Pihak berkuasa Filipina pantau peningkatan aktiviti Gunung Berapi Kanlaon
- Admin UKK
- Berita
MANILA: Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) melaporkan terdapat peningkatan aktiviti seismik di Gunung Berapi Kanlaon, pada Isnin.
Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), sebanyak 72 gempa bumi gunung berapi direkodkan antara tengah malam hingga tengah hari Isnin, dengan magnitud antara 0.3 hingga 3.1 pada kedalaman antara sifar hingga lapan kilometer di bawah cerun utara dan barat laut gunung itu.
Phivolcs memaklumkan bahawa sejumlah 135 gempa bumi gunung berapi telah direkodkan sejak tengah malam 11 Mei, termasuk beberapa gempa bumi gunung berapi-tektonik (VT) yang agak kuat.
Gempa bumi VT berpunca daripada proses pemecahan batuan dan peningkatan aktiviti ini menunjukkan kemungkinan magma atau gas magmatik sedang membuka laluan ke permukaan.
Sementara itu, pelepasan gas sulfur dioksida (SO2) dari kawah puncak direkodkan sebanyak 554 tan pada 11 Mei.
Phivolcs menyatakan purata pelepasan harian SO2 menurun daripada 4,144 tan sejak 3 Jun 2024 kepada 2,114 tan sejak 1 April 2025.
"Parameter menunjukkan bahawa penyumbatan pelepasan gas gunung berapi (atau penyahgasan sistem tertutup) mungkin menyebabkan tekanan dan pengembangan struktur yang berpotensi membawa kepada letusan sederhana dengan letupan pada Kanlaon," kata Phivolcs dalam satu nasihat yang dikeluarkan pada petang Isnin.
Sebelum ini, Phivolcs memaklumkan secara umum adalah selamat untuk orang ramai mengundi, namun komuniti berhampiran Gunung Kanlaon yang kini berada pada Tahap Amaran 3 (keresahan magmatik) dinasihatkan berada di luar zon bahaya sejauh enam kilometer.
Pada Tahap Amaran 3, terdapat kemungkinan letusan sederhana dengan letupan yang boleh membahayakan nyawa.
Phivolcs berkata pihak berkuasa tempatan dinasihatkan supaya terus bersiap siaga untuk pemindahan orang ramai jika kerecauan gunung meningkat dan risiko letusan besar bersama letupan yang berbahaya menjadi hampir pasti.
"Peningkatan kewaspadaan terhadap potensi muntahan lahar sewaktu letusan dan aliran sungai yang sarat dengan sedimen ketika hujan lebat juga amat digalakkan," katanya.
Pihak berkuasa penerbangan turut disaran memberi amaran kepada juruterbang agar mengelak daripada terbang berhampiran puncak gunung kerana abu daripada letusan mendadak boleh membahayakan pesawat.
-- BERNAMA