Lebih 319 hektar terjejas akibat kebakaran terbuka di Terengganu
- Admin UKK
- Berita
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 319.7203 hektar kawasan di seluruh Terengganu terjejas akibat kebakaran terbuka bagi tempoh 1 Januari hingga 27 April lalu dengan kawasan belukar atau lalang mencatatkan keluasan terbesar.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata, daripada jumlah keluasan itu, belukar atau lalang merekodkan 190.9121 hektar, diikuti hutan (117.051 hektar), lain-lain kebakaran terbuka (8.4742 hektar) serta kebun atau ladang (3.283 hektar).
Dalam tempoh sama, sebanyak 1,434 kes kebakaran terbuka dan hutan direkodkan di negeri ini dengan kebakaran belukar atau lalang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,133 kes.
“Kebakaran terbuka lain seperti pembakaran longgokan kayu dan sampah merekodkan 145 kes, kebakaran hutan (140 kes) serta kebun atau ladang (16 kes),” katanya.
Katanya, Kuala Nerus merekodkan jumlah kes tertinggi sebanyak 255 kes, diikuti Kemaman (238 kes), Marang (207 kes) dan Dungun (205 kes), manakala Hulu Terengganu mencatatkan jumlah terendah iaitu 32 kes.
Kebakaran hutan paya gambut di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun yang bermula 23 April lalu terkawal apabila kira-kira 73 peratus daripada keseluruhan 34 hektar kawasan terjejas dipadamkan.
