34 kawasan dikenal pasti berdepan hakisan
- Admin UKK
- Berita
Kuala Terengganu: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti 34 kawasan berdepan dengan masalah hakisan susulan fenomena ombak besar sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Pengarah JPS negeri, Osman Abdullah, berkata Pantai Pachakan dan Pantai Teluk Bayu di daerah Besut membabitkan hakisan sejauh kirakira 900 meter (m).
Katanya, antara 12 pantai di daerah Setiu turut berlaku hakisan adalah Pantai Limau Nipis membabitkan jarak sejauh 3,000m, Pantai Gong Baru (3,000m), Pantai Mangkuk (2,500m), Pantai
Penarik (3,000m), Pantai Penarik Baru (2,500m), Pantai Rhu 10 (3,500m) dan Pantai Sekepeng (2,000m).
Katanya, pantai lain di daerah itu yang turut terhakis berikutan fenomena ombak besar adalah Pantai Bari membabitkan jarak sejauh 3,500m, Pantai Telaga Papan (4,000m), Pulau Besar (2,500m), Pantai Merang (2,500m) dan Pantai Payang (3,000m).
“Lima pantai di daerah Kuala Nerus yang terhakis adalah Pantai Miami membabitkan jarak sejauh 2,900m, Pantai Tok Jembal (3,200m), Pantai Tanjung Gelam (1,200m) dan Pantai Kampung Kolam hingga Pantai Batu Rakit (4,300m) serta Pantai Pengkalan Atap sejauh 1,500m.
“Hanya dua pantai di daerah Kuala Terengganu dan satu di daerah Marang yang turut terhakis, iaitu Pantai Gong Batu Burok (200m), Pantai Istana Badariah (2,000m) manakala Pantai Rusila sejauh 6,000m,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Osman berkata demikian ketika ditanya jumlah pantai yang terhakis berikutan fenomena air pasang besar menyebabkan berlaku ombak besar sepanjang MTL.
Lima pantai terhakis
Katanya, lima pantai di daerah Dungun yang terhakis adalah Pantai Paka di Kampung Cacar membabitkan jarak sejauh 800m, Pantai Kuala Abang (1,000m), Pantai Pelanduk (500m), Muara Sungai Abang (500m) dan Pantai Teluk Lipat sejauh 500m.
Katanya, Pantai Kemaman antara tujuh yang terhakis membabitkan jarak sejauh 3,000m, Pantai Teluk Kalong (380m), Pantai Rekreasi di Teluk Kalong (300m), Pantai Kijal (260m), Pantai Kemasik (250m), Pantai Rekreasi Kertih (700m) dan Pantai Ma Daerah di Kertih (700m).
“Kita jangkakan ombak setinggi 4.5m hingga 5.5m dengan tiupan angin antara 60 hingga 70 kilometer sejam diramalkan berlaku mulai malam ini (malam tadi) hingga Ahad depan,” katanya.