Tiga runtuhan cerun di Jalan Ulu Yam Baharu-Batu Caves
- Admin UKK
- Berita
HULU SELANGOR: Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor mengesahkan sebanyak tiga lokasi runtuhan dikesan di Laluan B23 Jalan Ulu Yam Baharu-Batu Caves (Jalan Sungai Tua-Ulu Yam) yang terjejas, malam tadi.
Agensi itu berkata, runtuhan itu membabitkan runtuhan cerun di Seksyen 19, Seksyen 17.1 dan Seksyen 17 di laluan terbabit
"Kejadian tanah runtuh ini berpunca daripada kadar air hujan yang lebat dan juga kepala air.
"Ketika ini, laluan masih ditutup bagi kerja-kerja pembersihan yang sedang giat dijalankan," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
JKR Hulu Selangor berkata, laluan itu dijangka dibuka semula kepada pengguna jalan raya pada jam 8 pagi esok, tertakluk kepada keadaan di lokasi.
"Pemantauan dari masa semasa akan dipantau JKR Hulu Selangor dan InfraSel.
"Pemakluman terkini akan dihebahkan melalui laman facebook rasmi JKR Hulu Selangor," katanya.
Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Tua-Ulu Yam.
Penolong Pengarah Operasinya, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak menghalang laluan terbabit.
Menurutnya, hanya sebatang pokok yang tumbang akibat runtuhan dan menghalang sebahagian jalan raya.