APM siap siaga berdepan Monsun Barat Daya
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap siaga melalui pemantauan secara rondaan di lokasi titik panas yang berisiko mengalami bencana di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Barat Daya bermula Sabtu lalu hingga September ini.
Jurucakap APM berkata, pihaknya juga menubuhkan pasukan pemantauan dikenali Op Ramah bagi memantau beberapa kawasan dikenalpasti atau lokasi titik panas yang berisiko berdepan bencana sejak 2023.
"Antara kawasan yang boleh mendatangkan risiko kecemasan atau bencana seperti kawasan tanah gambut, kawasan tapak pelupusan sampah, kebakaran lalang serta sebagainya.
"Justeru, APM sentiasa siaga dalam menghadapi situasi seperti itu dengan penugasan di talian kecemasan 999 selain rondaan Op Ramah secara harian untuk pemantauan aktiviti masyarakat yang boleh mengundang kepada kemalangan atau bencana," katanya, hari ini.
Menurutnya kenyataan itu lagi, APM sentiasa bekerjasama dengan jabatan dan agensi lain seperti Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam penugasan operasi itu.
"Bagi memastikan penugasan ini (lancar), APM juga mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi melalui Nota Persefahaman (NOU)," katanya.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih peka dan berhati-hati sepanjang tempoh berkenaan yang sering dikaitkan dengan cuaca panas dan kering.
"APM melalui rondaan dilakukan sentiasa memberi nasihat kepada masyarakat berkaitan cuaca panas selain mengedarkan risalah berkaitan menghadapi cuaca panas termasuk ancaman binatang berbisa," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 10 Mei dan berterusan sehingga September ini susulan tiupan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata sepanjang musim berkenaan, kadar kelembapan udara lazimnya rendah, sekali gus menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.
Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi, berikutan kehadiran fenomena garis badai.
Ketika kemuncak monsun berkenaan iaitu antara Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.
Sebarang pembakaran terbuka perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko pencemaran jerebu, selain menggalakkan orang ramai menggunakan air secara berhemah sepanjang musim itu.