PETALING JAYA: Keadaan banjir di Kelantan, Perak, dan Johor kekal tidak berubah setakat pukul 9 pagi tadi .
Di Perak, seramai 307 mangsa daripada 59 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara di Dewan Kampung Asli Chinggung, daerah Muallim.
Jabatan Pengairan dan Saliran negeri melaporkan bahawa paras air di Sungai Perak di Pasang Api, Bagan Datuk, kekal pada paras bahaya, iaitu 3.11 meter.
Sementara itu di Kelantan, jumlah mangsa banjir kekal seramai 38 orang daripada 10 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh, Rantau Panjang.
Menurut portal Public Infobanjir, Sungai Golok di Rantau Panjang kini berada pada paras amaran iaitu 8.0 meter, berbanding paras bahaya 9.39 meter yang direkodkan malam tadi.
Di Johor pula, jumlah mangsa banjir kekal seramai 69 orang daripada 17 keluarga, yang kini ditempatkan di dua pusat pemindahan, iaitu Sekolah Kebangsaan Gembut dan Balai Raya Kampung Perpat di daerah Kota Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani, dalam satu kenyataan, memaklumkan bahawa paras air di stesen Sungai Simpang Kanan di Parit Belemam, Batu Pahat, kekal pada paras berjaga-jaga dengan bacaan 2.31 meter. – UTUSAN
BATU PAHAT: Sebanyak 133 pusat peperiksaan alternatif disediakan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya berlaku banjir di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, langkah tersebut merupakan antara mekanisme dan pelan integrasi bagi memastikan semua calon SPM di negeri berisiko banjir dapat menduduki peperiksaan berkenaan.
Sekiranya berlaku banjir, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengaktifkan Op Payung bagi membantu calon dan pada petugas peperiksaan yang terkesan.
“KPM akan pastikan calon-calon SPM ditempatkan di sekolah yang mempunyai asrama sebagai mekanisme sekiranya banjir berlaku sebagaimana yang dibuat semasa ujian lisan tempoh hari.
“Sekiranya sekolah yang terlibat sebagai pusat peperiksaan dilanda banjir. Maka, kita akan alihkan calon SPM di pusat alternatif ke sekolah yang tidak dilanda banjir,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan hari pertama peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan negeri, Hanafi Samad dan Pengetua SMK Tinggi Batu Pahat, Ramlan Pit.
Azman berkata, pihaknya juga menyediakan khidmat bantuan psikososial bagi calon SPM yang mengalami tekanan akibat banjir.
Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2024 di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula 2 Disember lalu.
SPM 2024 bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 2, 3, 4 dan 5 Disember, Ujian Amali Sains (9,10 dan 12 Disember); Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (16,17,18, dan 19 Disember); Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (31 Disember) serta Peperiksaan Bertulis (2 Januari hingga 6 Februari 2025).
Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan, iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu ini. – UTUSAN
KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu ini.
JPS menerusi kenyataan memaklumkan jajahan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.
"Jajahan Tumpat dijangka membabitkan lembangan Sungai Golok, lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Pengkalan Nangka manakala jajahan Pasir Mas melibatkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan,” menurut kenyataan itu.
JPS memaklumkan jajahan Kota Bharu membabitkan lembangan Sungai Kelantan, lembangan Sungai Pengkalan Datu dan lembangan Sungai Semerak; lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Semerak (Pasir Puteh); lembangan Sungai Kemasin dan lembangan Sungai Semerak (Bachok) serta lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan (Tanah Merah).
Menurut kenyataan itu, jajahan Kuala Krai akan melibatkan lembangan Sungai Kelantan manakala di Jeli membabitkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan.
"JPS akan membuat pemantauan secara berterusan dan akan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai ini.
"Banjir yang diramal boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh jangkaan. Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk setempat terutamanya di kawasan berisiko banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” menurut JPS.
Maklumat dan amaran semasa boleh didapati menerusi laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook PublicinfoBanjir. - Bernama
KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Kelantan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sedikit meningkat malam ini, manakala di Perak pula situasi bencana itu bertambah baik dan jumlah mangsa di Johor kekal tidak berubah.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 38 orang daripada 10 keluarga setakat jam 8 malam, berbanding 31 orang pagi tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa adalah dari daerah Pasir Mas dan kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh.
Sementara itu, portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi tahap bahaya tetapi menunjukkan trend menurun iaitu 9.39 meter (m) berbanding 9.80m pada pagi tadi.
Di Perak, mangsa banjir malam ini berkurangan kepada 307 mangsa daripada 59 keluarga, berbanding 399 mangsa daripada 86 keluarga pagi tadi dan mereka ditempatkan di PPS Dewan Kampung Asli Chinggung di daerah Muallim.
Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Perak memaklumkan bahawa PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah, yang sebelum ini menempatkan 21 mangsa, telah ditutup sepenuhnya pada jam 2 petang tadi.
Di Johor, jumlah mangsa banjir kekal seramai 69 orang daripada 17 keluarga sejak jam 8 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan semua mangsa terjejas masih berada di dua PPS yang beroperasi di daerah Kota Tinggi.
"Sebanyak 42 orang daripada 12 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Gembut, manakala 27 orang daripada lima keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Perpat. Selain itu, hanya stesen Sungai
Simpang Kanan di Parit Belemam, Batu Pahat, merekodkan paras amaran dengan bacaan 2.31m," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa keadaan cuaca diramalkan cerah di enam daerah, manakala Pontian, Segamat dan Kulai dijangka mendung dan Batu Pahat pula diramalkan hujan pada malam ini.
SHAH ALAM - Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan bagi seluruh Terengganu selain beberapa daerah di Kelantan, Pahang dan Johor bermula 4 hingga 6 Januari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, antara lokasi yang melibatkan Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Menurutnya, di Pahang pula membabitkan Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin manakala di Johor melibatkan Mersing serta Kota Tingga.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.
“Talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
