SEJARAH PENUBUHAN NADMA
Rentetan daripada insiden banjir ‘Bah Kuning’ yang melanda Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor yang menjadi antara kejadian bencana yang paling teruk melanda negara dalam tempoh 50 tahun sehingga mengakibatkan 25 kematian, 541,896 mangsa yang dipindahkan dan anggaran kerugian impak dari bencana yang berlaku kira-kira RM2.9 billion.
Tragedi itu membuka mata kerajaan untuk menyusun semula pengurusan bencana negara. Pada 29 Julai 2015, Jemaah Menteri bersetuju supaya fungsi pengurusan bencana dipisahkan daripada Majlis Keselamatan Negara dan digabungkan dengan Unit Pemulihan Pasca Banjir.
Kerajaan bersetuju menubuhkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai penyelaras utama pengurusan bencana di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa pada 26 Ogos 2015. Keputusan Jemaah Menteri dengan jelas telah memberi kuasa kepada NADMA sebagai agensi peneraju utama untuk menjalankan apa-apa kewajipan yang termaktub bagi memastikan pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana, dikendalikan secara bersepadu oleh semua agensi di setiap peringkat dengan lebih efisien dan efektif.
Pada 1 Oktober 2015, NADMA mula beroperasi secara rasmi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan melaksanakan tugas berpandukan Arahan MKN 20.
PERUBAHAN DASAR: PEMANSUHAN ARAHAN MKN NO. 20 DAN PENGGUBALAN ARAHAN NADMA NO. 1
Sidang MKN yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 1 Ogos 2024 telah meluluskan Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara sekaligus membatalkan dan menggantikan Arahan MKN No. 20 (Semakan Semula) yang dikeluarkan pada 30 Mac 2012. Arahan yang berkuatkuasa ini memperincikan peranan dan tanggungjawab semua pihak secara lebih efektif dan holistik.
Arahan ini juga akan dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang pembaziran, kekeliruan, konflik dan percanggahan atau pertindihan peranan semasa menangani bencana.
DASAR PENGURANGAN RISIKO BENCANA NEGARA 2030
Tumpuan utama kepada pengurusan bencana adalah ke arah pengurangan risiko bencana secara menyeluruh dan berterusan melalui program-program pencegahan, mitigasi, kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan bencana. Usaha ini adalah selaras dengan inisiatif yang dilakukan di peringkat serantau dan antarabangsa. Sejajar itu, Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 telah dibangunkan dan diluluskan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 September 2024.
Dasar ini berperanan sebagai rujukan utama oleh semua pihak berkepentingan merentasi pelbagai peringkat dan sektor termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sektor swasta, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), badan sukarelawan, badan bukan kerajaan, organisasi dan masyarakat dalam merancang dan melaksana inisiatif/ program/ aktiviti berkaitan bencana dengan mengambil kira konsep pengurangan risiko bencana (Disaster Risk Reduction, DRR).
Dari segi pelaksanaan, dokumen ini disokong dengan penggubalan Pelan Tindakan dan pembangunan Strategi DRR negeri sebagai panduan dalam pengurusan risiko bencana. Penghasilan dokumen ini membolehkan setiap agensi dan semua pihak berkepentingan termasuk komuniti dalam berkongsi komitmen untuk meningkatkan daya tahan negara terhadap bencana selari dengan matlamat leave no one behind.
Justeru, semua pihak berkepentingan merentasi pelbagai peringkat dan sektor perlu berganding bahu melaksanakan inisiatif/ program/ aktiviti DRR demi memastikan enam (6) sasaran utama yang telah digariskan dalam dasar ini tercapai menjelang tahun 2030.
