SEJARAH PENUBUHAN
Ekoran bencana banjir besar yang berlaku sewaktu Monsun Timur Laut (MTL) 2014/2015, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 26 Ogos 2015 telah bersetuju dengan penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi mengambil alih peranan agensi peneraju utama pengurusan bencana daripada Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN, JPM) di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
Keputusan Jemaah Menteri dengan jelas telah memberi kuasa kepada NADMA sebagai agensi peneraju utama untuk menjalankan apa-apa kewajipan yang termaktub bagi memastikan pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana, dikendalikan secara bersepadu oleh semua agensi di setiap peringkat dengan lebih efisien dan efektif.
Berikutan senario bencana yang semakin meruncing, aktiviti manusia serta risiko kemunculan ancaman baharu (new emerging threats). Sidang MKN yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 1 Ogos 2024 telah bersetuju untuk membatalkan Arahan MKN No. 20 dan menggantikannya dengan satu (1) arahan baharu yang dikenali sebagai Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.
Arahan NADMA No. 1 ini digubal selaras dengan keputusan-keputusan Jemaah Menteri, perubahan semasa, corak serta kerumitan kejadian bencana pada masa ini. Arahan ini menggariskan mekanisme pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana secara lebih menyeluruh. Setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana di setiap peringkat bertanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing selaras dengan Arahan ini. Arahan ini juga akan dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang pembaziran, kekeliruan, konflik dan percanggahan atau pertindihan peranan semasa menangani bencana.
Tumpuan utama kepada pengurusan bencana adalah ke arah pengurangan risiko bencana secara menyeluruh dan berterusan melalui program-program pencegahan, mitigasi kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan bencana. Usaha ini adalah selaras dengan inisiatif yang dilakukan di peringkat serantau dan antarabangsa. Arahan ini berupaya menjadi panduan kepada semua pihak untuk menguruskan sesuatu bencana dengan lebih cekap dan berkesan.