Kawasan berdekatan SK Beradek di Padawan dijadikan lokasi PPK tempatkan mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
KUCHING: Kawasan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Beradek di Padawan akan dijadikan sebagai lokasi pembinaan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) bagi menempatkan mangsa banjir.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan persekutuan telah meluluskan sejumlah dana untuk mewujudkan satu PPK di Sarawak.
“Mereka (kerajaan persekutuan) telah memperuntukkan dana untuk membina PPK berhampiran SK Beradek itu.
“Setakat ini, kita tidak menghadapi sebarang masalah dengan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang sedia ada, namun saya berpandangan bahawa pembinaan PPK di sini adalah satu idea yang baik.
“Kenapa? Ini kerana kebanyakan PPS yang kita gunakan adalah sekolah. Jika PPS digunakan semasa sesi persekolahan, ia mungkin menimbulkan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Uggah yang juga pengerusi JPBNS berkata, idea untuk mewujudkan PPK juga perlu mengambil kira dari sudut keperluan.
“Kalau sesebuah kawasan banjir itu mempunyai penduduk ramai seperti Batu Kawa, saya berpendapat ia akan menjadi satu masalah.
“Oleh itu, kita mengesyorkan agar mewujudkan lagi PPK yang boleh menempatkan sejumlah 500 mangsa banjir, termasuk pelbagai kemudahan.
“Ini perlu diambil perhatian kerana banjir boleh berlaku hampir setiap tahun, misalnya di Batu Kawa sahaja banjir boleh berlaku sebanyak tiga kali,” jelasnya
Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kerajaan sedang berusaha menyediakan sembilan PPK bagi mengurangkan kesan kerosakan kepada sekolah-sekolah yang kini digunakan sebagai PPS ketika banjir.
Katanya, satu PPK akan dibina di setiap negeri yang berisiko tinggi banjir, berikutan kos penyelenggaraan yang tinggi selepas bencana berlaku.
"Kita mendapati kos menyelenggara semula sekolah yang dijadikan PPS sangat tinggi, terutama apabila kelas-kelas perlu dibaik pulih.
“Lebih membebankan, ada sekolah yang tidak memiliki dewan serba guna," katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar (JLB) di Sabak Bernam, Selangor.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus dalam laporan media sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan bercadang membina sembilan PPK yang lengkap dengan kemudahan asas yang selesa di seluruh negara untuk kegunaan mangsa banjir.