OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Hujan berterusan hingga Rabu ini dijangka landa Sarawak

KUALA LUMPUR: Hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa daerah di Sarawak sehingga Rahu ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, amaran waspada itu dikeluarkan di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Mukah.

Susulan itu, mereka yang ingin mendapatkan situasi cuaca terkini boleh melayari laman web rasmi MetMalaysia atau talian hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Terdahulu, setakat jam 8 pagi tadi, jumlah penduduk yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak kekal 12,321 orang.

Jumlah itu adalah daripada 3,685 keluarga dan kesemua mereka kini ditempatkan di 63 PPS.

Kelmarin, MetMalaysia menjangkakan beberapa lagi luruan monsun yang berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak.

Mohd Hisham dilaporkan berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kelaziman kerana luruan angin antara Februari dan Mac akan menghala ke dua negeri berkenaan.

JPBNS akan kenalpasti, nilai lokasi untuk bina PPS kekal

ASAJAYA: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan menilai seterusnya mengenalpasti lokasi-lokasi tertentu yang boleh dibina Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal di seluruh Sarawak untuk menempatkan mangsa-mangsa bencana di masa hadapan.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, PPS kekal itu perlu agar penggunaan PPS di sekolah-sekolah yang boleh mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pengajaran ketika musim persekolahan, dapat dikurangkan.

Beliau yang juga pengerusi JPBNS berkata, satu lokasi di Kampung Beradek di Kuching sudah dikenalpasti bagi pembinaan PPS kekal pertama di Sarawak.

Bagaimanapun, beberapa lokasi di seluruh negeri itu masih dinilai bagi tujuan terbabit termasuk di kawasan pedalaman seperti di kawasan Baram dan Long Busang.

“Kita akan nilai situasi itu dan sebagai contoh di Long Busang, semalam banjir satu hari namun hari ini air sudah surut.

“Bagaimanapun kita akan melihat kemungkinan untuk bina satu PPS kekal di sana kerana ketika ini jika kawasan rumah panjang atau kampung mereka banjir, mereka tiada tempat untuk berpindah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau PPS di Sekolah Kebangsaan Sampun Tebun di Asajaya.

Tambah Douglas Uggah, selari dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN), JPBNS akan terus diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga bermula November tahun lalu sehingga penghujung Mac ini.

Kesiapsiagaan itu bagi menghadapi kemungkinan Sarawak akan berdepan dengan gelombang kedua banjir di wilayah berkenaan.

Menurut laporan Sekratariat JPBNS, sehingga jam 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa yang ditempatkan PPS berkurang dari 12,321 mangsa kepada 11,958 mangsa di kesemua 61 PPS yang masih aktif.

Sebanyak 15 buah PPS telah ditutup setakat tengah hari tadi, sementara empat PPS yang masih aktif menempatkan mangsa insiden kebakaran dan tanah runtuh dengan masing-masing satu di Sibu, Kuching, Bintulu dan Miri.

Banjir di Queensland ragut nyawa penduduk

QUEENSLAND: Pihak berkuasa Australia pada hari Ahad (2 Februari) mengesahkan bahawa seorang individu telah meninggal dunia dan menggesa ribuan penduduk di utara negeri Queensland untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi akibat banjir yang disebabkan oleh hujan lebat.

Polis mengesahkan bahawa seorang awam telah meninggal dunia selepas sebuah kapal Perkhidmatan Kecemasan terbalik. Lima orang telah diselamatkan dari kapal tersebut.

Banjir itu dicetuskan oleh hujan lebat daripada sistem tekanan rendah, menurut peramal cuaca Australia di laman webnya, sambil menambah bahawa jumlah hujan dalam tempoh 24 jam mungkin mencecah sehingga 300 mm (11.8 inci).

Banjir kerap melanda bahagian timur Australia dalam tahun-tahun kebelakangan ini, termasuk banjir “sekali dalam satu abad” yang melanda wilayah jiran Northern Territory pada Januari 2023 semasa peristiwa cuaca La Nina yang berlangsung selama beberapa tahun. – REUTERS

NADMA diminta terus pantau tahap kesiapsiagaan agensi terbabit hadapi bencana - TPM Zahid

PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku urus setia kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) diminta agar terus memantau tahap kesiapsiagaan semua agensi terbabit di semua peringkat untuk menghadapi bencana, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Merujuk kepada situasi banjir di Sabah dan Sarawak ketika ini, beliau menyatakan rasa puas hati dengan koordinasi baik oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di negeri yang dilanda banjir.

"Dengan persediaan dan koordinasi awal, kerajaan telah menyediakan peruntukan awal kepada semua negeri dan agensi tindak balas bagi tujuan pengoperasian semasa Monsun Timur Laut 2024/2025, selain penyelarasan yang baik dan teratur dapat dibuat dan disusun oleh JPBD dan JPBN.

"Ini termasuklah memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan kemudahan asas yang mencukupi untuk kegunaan mangsa banjir," katanya menerusi kenyataan semalam.

Ahmad Zahid yang juga pengerusi JPBP turut memohon supaya proses pendaftaran dan pengesahan mangsa dipermudah serta disegerakan bagi mengelakkan kelewatan pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI).

 

Untuk rekod, kerajaan Persekutuan akan mengagihkan bantuan ihsan RM1,000 kepada ketua isi rumah (KIR) yang terkesan banjir dan berpindah ke PPS, mengikut syarat ditentukan NADMA.

Orang ramai diingatkan untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan termasuk menyediakan beg kecemasan, segera berpindah ke PPS yang disediakan apabila diarahkan, pergi ke tempat tinggi dan selamat serta jangan membiarkan kanak-kanak bermain air di kawasan banjir. – BERNAMA

Jumlah mangsa banjir di Sabah berkurang, beberapa PPS ditutup malam tadi

KUALA LUMPUR: Setakat jam 8 malam tadi, jumlah mangsa banjir di Sabah menurun dan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.

Berbanding 1,702 petang semalam, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 1,485 orang malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan, daerah Beluran pulih sepenuhnya dan semua PPS ditutup 6 petang semalam menjadikan hanya sembilan PPS dibuka di empat daerah di negeri itu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, Pitas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 819 mangsa, diikuti Lahad Datu (520), Beaufort (110) dan Paitan (36).

Trend pemindahan mangsa di daerah Lahad Datu menunjukkan peningkatan manakala daerah-daerah lain kekal tidak berubah.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search