BRUSSELS: Hampir semua negara di Eropah mengalami suhu melebihi purata pada 2025, tahun yang menyaksikan rekod baharu bagi kebakaran hutan, suhu laut dan gelombang haba ketika perubahan iklim terus bertambah buruk.
Menurut saintis Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), sekurang-kurangnya 95 peratus kawasan Eropah mencatatkan suhu lebih tinggi daripada purata.
Sementara itu, kebakaran hutan memusnahkan lebih sejuta hektar tanah – kawasan lebih besar daripada Cyprus dan jumlah tahunan tertinggi pernah direkodkan, menurut laporan WMO dan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus EU.
Dapatan itu menunjukkan perubahan iklim semakin memberi kesan serius di Eropah, ketika beberapa kerajaan cuba melonggarkan dasar pengurangan pelepasan karbon atas alasan ekonomi.
EU pula menegaskan komitmen terhadap sasaran hijau, namun melonggarkan sebahagian peraturan iklim untuk kereta dan syarikat tahun lalu susulan tekanan industri.
Eropah kini adalah benua yang paling pantas mengalami pemanasan di dunia.
WMO dan Copernicus memaklumkan lebih separuh kawasan Eropah dilanda kemarau pada Mei 2025, manakala keseluruhan tahun itu adalah antara tiga tahun paling kering bagi kelembapan tanah sejak 1992, sekali gus menambah tekanan terhadap sektor pertanian.
Suhu permukaan laut Eropah turut mencatat rekod tertinggi tahunan, dengan 86 peratus rantau itu mengalami gelombang haba laut yang kuat.
Samantha Burgess, ketua strategik di Pusat Ramalan Cuaca Jangka Sederhana Eropah, berkata laporan itu menunjukkan bahawa 'perubahan iklim bukan ancaman masa depan, tetapi hakikat masa kini'.
"Kelajuan perubahan iklim menuntut tindakan yang lebih segera," katanya.
WMO dan Copernicus turut menzahirkan kebimbangan terhadap perubahan di kawasan paling sejuk di Eropah, yang bergantung pada litupan salji dan ais untuk membantu memperlahankan pemanasan melalui kesan pantulan cahaya matahari atau 'albedo'.
Apabila suhu meningkat dan ais mencair, kesan ini berkurangan, sekali gus mempercepatkan pemanasan dan menyumbang kepada kenaikan paras laut.
Norway, Sweden dan Finland di rantau sub-Arktik mengalami gelombang haba paling teruk dalam rekod pada Julai lalu, berlarutan selama tiga minggu berturut-turut manakala suhu Lingkaran Artik pula melepasi 30 darjah Celsius.
Iceland pula mencatat kehilangan glasier kedua terbesar pada 2025 sejak rekod bermula, menurut laporan itu. - REUTERS
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 319.7203 hektar kawasan di seluruh Terengganu terjejas akibat kebakaran terbuka bagi tempoh 1 Januari hingga 27 April lalu dengan kawasan belukar atau lalang mencatatkan keluasan terbesar.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata, daripada jumlah keluasan itu, belukar atau lalang merekodkan 190.9121 hektar, diikuti hutan (117.051 hektar), lain-lain kebakaran terbuka (8.4742 hektar) serta kebun atau ladang (3.283 hektar).
Dalam tempoh sama, sebanyak 1,434 kes kebakaran terbuka dan hutan direkodkan di negeri ini dengan kebakaran belukar atau lalang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,133 kes.
“Kebakaran terbuka lain seperti pembakaran longgokan kayu dan sampah merekodkan 145 kes, kebakaran hutan (140 kes) serta kebun atau ladang (16 kes),” katanya.
Katanya, Kuala Nerus merekodkan jumlah kes tertinggi sebanyak 255 kes, diikuti Kemaman (238 kes), Marang (207 kes) dan Dungun (205 kes), manakala Hulu Terengganu mencatatkan jumlah terendah iaitu 32 kes.
Kebakaran hutan paya gambut di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun yang bermula 23 April lalu terkawal apabila kira-kira 73 peratus daripada keseluruhan 34 hektar kawasan terjejas dipadamkan.
Cuaca panas: Sungai Golok menurun ketara, Empangan Bukit Kwong bawah paras kritikal
- Admin UKK
- Berita
RANTAU PANJANG: Cuaca kering berpanjangan menyebabkan paras air Sungai Golok yang memisahkan Malaysia dan Thailand, menurun ketara di bawah paras normal.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Dr Siti Fairus Zakaria berkata bacaan sungai itu mencatatkan 3.08 meter (m) hari ini, berbanding paras normal sekitar 5m.
"Paras air turun kepada 1.92m, iaitu jauh di bawah paras biasa, berikutan musim kering yang berterusan," katanya ketika dihubungi.
Mengenai Empangan Bukit Kwong, Siti Fairus berkata paras air direkodkan pada 13.92m setakat jam 8 pagi semalam.
"Ini berada di bawah paras kritikal di bawah status kawalan kemarau, berbanding paras takungan normal 16.76m," katanya.
Di bawah prosedur operasi standard (SOP) kawalan kemarau dari Januari hingga Jun, paras amaran empangan ditetapkan pada 15.7m, paras berjaga-jaga pada 15m dan paras kritikal pada 14m.
"Bagi tempoh Julai hingga Disember, paras amaran, berjaga-jaga dan kritikal masing-masing ditetapkan pada 13.5m, 13.1m dan 12.6m," tambahnya.
Siti Fairus berkata jabatan itu sedang memantau rapat keadaan berkenaan dan akan melaksanakan langkah sewajarnya bagi mengurus sumber air sepanjang tempoh kemarau.
Sungai Golok penting untuk sektor pertanian sebagai sumber utama pengairan dan kehidupan luar bandar.
SANDAKAN, 29 Apr: Selepas dua kebakaran besar berlaku di kawasan sama di Sandakan dalam tempoh 10 hari, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyeru orang ramai agar meningkatkan kewaspadaan, khususnya ketika cuaca panas dan kering pada masa ini.
Komander Bomba Zon Sandakan, Jasri Ab Jal berkata, kebanyakan kes kebakaran berpunca daripada kecuaian, terutama ketika melakukan aktiviti memasak yang ditinggalkan tanpa pengawasan.
“Pastikan semasa memasak, jangan ditinggalkan tanpa pengawasan. Kita ambil pendekatan 3L, iaitu jangan leka, lupa dan lalai, kerana kebanyakan statistik kebakaran menunjukkan ia berpunca daripada kecuaian.
“Selain itu, orang ramai juga perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan elektrik. Elakkan penyambungan berlebihan atau tidak selamat kerana ia boleh meningkatkan risiko kebakaran, terutama dalam keadaan cuaca panas ketika ini,” katanya.
Menurutnya, dalam kejadian terbaru di Jalan Bokara, Kampung PPH Karamunting, pihaknya menerima panggilan melalui MERS 999 pada jam 3.16 pagi sebelum jentera tiba di lokasi sekitar jam 3.34 pagi.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan pendekatan ofensif dan defensif melibatkan tiga sektor utama serta lima sub-sektor pancutan bagi memastikan kebakaran dapat dikawal dengan cepat.
Daripada kira-kira 150 rumah di kawasan itu, sebanyak 30 unit musnah, manakala 120 lagi berjaya diselamatkan daripada terbakar.
“Api berjaya dikawal pada jam 4.29 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.01 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan penduduk mahupun anggota,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, operasi berdepan cabaran tekanan air rendah, memerlukan bekalan air disalurkan dari pili bomba berhampiran ke jentera tangki.
Punca kebakaran bagaimanapun masih dalam siasatan pasukan forensik bomba.
Kejadian ini berlaku hanya 10 hari selepas kebakaran besar di Kampung Bahagia, Batu Sapi yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah, sekali gus menjadikannya antara insiden kebakaran paling besar pernah direkodkan di Sandakan. -TVS
KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,000 cerun berisiko di seluruh negara kini berada dalam pemantauan rapi pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cerun-cerun tersebut berada pada tahap risiko berbeza, dengan sebahagiannya telah runtuh manakala ada yang masih dalam kategori berpotensi tinggi.
Menurutnya, pendekatan pemantauan dilakukan secara berterusan menggunakan kaedah tertentu termasuk teknologi bagi mengesan pergerakan tanah.
“Ada yang membahayakan, ada yang tidak. Ada yang sudah runtuh, ada juga yang kita tahu berisiko tinggi tetapi belum berlaku apa-apa. Kita pantau dahulu dan bukan kita tidak peduli,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan International Conference on Slope 2026 (ICOS 2026) di Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata penggunaan teknologi memainkan peranan penting dalam menangani isu cerun yang boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya.
Katanya, penganjuran ICOS menjadi platform menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa bagi berkongsi kepakaran serta idea berkaitan pengurusan cerun.
“Dalam persidangan ini, terdapat 47 kertas kerja dibentangkan termasuk oleh pakar dari luar negara yang berkongsi pengalaman masing-masing. Walaupun cerun itu sama, namun faktor seperti tanah dan topografi berbeza mengikut negara, jadi pendekatan juga tidak boleh disamaratakan,” ujarnya.
Jelasnya, lokasi yang telah dibaik pulih tidak lagi dikategorikan sebagai hotspot, namun kawasan lain boleh muncul sebagai titik baharu yang memerlukan perhatian.
“Data ini bergerak, bukan statik. Bila kita baiki satu kawasan, ia bukan lagi hotspot tetapi mungkin lokasi lain pula timbul isu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
