stesen minyak, mereka juga diberi tambahan bekalan kuota 30 peratus sepanjang lima bulan ini.
"Tujuan lantikan pemborong dan peruncit ini dilakukan supaya penduduk di negeri ini tidak terputus bekalan makanan sekiranya berlaku banjir," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di premis pemborong di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemegang lesen pemborong dan peruncit yang dilantik itu akan memastikan barang kawalan serta keperluan asas lain yang dijual di premis berkenaan sentiasa mencukupi dan dijual dengan harga yang ditetapkan kerajaan.
"Pada masa sama, mereka yang dilantik itu juga akan mengadakan Program Jualan Rahmah di premis berkenaan sekiranya berlakunya banjir di daerah masing-masing," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azman berkata, pihaknya merampas pelbagai barang kawalan membabitkan nilai lebih RM4.9 juta menerusi 452 tindakan kes dalam tempoh Januari sehingga semalam.
