PEKAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, di sini menjadi sekolah pertama di daerah ini ditenggelami banjir berikutan limpahan air Sungai Pahang yang berlaku di kawasan terbabit.
Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Azmi Abdul Rashid, berkata air mula melimpah masuk ke kawasan sekolah sejak minggu lalu dan air di paras kira-kira 0.56 meter.
Beliau berkata, hampir setiap tahun SK Temai yang terletak berhampiran Sungai Pahang ditenggelami banjir berikutan hujan berterusan dan limpahan air Sungai Pahang.
Katanya, minggu lalu limpahan air disebabkan hujan namun sejak semalam limpahan air berlaku selepas paras air Sungai Pahang meningkat seterusnya masuk ke kawasan sekolah.
“Kita memutuskan tidak membenarkan murid datang ke sekolah, sesi pembelajaran kini menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Hanya guru sahaja yang berada di sekolah untuk mengajar selain menguruskan tugas lain.
“SK Temai mempunyai seramai 136 murid, kini semua murid belajar di rumah. Sebelum ini guru berkunjung ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bertujuan untuk mengajar secara bersemuka,” katanya, dihubungi di sini semalam.
Beliau menjelaskan, sebelum ini sering berlaku banjir termenung di SK Temai hingga memaksa agensi berkaitan menggunakan pam bergerak untuk menyedut air keluar dari dalam kawasan sekolah.
Azmi berkata, banjir di daerah ini lazimnya mengambil masa panjang untuk surut sehingga menyebabkan banyak aktiviti tidak dapat dilakukan oleh pihak sekolah dan penduduk setempat.
Katanya, apabila banjir melanda terdapat juga sekolah yang terputus hubungan berikutan jalan utama dinaiki air. Bagi memastikan tidak berlaku kerosakan pada barangan dan peralatan sekolah, termasuk buku aktiviti, semuanya dipindahkan ke tingkat atas bangunan setiap tiba Monsun Timur Laut.
“Terdapat beberapa sekolah rendah dan menengah di daerah ini dikenal pasti sering ditenggelami banjir setiap kali tiba Monsun Timur Laut. Ada juga sekolah yang dijadikan PPS,” katanya.
KUALA LUMPUR: Seramai 433 mangsa banjir masih berlindung di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat negeri yang terjejas setakat 8 pagi ini.
Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan keadaan banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa di daerah Kemaman berkurang daripada 91 orang semalam kepada kepada 80 orang pagi ini di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, Kertih dan Balai Raya Padang Kemunting.
Sementara itu di Perak, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini, 220 orang di dua PPS di daerah Perak Tengah dan Manjung.
Kenyataan itu memaklumkan 34 orang berlindung di PPS SK Teluk Kepayang di daerah Perak Tengah manakala 186 orang lagi di SK Beruas di daerah Manjung.
Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan A18 Jalan Bota Kiri-Teluk Sena di daerah Perak Tengah dan laluan A175 Jalan Selat-Pulau Pebayan ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air.
Jumlah mangsa banjir di Segamat, JOHOR pula kekal 85 orang di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak dan Dewan Komuniti Kampung Tasek.
Pengerusi JPBN Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata tiga sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat serta satu lagi adalah Sungai Paya Dato, Mersing.
Daerah Muar, Mersing, Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kulai dilaporkan mendung, manakala Johor Bahru, Segamat, Kluang dan Tangkak adalah cerah,” katanya dalam satu kenyataan.
Di Pahang, mangsa banjir pagi ini meningkat kepada 48 orang berbanding 32 orang malam tadi dan mereka ditempatkan di empat PPS.
Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, seramai 47 orang berada di tiga PPS di Bera manakala seorang lagi di satu PPS di Temerloh. – BERNAMA
KAJANG: Pihak Lebuhraya Kajang – Seremban Sdn Bhd (LEKAS) telah melaksanakan penutupan laluan ekoran kejadian runtuhan cerun di Kilometer (km) 9.3, arah Utara.
LEKAS dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan laluan kepada trafik itu adalah membabitkan lorong kecemasan dan lorong perlahan, di Lebuhraya LEKAS.
“Penutupan lorong kecemasan dan lorong perlahan ini adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baikpulih di kawasan yang terjejas.
“Pelan Pengurusan Trafik dan pemantauan 24 jam telah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan lebuhraya dan pengguna lebuhraya.
“Pengguna lebuhraya diingatkan untuk sentiasa mematuhi Pelan Pengurusan Trafik dan papan tanda semasa melalui lokasi kejadian,” katanya.
LEKAS amat mengesali atas segala kesulitan yang berlaku dan menyarankan pengguna lebuh raya untuk menghubungi talian Hotline Lekas 1-800-888-021 bagi sebarang pertanyaan dan bantuan.
Hanya 546 mangsa berlindung di PPS
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Situasi banjir dalam negara menunjukkan pemulihan pada petang semalam, apabila hanya terdapat seramai 546 mangsa masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri.
Sehingga jam 2.30 petang semalam, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan, kesemua mangsa daripada 150 keluarga terjejas itu ditempatkan di 10 PPS yang masih aktif di Terenganu, Perak, Johor dan Pahang.
TERENGGANU masih membuka empat PPS di Kemaman dan menempatkan 230 mangsa daripada 58 keluarga.
DI PERAK pula, terdapat seramai 176 mangsa daripada 53 keluarga masih belum dibenarkan pulang dan berlindung di dua PPS di Manjung dan Perak Tengah.
Selain itu, itu, tiga PPS masih dibuka di Segamat dan Tangkak, Johor untuk menempatkan 139 mangsa daripada 38 keluarga.
Sementara itu, seorang mangsa masih ditempatkan di sebuah PPS di Temerloh, Pahang sehingga petang semalam.
Jabatan Meterologi (MetMalaysia) pada semalam turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa sehingga hari ini.
Kawasan terbabit membabitkan seluruh Perlis; Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling di Kedah serta Hulu Perak, Perak.
Kawasan yang turut diramalkan akan berhadapan dengan keadaan cuaca itu adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan serta Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di Terengganu.
RM312.1j baiki jalan, cerun
- Admin UKK
- Berita
Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan syarikat konsensi membantu mangsa banjir terjejas di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya mengaktifkan bilik gerakan bencana sepanjang menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan mempertingkatkan persiapan dalam berdepan banjir gelombang kedua.
“Pada minggu lalu, KKR dengan JKR dan syarikat konsesi turun membantu mangsa banjir. Saya juga turun padang ke Kelantan dan Terengganu.
“Ini menjadi kebiasaan pada setiap tahun yang kita akan pertingkatkan apa kita boleh bantu (mangsa banjir) termasuk dalam kerja pembersihan.
“Kita telah bersiap sedia berdasarkan pengalaman sebelum ini,” katanya pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Profesion
Teknikal Negara di Pusat Konvensyen PICCA di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Alexander berkata banjir gelombang pertama yang melanda baru-baru ini menyebabkan banyak kerosakan jalan dan cerun menelan kos pembaikan berjumlah RM312.1 juta, setakat kelmarin.
“Bagi jalan Persekutuan kita mendapati memerlukan kos pembaikan berjumlah RM247 juta diikuti cerun jalan persekutuan RM40.3 juta.
“Jalan negeri pula dianggarkan berjumlah RM24.8 juta,” katanya.
