Bomba seru masyarakat tingkat kewaspadaan selepas dua kebakaran dalam 10 hari
- Admin UKK
- Berita
SANDAKAN, 29 Apr: Selepas dua kebakaran besar berlaku di kawasan sama di Sandakan dalam tempoh 10 hari, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyeru orang ramai agar meningkatkan kewaspadaan, khususnya ketika cuaca panas dan kering pada masa ini.
Komander Bomba Zon Sandakan, Jasri Ab Jal berkata, kebanyakan kes kebakaran berpunca daripada kecuaian, terutama ketika melakukan aktiviti memasak yang ditinggalkan tanpa pengawasan.
“Pastikan semasa memasak, jangan ditinggalkan tanpa pengawasan. Kita ambil pendekatan 3L, iaitu jangan leka, lupa dan lalai, kerana kebanyakan statistik kebakaran menunjukkan ia berpunca daripada kecuaian.
“Selain itu, orang ramai juga perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan elektrik. Elakkan penyambungan berlebihan atau tidak selamat kerana ia boleh meningkatkan risiko kebakaran, terutama dalam keadaan cuaca panas ketika ini,” katanya.
Menurutnya, dalam kejadian terbaru di Jalan Bokara, Kampung PPH Karamunting, pihaknya menerima panggilan melalui MERS 999 pada jam 3.16 pagi sebelum jentera tiba di lokasi sekitar jam 3.34 pagi.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan pendekatan ofensif dan defensif melibatkan tiga sektor utama serta lima sub-sektor pancutan bagi memastikan kebakaran dapat dikawal dengan cepat.
Daripada kira-kira 150 rumah di kawasan itu, sebanyak 30 unit musnah, manakala 120 lagi berjaya diselamatkan daripada terbakar.
“Api berjaya dikawal pada jam 4.29 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.01 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan penduduk mahupun anggota,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, operasi berdepan cabaran tekanan air rendah, memerlukan bekalan air disalurkan dari pili bomba berhampiran ke jentera tangki.
Punca kebakaran bagaimanapun masih dalam siasatan pasukan forensik bomba.
Kejadian ini berlaku hanya 10 hari selepas kebakaran besar di Kampung Bahagia, Batu Sapi yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah, sekali gus menjadikannya antara insiden kebakaran paling besar pernah direkodkan di Sandakan. -TVS
