OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Negara dijangka berdepan lagi beberapa gelombang hujan lebat

Kota Bharu: Negara diramal berdepan beberapa lagi gelombang hujan lebat pada bulan-bulan akan datang yang boleh menyebabkan banjir lebih teruk berikutan Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Ia kerana tanah sudah tepu akibat serapan air pada gelombang awal yang menyebabkan risiko banjir pada gelombang hujan seterusnya lebih besar.

Banjir di 10 negeri sejak beberapa hari lalu adalah episod pertama MTL bagi tahun ini yang menyebabkan lebih 20,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad, berkata cuaca yang sedang melanda negeri Pantai Timur pada masa ini menandakan permulaan kepada siri episod hujan monsun yang dijangka berterusan sehingga awal tahun depan.

“Secara teknikalnya, kita baru melangkah ke fasa awal MTL. “Apa yang kita alami sekarang boleh dianggap sebagai episod pertama gelombang monsun.

“Berdasarkan corak kaji cuaca dan unjuran Metmalaysia, orang ramai perlu bersiap sedia untuk beberapa beberapa lagi episod yang akan menyusul,” katanya.

Beliau berkata episod awal MTL lazimnya melanda Kelantan dan Terengganu, manakala Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak dijangka mengalami hujan lebih lebat dalam episod yang diramalkan pada Disember dan Januari ini.

Beliau berkata, Malaysia biasanya merekodkan antara empat hingga enam episod hujan lebat sepanjang musim MTL dari November hingga Mac.

“Ini bermakna apabila hujan reda atau banjir surut, ia bukan petanda bahawa musim monsun berakhir. “Ini mungkin hanya jeda sementara sebelum gelombang seterusnya tiba,” katanya.

Beliau berkata, tempoh kemuncak dijangka antara pertengahan bulan depan hingga Januari ini, ketika risiko banjir besar lebih tinggi kerana tanah sudah tepu akibat episod sebelumnya,” katanya.

Aset bomba berjaga-jaga

Nor Hisham berkata, semua aset bomba dan penyelamat di seluruh negara kini berada dalam keadaan berjaga-jaga.

“Ujian peralatan dilakukan dua kali setiap hari, termasuk enjin bot, gergaji rantai bagi pokok tumbang dan penjana kuasa,” katanya.

Semua anggota turut dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap termasuk jaket keselamatan dan lampu suluh terutama bagi operasi berisiko tinggi pada waktu malam.

“Balai bomba di peringkat lokaliti juga sudah menyiapkan pemetaan laluan bagi mengenal pasti jalan alternatif ke kampung pedalaman sekiranya laluan utama dinaiki air,” katanya.

Di peringkat zon pula, mobilisasi rentas balai akan diaktifkan segera jika mana-mana balai berdepan beban tugas berlebihan semasa operasi banjir.

Bekalan logistik tambahan juga sedang distruktur di hab zon bagi memastikan penghantaran dapat dilakukan dengan cepat apabila diperlukan.

Nor Hisham berkata, rangkaian komunikasi radio jabatan kekal lancar melalui Government Integrated Radio Network yang berfungsi walaupun rangkaian telefon mudah alih terganggu ketika banjir.

9,058 PPS sudah disediakan di seluruh negara

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara (NADMA) mengarahkan kesiapsiagaan seluruh agensi terbabit berikutan mangsa banjir di beberapa negeri yang terus meningkat ketika ini.

Sehingga jam 3 petang semalam, lebih 25,000 mangsa banjir ditempatkan di 195 pusat pemindahan sementara (PSS) di sembilan negeri yang terbabit.

Ahmad Zahid berkata, jumlah itu dijangka meningkat berikutan fenomena perubahan cuaca yang dipengaruhi luruan angin kuat dari Vietnam dan Filipina.

“Sebagai Pengerusi NADMA, saya sudah mengarahkan kesiapsiagaan seluruh agensi yang terbabit. Tanpa mendahului hukum Allah, sebenarnya kita sudah menyediakan sebanyak 9,058 PPS di seluruh negara.

“Tujuannya ialah jika berlaku keadaan banjir yang agak teruk, semua PPS ini boleh menempatkan kira-kira 2.2 juta mangsa banjir.

“Kita harap ini tidak akan berlaku, namun kita harus bersiap siaga,” katanya selepas merasmikan Program Eksplorasi TVET Komuniti di Kolej Komuniti Tawau, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Selain itu katanya, bagi menghadapi banjir di seluruh negara, lebih 9,800 anggota dari pelbagai agensi digerakkan bersama aset masing-masing.

“Turut disediakan 14 unit jambatan sementara (jambatan pasang siap) ‘Bailey Bridge’ iaitu masing-masing tujuh di Semenanjung, tiga di Sabah dan empat di Sarawak sebagai persiapan bagi menghubungkan laluan yang berisiko terputus akibat banjir,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menasihatkan 1.7 juta pengundi Sabah supaya keluar awal pada 29 November ini, hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, susulan unjuran Jabatan Meteorologi bahawa luruan angin yang membawa hujan dijangka bermula tengah hari.

“Untuk memastikan proses demokrasi berjalan lancar, saya mohon pengundi keluar awal pagi sebelum cuaca berubah,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan pendidikan TVET, Ahmad Zahid berkata, Malaysia kini mempunyai 1,398 institusi TVET, merangkumi politeknik, kolej komuniti, kolej vokasional dan institusi berkaitan termasuk Maahad Tahfiz yang menawarkan kemahiran teknikal.

Berucap pada majlis itu, beliau berkata, tahun lalu seramai 432,000 pelajar melanjutkan pengajian dan memilih aliran TVET dan terus meningkat kepada 492,000 tahun ini selari dengan usaha kerajaan mengubah ekosistem pendidikan yang terlalu berorientasikan akademik.

Beliau berkata, kira-kira 18,000 calon SPM tidak menduduki peperiksaan tahun lalu kerana dipercayai lemah dalam membaca, menulis dan mengira, justeru TVET adalah laluan pendidikan alternatif yang memberi penekanan 70 peratus latihan praktikal berbanding 30 peratus teori di bilik darjah.

“Kerajaan turut meningkatkan peruntukan TVET secara konsisten daripada RM6.8 bilion pada 2023, meningkat kepada RM7.5 bilion (2024) dan RM7.9 bilion bagi 2025.

“Gaji lepasan TVET jauh lebih tinggi berbanding lepasan SPM. Kerajaan Madani melihat TVET sebagai pelaburan masa depan negara,” katanya.

 

 

 

Sungai Golok di Rantau Panjang lepasi paras bahaya

Kota Bharu: Paras air di tujuh sungai utama di Kelantan menunjukkan peningkatan dengan satu sungai utama melepasi paras bahaya pagi ini, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang

Tiga sungai melepasi paras amaran dan tiga lagi sungai melepasi paras waspada. Menurut https://publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Golok melepasi paras bahaya iaitu 9.13 meter (m).

Sungai Lanas di Kampung Air Lanas, Jeli, Sungai Golok di Kampung Jenob dan Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang melepasi paras amaran.

Sementara itu, Sungai Sungai Galas di Kampung Lembaga, Gua Musang; Sungai di Tok Bali dan sungai di Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh pula melepasi paras waspada.

Kota Setar pula dilanda banjir

Alor Setar: Daerah Kota Setar menjadi lokasi terbaru banjir, menjadikan jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 2,731 orang dari 925 keluarga yang ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di negeri ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 2,043 mangsa daripada 726 keluarga di 17 PPS yang dilaporkan pada 12 tengah malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam kenyataannya memaklumkan, mangsa banjir di daerah Kubang Pasu kini mencecah 2,043 orang daripada 726 keluarga setakat ini.

Kesemua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di 15 PPS di daerah ini.

‘Agihan bantuan NGO perlu ikut prosedur, saluran ditetapkan’

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meminta supaya mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melalui proses yang betul.

Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang bantuan, namun NGO perlu berurusan atau menghubungi Ketua Jajahan, Pusat kawalan operasi bencana (PKOB) dan mempunyai kelulusan Ketua Polis Daerah.

Beliau berkata, tiada halangan untuk agihan sumbangan namun perlu melalui pihak berwajib bagi memastikan agihan dibuat dengan penyelarasan betul.

“NADMA mengalu-alukan segala bantuan yang hendak dihulur semua NGO, tiada sekatan cuma perlu disalur mengikut prosedur ditetapkan.

“Bukan kita nak kawal tapi untuk memudahkan supaya ia lebih terselaras. Semua bantuan mesti melalui ketua jajahan, PKOB atau mesti ada kelulusan OCPD (ketua polis daerah), NGO datang kena melalui (proses) ini.

“Kita tak halang, ibarat datang rumah orang, jangan main terjah, ini nak bagi bantuan. Kalau ikhlas nak bagi, ikut saluran yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan ada NGO tidak dapat mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di sebuah PPS disebabkan tidak mengikut prosedur itu.

Mengulas lanjut, Meor Ismail berkata, setakat ini tiada laporan lain diterima berhubung sebarang isu di PPS dan meminta mana-mana pihak luar yang ingin membantu memberi kerjasama dan mengikut peraturan. “Kadang-kadang kalau tak kawal, sesuatu PPS terima banyak sangat bantuan ataupun memperoleh barangan sama contohnya air minuman yang dihantar oleh NGO, tak kan nak terima barangan sama selepas itu? Jadi agihlah ke PPS lain.

“Pegawai daerah lebih tahu mana PPS yang lebih memerlukan dan ini bukan kali pertama banjir, berlaku setiap tahun dan peraturan (ditetapkan) semua orang tahu,” katanya.

Kita tak halang, ibarat datang rumah orang, jangan main terjah Meor Ismail

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search