OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jumlah mangsa banjir di Johor catat penurunan

Jumlah mangsa banjir di Johor catat penurunan

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Johor menurun pagi semalam berbanding malam kelmarin manakala sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sarawak, selain situasi di Perak tidak berubah.

Di JOHOR bilangan mangsa banjir menurun kepada 3,776 orang setakat 11 pagi semalam berbanding 3,869 orang yang direkodkan malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 1,066 keluarga itu ditempatkan di 37 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas.

“Daerah Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dipindahkan ke PPS dengan 1,322 orang, diikuti Johor Bahru (780 orang), Kulai (546 orang), Pontian (595 orang) dan Kluang (533 orang),” katanya.

Azmi berkata, empat sungai dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dengan bacaan 15.40 meter (m), Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai, Pontian (3.14 m), Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru (3.50 m) dan Sungai Punggai di Punggai, Kota Tinggi (1.59 m).

Selain itu, Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan susulan dinaiki air, sementara Jalan Tanjung Sedili di daerah sama hanya dibuka satu lorong.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan memaklumkan hujan berterusan dijangka melanda enam daerah di Johor sepanjang hari ini iaitu Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru

Di SARAWAK, Sekretariat JPBN memaklumkan PPS di Dewan Serbaguna Nanga Ngungun di Kanowit dibuka pada 11.30 malam kelmarin bagi menempatkan 18 mangsa daripada empat keluarga dari Rumah Suzy Lily di daerah tengah negeri itu.

Sementara itu di Sibu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan sebuah lori tiga bagi menghantar tujuh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kwong Hua ke sekolah untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ekoran jalan dari kawasan kediaman pelajar berkenaan dinaiki air.

Mereka diiringi dua guru dan tiga pengawas peperiksaaan.

Sementara itu di PERAK, jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir kekal 31 orang melibatkan sembilan keluarga di daerah Manjung setakat 8 pagi semalam dengan Sekretariat JPBN memaklumkan semua mereka masih ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search