HULU SELANGOR: Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor mengesahkan sebanyak tiga lokasi runtuhan dikesan di Laluan B23 Jalan Ulu Yam Baharu-Batu Caves (Jalan Sungai Tua-Ulu Yam) yang terjejas, malam tadi.
Agensi itu berkata, runtuhan itu membabitkan runtuhan cerun di Seksyen 19, Seksyen 17.1 dan Seksyen 17 di laluan terbabit
"Kejadian tanah runtuh ini berpunca daripada kadar air hujan yang lebat dan juga kepala air.
"Ketika ini, laluan masih ditutup bagi kerja-kerja pembersihan yang sedang giat dijalankan," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
JKR Hulu Selangor berkata, laluan itu dijangka dibuka semula kepada pengguna jalan raya pada jam 8 pagi esok, tertakluk kepada keadaan di lokasi.
"Pemantauan dari masa semasa akan dipantau JKR Hulu Selangor dan InfraSel.
"Pemakluman terkini akan dihebahkan melalui laman facebook rasmi JKR Hulu Selangor," katanya.
Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Tua-Ulu Yam.
Penolong Pengarah Operasinya, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak menghalang laluan terbabit.
Menurutnya, hanya sebatang pokok yang tumbang akibat runtuhan dan menghalang sebahagian jalan raya.
SUBANG JAYA: Tragedi menggemparkan melanda Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini apabila kebakaran besar menyebabkan beberapa mangsa mengalami kecederaan akibat melecur, dengan seorang lelaki dilaporkan berlari tanpa pakaian dan badan berasap untuk menyelamatkan diri.
Salah seorang saksi, Ahmad Baharudin, 56, menceritakan detik dramatik apabila seorang pemuda tanpa seurat benang muncul berlari dari kawasan pembinaan di atas bukit dalam keadaan panik.
Subang Jaya: Sebanyak 190 rumah, 148 kereta dan 11 motosikal mengalami kerosakan akibat kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, setakat 3.40 petang ini, pemadaman kebakaran masih dilakukan dan api hampir padam.
Menurutnya, setakat ini 190 rumah, 148 kereta dan 11 motosikal dikenal pasti mengalami pelbagai kerosakan akibat kebakaran dan haba panas.
"Kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan kebakaran rumah juga sedang dilakukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu media melaporkan kebakaran di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, ini membabitkan kebocoran saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter.
Kuala Lumpur: PLUS Malaysia Berhad (Plus) membuka semula laluan di antara Seafield hingga ke Bandar Saujana Putra di Lebuhraya ELITE yang ditutup pagi tadi berikutan insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
PLUS dalam kenyataan memaklumkan laluan berkenaan dibuka pada 1.51 tengah hari tadi.
"Sehubungan itu, Plus mengucapkan terima kasih atas sokongan, kerjasama dan kesabaran semua pengguna lebuh raya semasa tempoh penutupan laluan dijalankan," menurut kenyataan itu.
Kebakaran saluran paip gas itu dilaporkan semakin reda setakat 1.55 tengah hari.
Seramai 112 mangsa dan 49 rumah terjejas dalam insiden tersebut.
Mangsa dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut manakala 49 lagi menerima rawatan awal di Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya.
SUBANG JAYA - Enam ekor haiwan peliharaan yang terperangkap di rumah kediaman di Taman Harmoni susulan kejadian kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, di sini, pada Selasa, berjaya diselamatkan.
Pegawai Bomba Sukarela Shah Alam, Datuk Dr Ken Foo Kwok Hsing berkata, haiwan yang diselamatkan itu ialah dua ekor anjing, tiga arnab dan seekor hamster.
"Haiwan itu masing-masing ditemui di tiga buah rumah yang terjejas dalam insiden terbabit.
"Anjing itu dijumpai di luar rumah, manakala arnab dan hamster di dalam rumah. Kesemua haiwan itu akan dibawa ke pusat veterinar Taman Megah untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, seekor anjing warna hitam masih belum dikenal pasti pemiliknya. "Diminta pemiliknya untuk menghubungi talian hotline kita iaitu 012-6088871," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang wanita dikenali sebagai Yap, 60-an, merupakan pemilik kepada tiga ekor arnab yang diselamatkan itu berkata, dia memelihara enam ekor haiwan iaitu empat arnab, seekor tikus belanda dan seekor tupai.
Katanya, pada pagi semasa kejadian selepas mendengar bunyi letupan, dia cuba membawa kesemua haiwan peliharaan masuk ke dalam kereta namun gagal disebabkan sangkar besi yang telah panas.
"Saya tolak sangkar-sangkar ke dalam tandas dan hanya sempat bawa seekor tupai peliharaan.
"Bila keadaan agak 'okay', saya dapatkan bantuan bomba untuk bantu selamatkan haiwan peliharaan... sangat berterima kasih," ujarnya.
Jelasnya, dia berasa gembira apabila apabila haiwan ini ditemui.
"Kebanyakannya haiwan ini sudah saya bela sejak satu hingga lima tahun lepas," ujarnya.
