OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Melaka jamin keselamatan bekalan air susulan penemuan dipercayai rangka manusia

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka memberikan jaminan keselamatan sumber air dan bekalan air terawat kepada pengguna sentiasa menjadi keutamaan susulan penemuan disyaki rangka manusia di kawasan rizab Empangan Durian Tunggal di sini hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh, berkata berdasarkan pemantauan kualiti air yang dilaksanakan setakat ini, tiada pelanggaran terhadap parameter kualiti air yang ditetapkan dikesan dan bekalan air terawat kepada pengguna adalah dalam keadaan selamat.

"Kerajaan negeri memahami kebimbangan orang ramai, khususnya kerana kawasan penemuan itu sebahagian daripada kawasan tadahan dan sumber air mentah bagi bekalan air negeri Melaka.

"Air yang disalurkan kepada pengguna adalah air terawat yang telah melalui proses rawatan di loji rawatan air sebelum dibekalkan, manakala kualitinya tertakluk kepada pemantauan serta pemeriksaan mengikut prosedur dan piawaian ditetapkan," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Salhah berkata, pada masa yang sama kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan kualiti air di kawasan berkenaan, termasuk melaksanakan pensampelan serta ujian yang diperlukan.

"Kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan polis serta agensi teknikal berkaitan bagi memastikan setiap aspek berkaitan penemuan tersebut diberi perhatian sewajarnya mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya.

Beliau berkata, penemuan disyaki rangka manusia di kawasan rizab empangan tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai berlakunya pencemaran atau menjejaskan keselamatan bekalan air kepada pengguna.

"Sebarang kesimpulan berkaitan perkara itu hendaklah berdasarkan keputusan pemantauan, pensampelan dan penilaian teknikal pihak berkuasa," katanya.

Sehubungan dengan itu, Salhah menasihatkan orang ramai supaya tidak panik atau membuat sebarang kesimpulan serta menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya berkaitan keselamatan bekalan air, identiti mangsa atau punca kejadian.

"Kerajaan negeri memberikan jaminan keselamatan sumber air dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan pendekatan berjaga-jaga akan terus dilaksanakan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap keselamatan bekalan air sentiasa terpelihara," katanya.

Sektor korporat perlu main peranan lindungi alam sekitar

DALAM era di mana krisis iklim dan kehilangan kepelbagaian biologi semakin mendesak, sektor korporat Malaysia perlu tampil sebagai pelindung baharu kepada alam sekitar.

Sumbangan mereka terhadap kepelbagaian biologi marin bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi menjadi strategi jangka panjang yang berasaskan kelestarian alam dan pemerkasaan komuniti.

Ekosistem marin yang stabil, tidak tercemar dan dilindungi memberikan manfaat langsung kepada nelayan pantai, komuniti pesisir, serta kelangsungan ekonomi negara.

Antara pihak korporat yang menonjol ialah sektor maritim dan logistik seperti MISC Berhad, yang memfokuskan kepada perlindungan penyu dan restorasi terumbu karang dengan kerjasama universiti tempatan.

Sektor minyak dan gas pula, melalui Yayasan Petronas, melabur dalam program Nature-based Solutions dengan projek pemetaan rumput laut dan pemeliharaan hutan paya bakau bagi memperkukuh ekosistem karbon biru.

Syarikat barangan pengguna seperti Nestle Malaysia menekankan ekonomi kitaran melalui pembersihan sisa plastik pantai dan pembuangan pukat hantu, menyelamatkan hidupan marin daripada ancaman jaring terbiar.

Sektor perbankan seperti Etiqa serta institusi pembuatan turut melabur dalam pembiayaan hijau dan kejuruteraan tukun tiruan untuk pembiakan semula batu karang.

Yayasan JCorp pula aktif dalam program pemulihan batu karang, manakala SD Guthrie Berhad menyumbang kepada pemuliharaan zon pesisir pantai dan ekosistem karbon biru.

Gabungan dana dan kepakaran ini menjadi pemacu utama kelangsungan kepelbagaian biologi marin negara.

Sumbangan korporat mesti berfokus kepada jangka panjang, melibatkan pendidikan dan penyelidikan melalui kerjasama universiti serta institusi saintifik.

Yayasan Petronas, misalnya, membuktikan komitmen mereka melalui pembangunan Pusat Pengajian Kanyon Imbak (ICSC) di Sabah, menjadikan hutan hujan sebagai bank gen dan pusat penyelidikan kepelbagaian biologi bertaraf dunia.

Program penanaman puluhan ribu pokok di seluruh negara, termasuk ekosistem bakau, memperlihatkan usaha nyata dalam memulihkan habitat terosot.

Bakau bukan sahaja benteng semula jadi menentang hakisan pantai, tetapi juga habitat penting bagi ikan, reptilia, burung, dan mamalia marin.

Dalam ekosistem marin, Yayasan Petronas bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia dan Pusat Biodiversiti Sabah untuk melaksanakan pemetaan rumput laut.

Rumput laut bukan sekadar habitat ikan, penyu dan dugong, tetapi juga penyerap karbon semula jadi yang penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.

Inisiatif ini memperkukuh daya tahan komuniti pesisir terhadap ancaman hakisan pantai dan perubahan iklim.

Pendekatan inklusif Yayasan Petronas turut melibatkan komuniti dan universiti tempatan, menjadikan pemuliharaan bukan hanya agenda saintifik tetapi juga agenda sosial yang meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Namun, cabaran besar masih menanti. Kawasan pantai Teluk Air Tawar, Kuala Gula-Matang, pantai Selangor dan Johor kini berdepan ancaman hakisan pantai yang semakin kritikal.

Selat Melaka yang menerima lebih 100,000 pergerakan kapal setahun memberi tekanan besar kepada ekosistem batu karang, rumput laut, dan bakau.

Pencemaran kimia berbahaya serta plastik akibat perindustrian, pertanian, perbandaran dan perkapalan terus menjejaskan kepelbagaian biologi marin.

Kajian bioindikator seperti bentos dan ikan medaka perlu diperkukuh untuk menilai tahap pencemaran, termasuk kesan bahan tributyltin (TBT).

Walaupun penggunaannya dalam cat anti pengotoran pada kapal telah diharamkan oleh

Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) sejak 2008, namun TBT masih dikesan dalam ekosistem laut.

Pencemaran TBT memberi kesan kronik kepada burung hijrah pantai melalui rantaian makanan, menyebabkan penipisan kulit telur, pengurangan kadar kesuburan, kecacatan anak burung, serta gangguan tingkah laku migrasi.

Ancaman ini bukan sahaja menjejaskan populasi burung hijrah global, tetapi juga ekosistem pesisir yang bergantung kepada keseimbangan rantai makanan.

Petronas dengan kapasiti penyelidikan mereka boleh memainkan peranan penting dalam menyokong kajian saintifik ini, sekali gus membantu kerajaan merangka dasar pemuliharaan yang lebih berkesan.

Kawasan tanah lembap seperti Lembangan Kertih boleh dijadikan model pemuliharaan ekosistem pembiakan ikan dan invertebrata penting kepada nelayan tempatan.

Kajian menyeluruh terhadap pantai dan laluan burung hijrah di sepanjang East Asian-Australasian Flyway (EAAF) juga perlu diperkukuh kerana Malaysia merupakan titik persinggahan kritikal bagi spesies burung migrasi.

Selain itu, sumber gamat di Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi menunjukkan pengurangan populasi akibat eksploitasi komersial. Kekurangan bekalan semula jadi memaksa pengimportan gamat mentah.

Projek rehabilitasi dan pembiakan semula perlu dijalankan segera bagi memulihkan populasi haiwan marin tersebut, sekali gus mengembalikan keseimbangan ekologi.

Inisiatif SD Guthrie Berhad melalui Pusat Penyelidikan Paya Bakau Pulau Carey yang ditubuhkan sejak tahun 2009 memfokuskan kepada kelestarian marin dan pesisir pantai suatu yang mesti diteruskan.

Perancangan pembangunan Pulau Carey untuk aktiviti pelabuhan bertaraf dunia, menuntut pusat penyelidikan ini diperkasakan.

Usaha syarikat korporat membuktikan bahawa pemuliharaan kepelbagaian biologi marin bukan lagi tanggungjawab kerajaan semata-mata.

Ia kini menjadi agenda bersama yang menggabungkan dana korporat, kepakaran saintifik dan sokongan komuniti.

Dengan pendekatan bersepadu ini, Malaysia berpeluang bukan sahaja melindungi ekosistem marin, tetapi juga menjadikan kepelbagaian biologi sebagai aset strategik negara.

Mungkin sempena sambutan Hari Maritim 2026 ini, satu tabung penyelidikan pemuliharaan ekosistem marin boleh ditubuhkan untuk sumbangan pihak korporat berkaitan.

Jika kita gagal bertindak, generasi akan datang hanya akan mewarisi laut yang kosong dan pantai yang hilang. Tetapi jika kita terus komited, dari dasar laut hingga ke puncak bakau, harapan masa depan akan terus hidup. – UTUSAN

DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia (ASM).

 

 

 

8 kawasan catat IPU tidak sihathttps://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/09/1632321/8-kawasan-catat-ipu-tidak-sihat

KUALA LUMPUR: Lapan kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 7 pagi ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Serian (173), Sri Aman (171) dan Kuching (134).

Lima lokasi di Semenanjung merekodkan bacaan tidak sihat ialah Johan Setia, Selangor merekodkan IPU 152, Cheras, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (152), Nilai, Negeri Sembilan (127), Seremban (122) dan Putrajaya (121).

Setakat 7 pagi itu turut menunjukkan 58 lokasi merekodkan IPU tahap sederhana, manakala dua lokasi lagi mencatatkan kualiti udara baik.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

 

Debu gunung berapi Danau Toba di Kg. Padang Nyior

PADANG TERAP: Debu gunung berapi yang meletus di Indonesia boleh sampai sehingga ke negara ini seperti yang pernah terjadi di Kampung Padang Nyior, Padang Sanai, di sini.

Sehingga kini, debu berwarna putih itu masih boleh dilihat di pekarangan rumah milik salah seorang penduduk, Abdul Halim Jusoh, 78, yang turut dijadikan Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah di kawasan penemuan debu gunung berapi berusia 74,000 tahun itu.

Kawasan penemuan debu gunung berapi dari Danau Toba, Sumatera itu digazetkan sebagai Tapak Terpelihara Geowarisan pada 2015 dan pernah menjadi tumpuan pelancong tempatan serta asing.

Difahamkan, debu tersebut ditemui sejak 1980 di Serdang, Selangor; Lenggong, Perak; dan di Padang Nyior di sini sebelum kajian dilakukan pada 1990 hingga 1995.

Menurut Abdul Halim, debu secara bertaburan itu berada di dalam kawasan seluas 1.2 hektar miliknya di mana tanah itu dibeli daripada penduduk lain puluhan tahun lalu.

“Ketika saya beli tanah ini, ba­nyak kawasan dipenuhi debu ini atau orang kampung di sini panggil Batu Pong termasuk di bawah tapak rumah yang saya bina.

“Setelah kajian mengesahkan ia adalah debu gunung berapi dari Danau Toba, saya memberi kerjasama kepada pihak berwajib untuk dijadikan kawasan ini sebagai tapak warisan kerana bagi saya ia adalah satu sejarah yang tidak ada di tempat lain,” katanya ketika ditemui semalam.

Ujar Abdul Halim, selain di kawasan rumah miliknya di Kampung Padang Nyior, debu berkenaan turut ditemui di beberapa lagi kampung berhampiran antaranya Kampung Padang Chenerai; Kampung Pisang; Kampung Padang Gelanggang; Kampung Kubang Palas dan Kampung Pok Ka.

“Tetapi tidak semua kawasan ini digazetkan sebagai Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah macam di tanah saya, rasanya mungkin kerana di tempat saya ia mudah dilihat oleh sesiapa sahaja berbanding kawasan lain yang berada dalam hutan dan sebagainya.

“Cuma ketika ini kawasan di pekarangan rumah saya agak terbiar kerana faktor usia untuk membersihkan semak-samun selain kekangan kos dan jika ada pihak yang ingin tampil untuk memulihara lokasi ini saya alu-alukan,” katanya.-UTUSAN.

Keluarga terima segala kemungkinan berlaku

PETALING JAYA: Keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan bencana banjir di Nepal pada 26 Ogos lalu kini bersedia menerima segala kemungkinan selepas memasuki hari ke-15 tanpa sebarang khabar berita mengenai mereka.

Anak kepada V. Krishnan, 74, yang dilaporkan hilang dalam bencana itu, K. Divya Varshini, 29, berkata keluarganya masih berharap bapanya dapat ditemukan, namun pada masa sama perlu berdepan dengan sebarang kemungkinan.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti lagi. Saya takut untuk terus berharap dan percaya.

“Tetapi pada masa sama, saya rasa bersalah kalau saya langsung tidak mempunyai harapan.

“Saya juga perlu berdepan dengan realiti dan perlahan-lahan menerima apa sahaja kemungkinan yang berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, sehingga kini tiada perkembangan atau maklumat lanjut diterima daripada pihak kedutaan selepas sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris diambil minggu lalu bagi membantu usaha mengenal pasti mangsa.

Katanya, bapanya yang berlepas pada 23 Ogos lalu amat teruja mengikuti perjalanan keagamaan ke Gunung Kailash yang menjadi impiannya sejak dahulu.

“Dia sangat teruja dapat pergi ke sana dan sepatutnya pulang pada Ahad lalu, namun kini kami masih berharap keajaiban,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa, 44, atau Loe, Hani Othman, menyerahkan sepenuhnya usaha pencarian kepada pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Katanya, dia yang kini berada di Kathmandu memilih untuk tidak kembali ke kawasan berkenaan bagi mengelakkan gangguan terhadap operasi pencarian.

“Saya yakin dengan kepakaran pasukan SMART yang lebih berpengalaman dalam mengendalikan operasi pencarian dan percaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

“Saya letakkan sepenuh kepercayaan kepada pasukan SMART. Mereka lebih pakar dan saya yakin mereka tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Menurutnya, dia turut menghargai bantuan rakyat Nepal yang banyak membantu sepanjang berada di negara berkenaan.

“Apabila berada di sini, perasaan bercampur-baur, namun orang Nepal sangat membantu kami,” katanya.

Seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana itu, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu bagi menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search