SHAH ALAM - Ribut Tropika Senyar yang pertama kali dijangka melanda Selangor memaksa seluruh aset kerajaan negeri digerakkan bagi menghadapi kemungkinan bencana termasuk banjir dan kenaikan paras air secara mendadak.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua jentera di peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diaktifkan selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) petang Khamis mengesahkan ribut tropika itu sedang merentasi Selat Melaka menuju ke pesisir Pantai Barat antara sempadan Selangor dan Perak.
“Saya telah mengarahkan semua agensi memastikan setiap kenderaan dan bot diperiksa bagi memastikan ia boleh digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku kecemasan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah Amirudin, terdapat 45 stesen amaran siren di seluruh negeri yang akan diaktifkan sekiranya paras air dijangka mencapai tahap bahaya.
“Saya menyeru rakyat Selangor supaya berwaspada dan peka dengan setiap amaran serta arahan pemindahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Sekiranya siren di kawasan anda dibunyikan dan arahan pemindahan dikeluarkan, patuhi segera dan daftarkan diri di PPS terdekat,” jelas beliau.
Beliau berkata, sebanyak 1,173 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri yang mampu menempatkan sehingga 244,000 penduduk kini berada dalam mod siap siaga melibatkan sekolah, masjid, dewan dan balai raya yang turut dilengkapi keperluan asas.
Amirudin memberitahu, ribut yang dikesan di Sumatera mampu mencapai kelajuan sehingga 50 km/j dan dijangka menyebabkan hujan lebat berterusan sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini.
Amirudin berkata, Selangor tidak pernah berdepan ribut tropika sebelum ini dan persiapan menyeluruh dilakukan bagi memastikan keselamatan rakyat.
“Keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan keselamatan semua warga Selangor ketika menghadapi ancaman ribut tropika itu.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan MetMalaysia melalui Unit Pengurusan Bencana Negeri serta Agensi Pengurusan Bencana Negara,” katanya.
Sebarang perkembangan situasi cuaca akan dimaklumkan melalui platform rasmi MetMalaysia serta laman web met.gov.my.
Petaling Jaya: Selepas kira-kira 24 tahun berlalu, negara kembali berdepan ancaman angin kencang mencapai kelajuan sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan hujan lebat berterusan apabila ribut tropika Senyar membadai beberapa negeri di Semenanjung Malaysia tengah malam tadi.
Ribut Tropika Senyar yang sudah memberi kesan di Indonesia, bergerak memasuki ruang udara negara ini sejak jam 3 petang semalam, sebelum mencetuskan hujan lebat berterusan bermula tengah malam.
Senyar terbentuk akibat fenomeno La Nina, yang bertembung dengan sistem tekanan cuaca rendah di utara Semenanjung serta luruan monsun dari tanah besar China.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata antara negeri menerima kesan ribut itu ialah Perak, Selangor dan sebahagian kawasan di Pahang.
Beliau berkata, ribut tropika itu mula memberi kesan di Indonesia sejak 3.30 petang semalam sebelum memasuki Semenanjung Malaysia dan bergerak menuju Laut China Selatan.
“Ribut Tropika Senyar kini berada pada Latitud 3.6° Utara dan Longitud 100.4° Timur, ia dijangka bergerak ke arah timur dengan kelajuan 9 kilometer sejam (km/j) dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 50 km/j.
“Ia dijangka melanda negara dalam tempoh 24 jam. Jika berlaku, ini menjadi ribut tropika ketiga melanda negara selepas Greg pada 1996 dan Vamei pada 2001,” katanya pada sidang media mengenai Perkembangan Terkini Ribut Tropika Senyar, di sini, petang semalam.
Kemas kini maklumat
Mengulas lanjut, Mohd Hisham memaklumkan, Metmalaysia sudah mengeluarkan nasihat berkaitan sistem ribut ini sejak 23 November lalu.
Katanya, Metmalaysia mengemas kini maklumat berkenaan pergerakan ribut tropika itu setiap tiga jam dan sebarang info terkini boleh diperoleh di laman web Metmalaysia.
“Nasihat ini kita keluarkan apabila sistem tersebut sudah memasuki kawasan pemantauan MET Malaysia iaitu dalam lingkungan latitud 0° sehingga 20°U dan longitud 95° sehingga 130°T.
“MET Malaysia juga sudah mengemas kini amaran ribut tropika, amaran hujan berterusan dan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi beberapa negeri sehingga Sabtu ini.
“Ia bakal membabitkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Justeru, saya minta semua pihak untuk bersiap sedia dengan episod hujan lebat luar biasa kali ini,” katanya.
Sementara itu, hujan lebat yang kadang kala berterusan di kebanyakan negeri semalam, menyebabkan keadaan banjir yang sedang dialami sembilan negeri khususnya di utara dan pantai timur ketika ini tidak banyak berubah.
Sehingga jam 6.30 petang semalam, jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencapai 27,000 orang daripada 9,000 keluarga dengan 222 pusat pemindahan sementara sedang beroperasi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sedang melihat kesesuaian melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) di sekolah yang terjejas akibat banjir sehingga penggal persekolahan tamat tahun ini.
Beliau berkata, langkah itu adalah antara pelan kecemasan yang disediakan pihaknya, selain bekerjasama bersama agensi pengurusan bencana di negara ini.
36 lembangan sungai dipantau
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Sebanyak 36 lembangan sungai di Semenanjung dipantau oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, bagi memastikan ramalan dan amaran banjir dapat dikeluarkan dengan tepat.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Mohamad Radzi Abdul Talib, berkata antara lembangan yang dipantau termasuk Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Kelantan.
“Di Terengganu, Sungai Terengganu, Sungai Besut, Sungai Setiu, Sungai Dungun, Sungai Paka dan Sungai Kemaman; Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Buloh, Sungai Klang dan Sungai Langat di Selangor; Sungai Muda, Sungai Kedah dan Sungai Melaka di Kedah; serta Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Sungai Perak di Perak,” katanya semalam.
Beliau berkata, lonjakan ketara paras air sungai berlaku akibat hujan lebat berterusan dan menjejaskan penduduk di negeri terbabit.
“Di Kelantan, beberapa sungai utama termasuk Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Kemasin dan Sungai Semerak berada pada atau melepasi paras bahaya di Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh dan Kota Bharu.
“Kota Bharu merekodkan 697 milimeter hujan dalam tempoh tiga hari antara 21 hingga 23 November, iaitu 157 peratus lebih tinggi daripada purata hujan bulanan November bagi tempoh 2021 hingga 2023, menunjukkan betapa seriusnya keadaan di negeri itu,” katanya.
Di Terengganu beliau berkata, Setiu menerima hujan sebanyak 284.5 mm dalam tempoh tiga hari dari 21 hingga 23 November.
“Jumlah itu sudah melebihi separuh daripada purata hujan bulanan November bagi negeri itu dalam tempoh 2021 hingga 2023, iaitu 514 mm,” katanya.
Mohamad Radzi berkata, JPS membuat persiapan rapi menghadapi Monsun Timur Laut yang bermula 13 November lalu dan dijangka berlanjutan sehingga Mac 2026.
Katanya, JPS melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir mengoperasi sistem model ramalan menggunakan pendekatan hidrodinamik yang menggabungkan data hidrologi daripada stesen telemetri serta ramalan hujan MET Malaysia berdasarkan teknologi satelit dan radar.
“Sistem ini membolehkan simulasi banjir dijana seawal tujuh hari, manakala hebahan awal kepada agensi berkaitan dan orang awam boleh dibuat dalam tempoh dua hari selepas menerima ramalan cuaca signifikan,” katanya.
Beliau berkata, JPS akan mengeluarkan buletin amaran banjir kepada JPS Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memastikan tindakan penyelamat dapat dijalankan dengan segera.
Kuala Lumpur: Ribut Tropika Senyar, satu fenomena yang disifatkan sebagai luar biasa dan bersejarah kini mengancam untuk membawa impak signifikan kepada Semenanjung Malaysia dengan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora sehingga esok.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan Senyar bergerak ke arah timur tenggara dan sudah memasuki Selat Melaka, dikesan berada kira-kira 102 kilometer (km) ke barat daya Lumut, Perak, sebelum bergerak ke kedudukan terbaharunya.
Pada jam 11 pagi semalam, ribut itu dilaporkan berada 57 kilometer (km) ke barat daya Sabak Bernam, Selangor dengan kelajuan angin maksimum mencecah 46 km/j.
Pembentukan Ribut Tropika Senyar di Selat Melaka adalah kejadian yang sangat jarang berlaku, menjadikannya tumpuan dunia meteorologi.
Pembentukan Luar Biasa: Kawasan berhampiran Khatulistiwa seperti Selat Melaka lazimnya tidak menghasilkan daya pusaran (Kesan Coriolis) yang cukup kuat untuk membolehkan ribut tropika terbentuk dan kekal kuat.
Sejarah: Kali terakhir fenomena seumpama ini berlaku adalah pada tahun 2001 dengan pembentukan Taufan Vamei di kawasan berdekatan.
Perkembangan: Senyar mula berkembang daripada sistem tekanan rendah yang berlegar di Selat Melaka sejak 21 November
lalu. Kekuatan ribut itu banyak bergantung kepada suhu permukaan laut di Selat Melaka-semakin panas air, semakin banyak tenaga yang dapat diserap oleh ribut.
Berikutan pergerakan Senyar, MetMalaysia mengeluarkan kemas kini Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi sembilan negeri dan dua Wilayah Persekutuan, berkuat kuasa dari 27 hingga 29 November 2025.
Amaran Hujan Berterusan Tahap Buruk (Jingga) dikeluarkan bagi kawasan berisiko tinggi termasuk:
Pulau Pinang
Perak
Selangor
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya
Beberapa kawasan di Kedah (Kulim dan Bandar Baharu). Beberapa kawasan di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, dan Bentong)
Langkah awal juga diambil di negara jiran India, apabila Jabatan Meteorologi India (IMD) mengeluarkan amaran hujan lebat di beberapa daerah Tamil Nadu, termasuk Rameswaram, yang menyebabkan penutupan sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.
Orang ramai, terutama komuniti maritim dan penduduk di kawasan rendah dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga segera memandangkan potensi perubahan arah dan intensiti ribut boleh berlaku dalam tempoh yang singkat.
Ribut Tropika Senyar dijangka membawa hujan berterusan dalam tempoh 24 jam akan datang serta angin dengan kelajuan sehingga 50 kilometer per jam (km/j).
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata hujan berterusan itu dijangka membawa sekitar 300 millimeter (mm) hujan sejam apabila ia memasuki Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, jalur awan yang mengelilingi mata ribut tropika berkenaan sudah mula memasuki semenanjung ketika ini. “Ribut Tropika Senyar dijangka membawa hujan berterusan sepanjang 24 jam akan datang selain kelajuan angin mencecah 50km/j.
“Hujan berterusan itu dijangka membawa sekitar 300mm hujan dalam tempoh satu jam apabila ia memasuki Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Ribut Tropika Senyar dikesan berada pada Latitud 3.6° Utara dan Longitud 100.4° Timur, dijangka bergerak ke arah timur dengan kelajuan 9km/j dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 50 km/j.
“Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia sehingga 29 November ini (esok).
“Malaysia berada di luar kawasan laluan ribut tropika kerana kedudukan Malaysia di garisan khatulistiwa,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia pernah dilanda oleh ribut tropika secara langsung sebanyak dua kali iaitu pada 26 Disember 1996 (Greg) di barat Sabah dan pada 26 Disember 2001 (Vamei) yang berlaku di selatan Semenanjung.
“MetMalaysia telah mengeluarkan nasihat sistem cuaca yang dikemas kini setiap tiga jam yang bermula pada 23 November lalu apabila sistem terbabit memasuki kawasan pemantauan.
“MetMalaysia telah mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri
Sembilan, Melaka dan Johor berkuat kuasa dari 27 hingga 29 November ini,” katanya. Beliau berkata, MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika ini dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa.
Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL) dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638.
