Hampir seluruh Eropah alami suhu panas melampau, atasi rekod iklim
- Admin UKK
- Berita
BRUSSELS: Hampir semua negara di Eropah mengalami suhu melebihi purata pada 2025, tahun yang menyaksikan rekod baharu bagi kebakaran hutan, suhu laut dan gelombang haba ketika perubahan iklim terus bertambah buruk.
Menurut saintis Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), sekurang-kurangnya 95 peratus kawasan Eropah mencatatkan suhu lebih tinggi daripada purata.
Sementara itu, kebakaran hutan memusnahkan lebih sejuta hektar tanah โ kawasan lebih besar daripada Cyprus dan jumlah tahunan tertinggi pernah direkodkan, menurut laporan WMO dan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus EU.
Dapatan itu menunjukkan perubahan iklim semakin memberi kesan serius di Eropah, ketika beberapa kerajaan cuba melonggarkan dasar pengurangan pelepasan karbon atas alasan ekonomi.
EU pula menegaskan komitmen terhadap sasaran hijau, namun melonggarkan sebahagian peraturan iklim untuk kereta dan syarikat tahun lalu susulan tekanan industri.
Eropah kini adalah benua yang paling pantas mengalami pemanasan di dunia.
WMO dan Copernicus memaklumkan lebih separuh kawasan Eropah dilanda kemarau pada Mei 2025, manakala keseluruhan tahun itu adalah antara tiga tahun paling kering bagi kelembapan tanah sejak 1992, sekali gus menambah tekanan terhadap sektor pertanian.
Suhu permukaan laut Eropah turut mencatat rekod tertinggi tahunan, dengan 86 peratus rantau itu mengalami gelombang haba laut yang kuat.
Samantha Burgess, ketua strategik di Pusat Ramalan Cuaca Jangka Sederhana Eropah, berkata laporan itu menunjukkan bahawa 'perubahan iklim bukan ancaman masa depan, tetapi hakikat masa kini'.
"Kelajuan perubahan iklim menuntut tindakan yang lebih segera," katanya.
WMO dan Copernicus turut menzahirkan kebimbangan terhadap perubahan di kawasan paling sejuk di Eropah, yang bergantung pada litupan salji dan ais untuk membantu memperlahankan pemanasan melalui kesan pantulan cahaya matahari atau 'albedo'.
Apabila suhu meningkat dan ais mencair, kesan ini berkurangan, sekali gus mempercepatkan pemanasan dan menyumbang kepada kenaikan paras laut.
Norway, Sweden dan Finland di rantau sub-Arktik mengalami gelombang haba paling teruk dalam rekod pada Julai lalu, berlarutan selama tiga minggu berturut-turut manakala suhu Lingkaran Artik pula melepasi 30 darjah Celsius.
Iceland pula mencatat kehilangan glasier kedua terbesar pada 2025 sejak rekod bermula, menurut laporan itu. - REUTERS
