MERSING – Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi tanda amaran bendera merah di persisiran Pantai Air Papan di sini, berikutan daerah ini masih lagi dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL).
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing Lt M (PA) Muhamad Syafiq Mohamad Sabri berkata, meskipun cuaca baik, keadaan angin kencang dan laut bergelora berisiko kepada aktiviti pantai serta berkaitan air.
“Para pengunjung hendaklah mematuhi arahan bendera merah yang melarang untuk mandi-manda selain elakkan menghampiri kawasan pantai bagi menghindari insiden tidak diingini berlaku.
“Pada masa sama, kita ingin menasihati mereka agar mengambil perhatian mengenai maklumat ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya kepada Bernama hari ini.
Muhamad Syafiq berkata pihaknya sentiasa siap siaga memantau keselamatan pengunjung di lokasi tumpuan ramai itu selain memberikan khidmat nasihat supaya mereka lebih berhati-hati.
“Seorang pegawai dan lima anggota terlibat untuk penugasan di menara penyelamat pantai bagi menjadi ‘penyampai amaran’ kepada pengunjung yang melepasi radius ditetapkan.
“Pasukan ini juga akan membuat rondaan di pantai secara berkala selain memastikan alatan menyelamat sedia digunakan pada bila-bila masa,” katanya.
MetMalaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur (kategori pertama) pada 4 hingga 7 Feb ini. – BERNAMA
GEORGE TOWN - Seramai 131 petani di negeri ini yang terkesan akibat bencana banjir pada tahun lalu menerima bantuan berjumlah RM239,832.
Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, bantuan itu diberi melalui Lembaga Pertubuhan Peladang yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun pesawah terlibat.
"Banjir yang melanda baru-baru ini telah memberikan kesan besar kepada sektor pertanian, khususnya pesawah di negeri ini. Musibah ini telah menjejaskan sumber pendapatan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tuaian.
"Sebagai usaha bagi membantu meringankan beban yang ditanggung, kerajaan negeri telah memperuntukkan bantuan berjumlah RM239,832 melalui Lembaga Pertubuhan Peladang kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) Pulau Pinang di sini pada Isnin.
Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, sembilan DUN merupakan kawasan yang besar dan memerlukan perhatian serta sokongan daripada semua pihak bagi memastikan sektor pertanian negeri terus berkembang dan kekal berdaya saing.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program bantuan ini, khususnya kepada Jabatan Pertanian Pulau Pinang, agensi kerajaan serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan pesawah terjejas mendapat bantuan sewajarnya.
"Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk meningkatkan daya tahan sektor pertanian termasuk memperkenalkan langkah mitigasi bagi menghadapi perubahan iklim dan bencana alam yang semakin mencabar," tambahnya.
Beliau juga berharap agar bantuan itu dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pesawah dan memberi semangat baharu kepada mereka untuk terus berusaha dalam bidang pertanian.
"Semoga usaha kita ini mendapat keberkatan dan kesejahteraan untuk semua," katanya.
BINTULU: Dikelilingi air sejak hampir sebulan, rumah panjang Malo yang terletak di Nanga Penyarai kira-kira dua jam perjalanan melalui sungai dari pekan Tatau di sini, kini seakan pulau kecil yang terasing akibat banjir.
Rumah panjang itu terputus hubungan apabila satu-satunya jalan darat ke pekan terdekat tidak dapat dilalui kerana dinaiki air.
Tuai Rumah Malo, Jaah, 66, menyifatkan bencana banjir pada kali ini sebagai dugaan terbesar yang pernah dihadapi penduduk rumah panjang 44 pintu itu yang mula dibina pada tahun 2000.
Dia berkata kawasan rumah panjang yang dibina berhampiran sungai itu memang pernah dinaiki air sebelum ini tetapi tidak mengambil masa begitu lama untuk surut.
"Hujan mula melanda sejak pertengahan bulan lepas… hingga kini air belum surut dan hujan masih berlaku. Penduduk tidak dapat keluar mencari rezeki dan tanaman pula banyak yang musnah, jadi buat masa ini kami boleh cari ikan sahaja.
"Banjir kali ini memang paling dahsyat, tidak pernah lagi seperti ini. Semua kawasan di daerah Tatau terjejas, jalan putus dan rumah tenggelam. Nasib baik rumah panjang kami dibina sedikit tinggi jadi terselamat daripada ditenggelami air," katanya kepada Bernama.
Selain rumah panjang Malo, kawasan sekitar rumah itu seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Penyarai dan Klinik Kesihatan Kakus turut terjejas akibat dinaiki air.
Penolong kanan SK Nanga Penyarai Mohd Faishal Ibrahim yang telah berkhidmat di sekolah itu lebih 20 tahun, berkata buat masa ini terdapat kira-kira 100 orang yang terkandas di kawasan Nanga Penyarai termasuk lima staf sekolah dan tiga staf klinik Kakus.
"Jalan darat memang tidak boleh dilalui, jadi satu-satunya cara untuk ke pekan Tatau ialah dengan menggunakan bot. Masalahnya, kami kekurangan minyak untuk bot dan jenerator hingga terpaksa buat catuan. Tenaga solar pula tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana cuaca mendung," katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kakus Datuk Seri John Sikie Tayai berkata 14 tan bekalan makanan telah dihantar kepada mangsa banjir di kawasan pedalaman daerah Tatau, kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar Bintulu.
Misi penghantaran makanan melibatkan pelbagai agensi yang digerakkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau itu, telah dilaksanakan menerusi pengangkutan air dan udara.
Antara kawasan yang menerima bantuan makanan adalah kawasan Nanga Penyarai dan Nanga Tau.
Setakat pagi ini, satu-satunya pusat pemindahan sementara di Tatau iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau yang dibuka pada 29 Januari lalu menempatkan 712 mangsa daripada 216 keluarga. – BERNAMA
KUCHING, 3 Februari – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak menambah 500 anggota sebagai persiapan menghadapi amaran luruan monsun yang dijangka bermula esok hingga Jumaat ini.
Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sarawak, PPj. (PA) Mohtar Samat, berkata dengan pertambahan anggota ini, APM kini mempunyai lebih 3,000 anggota yang akan dikerahkan ke seluruh negeri bagi membantu operasi menyelamat serta pemindahan penduduk terjejas.
"Dengan tambahan ini, kini kita mempunyai lebih 3,000 anggota yang dikerahkan di seluruh negeri bagi membantu operasi menyelamat dan pemindahan penduduk, selain memastikan bantuan logistik dapat disampaikan dengan lancar," katanya ketika ditemui selepas sesi temu bual di konti Sarawak FM, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua kenderaan logistik, khususnya lori, telah diselenggara segera bagi memastikan ia dapat digunakan sepenuhnya sepanjang operasi.
"Walaupun terdapat satu atau dua kenderaan yang terjejas akibat banjir dalam, pembekal kita telah berjaya melakukan penyelenggaraan di lapangan, dan kenderaan tersebut kini boleh digunakan sepenuhnya," tambahnya.
Dalam aspek pengurusan bencana, APM Sarawak akan terus berkolaborasi dengan Pejabat Daerah, Pejabat Residen, serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak bagi menggerakkan semua agensi yang diperlukan sekiranya berlaku bencana.
APM turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), memaklumkan keadaan cuaca tersebut berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di Sabah dan Sarawak, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.
MIRI (Feb 3): The Miri Disaster Management Committee (MDMC) has called for safety at the Kampung Katong Lopeng surau to be monitored following a landslide in the village on Jan 29.
Transport Minister Dato Sri Lee Kim Shin, who led an MDMC team to the village last night, said the Public Works Department (JKR) Miri divisional engineer has been directed to urgently assess the situation.
In the incident on Jan 29, the surau’s extension and fencing collapsed and fell down the valley at 5am.
A village house, located some distance away, was destroyed in another landslide at 8am.
“Fortunately, no one was in the house when the incident happened but there is sign of a potential landslide on one section of the road,” Lee said in a Facebook post.
He said the Miri City Council has also been directed to take remedial measures to prevent a landslide on the village road.