Kebakaran di Kalimantan: Malaysia masih tunggu maklum balas Indonesia tawaran bantuan aset
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Kerajaan setakat ini masih belum menerima apa-apa maklum balas daripada Indonesia berhubung nota tawaran bantuan aset Malaysia untuk membantu memadam kebakaran di negara itu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan susulan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Indonesia dan pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto baru-baru ini.
“Wisma Putra memaklumkan mereka belum lagi menerima maklum balas daripada nota yang sudah dihantar oleh Wisma Putra kepada pihak Indonesia.
“Jadi kita masih mengikut saluran rasmi dan juga perbincangan secara langsung dan terus di antara pimpinan utama,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Katanya, pada mesyuarat sama, Ahmad Zahid turut membangkitkan isu aset Malaysia yang mungkin boleh digunakan bagi membantu memadam kebakaran di wilayah Indonesia ketika pertemuan dengan Prabowo.
Dalam perkembangan berkaitan jerebu, Fahmi berkata, keputusan mengenai penganjuran acara besar hujung minggu ini adalah di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Katanya, tiga acara besar dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober, iaitu Le Tour de Langkawi, Bahrain F1 Malaysia dan Standard Chartered Marathon.
“Bagi pihak kerajaan yang menguruskan F1, pihak KBS menyatakan akan meneruskan. Belum ada apa-apa makluman sebaliknya,” katanya. – UTUSAN
JOHOR BAHRU: Seramai 37 kanak-kanak dan tujuh guru tadika di Jalan Muhd Amin, di sini berdepan detik cemas terperangkap selepas premis berkenaan dinaiki air susulan banjir kilat petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.53 petang itu, kesemua mangsa berjaya dipindahkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Surau Medan Selera Tepian.
Komander Operasi, Nakish Nekmat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.53 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin tiba di lokasi pada jam 4.14 petang.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan bot sukarela untuk memindahkan kesemua mangsa ke Surau Medan Selera Tepian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi masih dijalankan dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.
Seramai 10 anggota JBPM terbabit dalam operasi itu dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Hujan lebat bermula jam 2 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini dinaiki air sebelum banjir kilat beransur pulih secara berperingkat.
JOHOR BAHRU – Kerosakan pam tali air didakwa menjadi antara punca Kampung Pasir Tampoi di sini kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat, termasuk kejadian hari ini yang menjejaskan lebih 200 rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, P. Pannir Selvam berkata, masalah berkenaan bukan perkara baharu apabila penduduk berulang kali mengadu mengenai pam yang gagal berfungsi ketika diperlukan.
Menurut beliau, keadaan menjadi lebih buruk apabila hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang.
“Ini bukan kali pertama banjir berlaku di Kampung Pasir Tampoi. Sudah banyak kali berlaku apabila hujan lebat, ditambah pula dengan keadaan air pasang.
“Kalau pam air berfungsi, banjir seperti ini tidak akan berlaku,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan penduduk terjejas hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu meningkatkan pemantauan serta melakukan pemeriksaan berkala terhadap sistem pam tali air di kawasan berisiko bagi memastikan kemudahan berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik.
Dalam kejadian hari ini, hujan lebat kira-kira dua jam menyebabkan Kampung Pasir Tampoi dinaiki air dengan paras banjir dianggarkan antara dua hingga tiga meter.
Selain Kampung Pasir Tampoi, beberapa kawasan lain di sekitar bandar raya ini turut terjejas termasuk Kampung Tuah Jaya, Taman Perling, Kampung Sri Serdang, Kampung Hajah Hasnah, Jalan Sungai Chat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maktab Sultan Abu Bakar dan kawasan Wisma Persekutuan Johor Bahru.-KOSMO! ONLINE
JAKARTA, 30 Sept: Gunung Semeru di Indonesia meletus tujuh kali dalam beberapa jam pada pagi Rabu, menghamburkan tiang abu setinggi 1,000 meter di atas puncak.
Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia, tiang abu tertinggi direkodkan semasa letusan pada 5.58 pagi dan 8.02 pagi waktu tempatan, kedua-duanya mencecah kira-kira 1,000 meter di atas puncak.
“Kedua-dua letusan menghasilkan tiang abu (berwarna) putih ke kelabu, dengan letusan pada 5.58 pagi bergerak ke utara dan letusan pada 8.02 pagi (bergerak) ke timur laut,” menurut data agensi itu yang diterbitkan pada laman webnya.
Semeru, dengan ketinggian 3,676 meter di atas paras laut dan merentasi Kabupaten Lumajang dan Malang di Jawa Timur, adalah antara gunung berapi paling aktif di Indonesia. -TVS
JOHOR BAHRU – Sebanyak RM100 juta dibelanjakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi kerja berkaitan saliran dan tebatan banjir sepanjang 2023 hingga 2026, namun infrastruktur sedia ada masih belum mampu menampung sepenuhnya beban aliran ketika hujan berintensiti tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, keadaan itu jelas apabila hujan yang turun hari ini mencecah 60 milimeter sejam, iaitu tiga kali ganda berbanding kadar rujukan 20 milimeter sejam, pada masa sama berlaku air pasang besar pada paras 3.5 meter.
“Berdasarkan maklumat awal, hujan yang berlaku dalam tempoh singkat menyebabkan peningkatan aliran air secara mendadak dan memberi tekanan besar kepada sistem saliran serta takungan sedia ada.
“Jumlah hujan terkumpul direkodkan sekitar 90 milimeter antara pukul 1 petang hingga 7 malam, dengan peningkatan hujan yang ketara berlaku antara pukul 1.30 petang hingga 5 petang.
“Air pasang besar turut meningkatkan paras air di hilir saluran keluar dan mengurangkan keupayaan pelepasan air secara graviti. Keadaan ini boleh menghasilkan kesan air balik atau backwater, sekali gus memperlahankan aliran saliran dan meningkatkan paras air di kawasan hulu,” katanya selepas turun padang meninjau kejadian banjir kilat di beberapa lokasi di bandar raya ini hari ini.
Beliau berkata, tinjauan dilakukan di enam lokasi iaitu Ayer Molek, kawasan Tabung Haji, Kampung Mohd Amin, rumah pam di hadapan dataran, Jalan Danga berdepan Tune Hotel dan kawasan sekitar dataran bagi menilai kapasiti takungan, keupayaan saliran membawa aliran puncak serta operasi pengepaman ke Selat Johor.
Mohd Jafni berkata, sebanyak RM46.8 juta diperuntukkan pada tahun depan bagi pengurusan banjir, dengan keutamaan diberikan berdasarkan penilaian teknikal terhadap kapasiti saliran, kolam takungan, sistem pengepaman serta risiko air pasang terhadap pelepasan ke Selat Johor.
Katanya, kolam tadahan di Kampung Mohd Amin akan didalamkan bagi meningkatkan kapasiti takungan, manakala kemudahan On-Site Detention (OSD) di Jalan Danga berdepan Tune Hotel akan dinaik taraf bagi menambah takungan sementara dan mengawal kadar pelepasan ke saliran utama.
“Sistem pengepaman juga diperkasa apabila bilangan pam ditambah daripada empat kepada lapan unit untuk mengepam air keluar dari Bandar Johor Bahru ke Selat Johor. Namun, prestasi sistem perlu dinilai berdasarkan kadar alir sebenar dan keadaan operasi, bukan hanya jumlah pam yang tersedia,”katanya.
Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Task Force Banjir Johor Bahru bersama PBT dan agensi teknikal berkaitan esok bagi meneliti data hujan, rekod pasang surut, aras dan tempoh genangan serta kapasiti saliran dan operasi pam.
Beliau berkata, kejadian tanah runtuh di Pangsapuri Saujana turut diberi perhatian dengan MBJB diarahkan memberikan bantuan segera selain menyelaras pemeriksaan teknikal dan tindakan keselamatan bagi memastikan keselamatan penghuni.-KOSMO! ONLINE
