Hanya 546 mangsa berlindung di PPS
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Situasi banjir dalam negara menunjukkan pemulihan pada petang semalam, apabila hanya terdapat seramai 546 mangsa masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri.
Sehingga jam 2.30 petang semalam, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan, kesemua mangsa daripada 150 keluarga terjejas itu ditempatkan di 10 PPS yang masih aktif di Terenganu, Perak, Johor dan Pahang.
TERENGGANU masih membuka empat PPS di Kemaman dan menempatkan 230 mangsa daripada 58 keluarga.
DI PERAK pula, terdapat seramai 176 mangsa daripada 53 keluarga masih belum dibenarkan pulang dan berlindung di dua PPS di Manjung dan Perak Tengah.
Selain itu, itu, tiga PPS masih dibuka di Segamat dan Tangkak, Johor untuk menempatkan 139 mangsa daripada 38 keluarga.
Sementara itu, seorang mangsa masih ditempatkan di sebuah PPS di Temerloh, Pahang sehingga petang semalam.
Jabatan Meterologi (MetMalaysia) pada semalam turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa sehingga hari ini.
Kawasan terbabit membabitkan seluruh Perlis; Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling di Kedah serta Hulu Perak, Perak.
Kawasan yang turut diramalkan akan berhadapan dengan keadaan cuaca itu adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan serta Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di Terengganu.