PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen ICT

Strong quake hits off Japan coast, no tsunami risk for Malaysia

KUALA LUMPUR: A strong earthquake measuring 6.9 on the Richter scale struck off the east coast of Honshu, Japan, at 6.30 am today, according to the Malaysian Meteorological Department (MetMalaysia).

In a statement, MetMalaysia said the earthquake was recorded at coordinates 40.2 degrees North and 142.2 degrees East, about 64 kilometres southeast of Hachinohe, Japan, at a depth of 79 kilometres.

The department’s preliminary assessment found that the earthquake posed no tsunami threat to Malaysia.

Ban pecah: Pelaksanaan projek tebatan banjir jangka panjang dipercepat

SEPANG- Insiden ban pecah di Bukit Changgang semalam dilihat sebagai isyarat awal dan keperluan mendesak bagi mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir jangka panjang di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, beliau sendiri akan mengangkat keperluan Pakej 3 Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat 2 kepada kerajaan Persekutuan melalui kementerian berkaitan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perunahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pakej tebatan banjir itu adalah langkah penyelesaian jangka panjang yang boleh dilaksanakan sebagaimana yang dibincangkan bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Isu berkaitan ban ini sememangnya telah mendapat perhatian serius kerajaan negeri malah, peruntukan sebanyak RM7 juta telah diluluskan sebelum ini bagi menggantikan ban tanah sedia ada dengan penggunaan panel konkrit yang lebih kukuh dan mampan.

“Kerja-kerja projek tersebut telah dimulakan pada 6 Mei lalu dan dijangka siap pada Januari 2027. Namun, susulan kejadian terbaru ini, JPS Daerah dan JPS Negeri telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk menjadi keutamaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum itu, Aiman Athirah telah turun padang menziarahi dan menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, hari ini.

Aiman Athirah berkata, beliau bersama Pengarah JPS negeri dan JPS Kuala Langat telah meninjau lokasi ban yang pecah bagi melihat keadaan sebenar di lapangan serta tindakan intervensi dan pemulihan yang sedang dilaksanakan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua petugas agensi, pasukan penyelamat, sukarelawan dan pengurusan PPS yang terus berkhidmat tanpa mengenal masa demi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terpelihara,” katanya.

Kosmo! Online  sebelum ini melaporkan, lebih 30 buah rumah dekat Taman Langat Utama 2, Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, di sini dinaiki air pada kedalaman hampir satu meter selepas berlaku limpahan Sungai Langat akibat ban pecah, awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Pokok tumbang akibat hujan lebat, ribut jejas trafik di ibu kota

Kuala Lumpur: Ribut dan hujan lebat yang melanda ibu negara, petang ini menyebabkan pokok tumbang di sekitar kawasan Jalan Dato Keramat, di sini, selain turut menjejaskan kelancaran lalu lintas.

Difahamkan, situasi sama juga berlaku di beberapa kawasan lain.

Beberapa video dikongsikan warganet di media sosial memaparkan keadaan cuaca masih hujan dengan beberapa pokok dilihat tumbang di sekitar jalan.

Perkongsian sebuah video turut memaklumkan pengguna jalan raya terpaksa berpatah balik kerana ada laluan tidak boleh dilalui susulan kejadian berkenaan.

Video dikongsikan di media sosial juga memaparkan pokok tumbang turut menyebabkan jalan rosak sekali gus menjejaskan kereta yang diletakkan di kawasan itu.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di ibu kota dan operasi sedang dijalankan di lokasi.

Ban pecah, paras banjir Kampung RTB Bukit Changgang naik

KUALA LANGAT: Paras banjir di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang didakwa semakin meningkat sejak ban Sungai Langat berhampiran kawasan tersebut pecah malam tadi.

Sehingga pukul 11.30 pagi tadi, jalan-jalan utama di perkampungan tersebut dilihat sudah pun digenangi air walaupun cuaca cerah ketika ini susulan limpahan air dari Sungai Langat yang berada pada paras amaran, 4.18 meter.

Seorang penduduk di Lorong Melati, Amizah Tor Muti, 42, berkata paras air dikatakan meningkat sejak awal pagi secara perlahan-lahan memberi peluang kepada penduduk berpindah dan menyelamatkan barang berharga.

“Air memang semakin naik, pagi tadi kira-kira pukul 6.45 ketika saya keluar bekerja air berada di paras buku lali. Namun sejam apabila tiba di Seremban, saya menerima panggilan daripada adik bahawa air sudah melepasi paras peha.

“Saya terus pulang dan tidak bekerja, apabila tiba, laluan masuk sudah terhalang dekat pintu gerbang. Kemudian saya berjalan kaki untuk pulang ke rumah bagi mengambil barang penting, ketika itu paras air sudah melepasi dada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Awal pagi tadi, akhbar ini melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menasihatkan penduduk di kawasan terjejas seperti di kawasan tersebut dan Taman Langat Utama supaya berpindah.

Saranan tersebut diberi selepas 32 rumah dinaiki air sehingga satu meter susulan limpahan air Sungai Langat akibat ban pecah.

Laporan Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang dibuka dan seramai 142 mangsa daripada 102 keluarga ditempatkan di sana.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh memaklumkan, beliau meminta kerajaan negeri menyegerakan projek naik taraf ban di sana yang baharu bermula sejak seminggu lalu.

“Saya akan memastikan penduduk-penduduk dibantu dan paling penting mereka selamat dan tidak ditimpa sebarang kejadian tidak diingini. Saya juga memantau aktiviti menyelamat oleh agensi-agensi kerajaan.

“Kampung itu pula terletak di kawasan yang rendah selain berhampiran dengan Sungai Langat, Jadi kita harap, bila ban baharu siap nanti tiada lagi kejadian seperti itu berulang,” jelasnya.

Beliau juga menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya meneliti semula jadual penyelenggaraan parit dan longkang di kampung berkenaan supaya dapat mengelakkan kejadian banjir kilat. – UTUSAN

Pulih ban pecah, pam air banjir dalam tempoh dua hari

KUALA LANGAT: Pam mudah alih dan kerja-kerja membaik pulih sementara ban Sungai Langat yang pecah dilaksana dan akan disiapkan dalam tempoh dua hari bagi membolehkan limpahan banjir dekat Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini, dikeluarkan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, rebakan berlaku di sepanjang kira-kira 50 meter ban di Sungai Langat yang sedang dalam proses pengukuhan dimulakan baru-baru ini.

Katanya, terdapat panel-panel Sistem Precast Skematik (SPS) yang baru tiba di kawasan berkenaan hari ini bagi pengukuhan di sepanjang 150 meter ban tersebut.

“Kita akan tutup bahagian yang pecah itu dahulu dengan tanah dan batu, kemudian saya minta supaya ditambah dengan sheet pile di bahagian depan untuk melindungi daripada arus.

“Sebab ban yang pecah itu terletak di kawasan selekoh yang mana arus sungai di kawasan itu lebih deras. Kita lindung kawasan di ban tersebut kemudian terus kita pasang panel-panel SPS. Kemudian saya nasihat supaya selepas pasang terus penuhkan tanah di bahagian belakang (backfill),” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau banjir Kampung RTB Bukit Changgang, di sini, hari ini.

Izham menambah keseluruhan projek pengukuhan ban tersebut dijadualkan siap pada Januari tahun depan dan menelan belanja sehingga RM4 juta yang merupakan sebahagian daripada RM7.7 juta diluluskan oleh kerajaan negeri termasuk di Kuala Selangor.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan paras banjir di Kampung tersebut didakwa semakin meningkat sejak ban Sungai Langat berhampiran kawasan tersebut pecah kira-kira pukul 10.30 malam tadi. 

Sehingga pukul 11.30 pagi tadi, jalan-jalan utama di perkampungan tersebut dilihat sudah pun digenangi air walaupun cuaca cerah ketika ini susulan limpahan air dari Sungai Langat yang berada pada paras amaran, 4.18 meter.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor terpaksa membelanjakan sehingga RM200,000 selepas berlaku kecurian kabel pada kunci air di kampung berkenaan menyebabkan pam skru tidak dapat berfungsi.

“Kita dapati penceroboh memotong pagar dan mencuri kabel di situ. Kabel terbabit tidaklah panjang tetapi banyak sehingga menyebabkan pam skru tidak berfungsi. Bagaimanapun kabel baharu sudah pun tiba dan kerosakannya akan dibaiki.

“Kita akan berbincang dengan polis Selangor supaya ada satu tindakan dapat diambil bagi mencegah kecurian kabel. Selain itu antara cadangan dipertimbangkan adalah meletakkan kamera litar tertutup di kawasan kunci air tersebut,” ujarnya.

Menurut laporan Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga pukul 5.45 petang tadi, seramai 502 mangsa melibatkan 224 keluarga di kampung berkenaan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dekat Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search