Pemimpin dunia perlu peka perubahan iklim
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 15 Julai: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata masih wujud segelintir pemimpin dunia yang enggan mengakui hakikat perubahan iklim meskipun bukti bencana akibat pelepasan karbon semakin ketara di seluruh dunia.
Beliau yakin pakar-pakar yang menghadiri Sidang Kemuncak Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2025 sedia maklum pemimpin dunia yang dimaksudkannya.
“Hakikatnya, memang masih ada pemimpin negara besar yang tidak percaya kepada perubahan iklim dan peranan karbon dalam krisis ini,” katanya dalam sesi Fireside Chat: From Sarawak to the World – Journey to Clean Energy Leadership sempena IEW 2025 di sini, hari ini.
Menjawab soalan berhubung impak alam sekitar dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, Abang Johari menegaskan Sarawak memilih tenaga bersih demi melindungi alam sekitar, bukan sebaliknya.
“Kenapa kita memilih tenaga bersih? Sebabnya adalah untuk alam sekitar. Saya rasa tiada siapa mahu melaksanakan sesuatu projek jika tujuannya bukan untuk membantu dan membersihkan alam sekitar.
“Tenaga bersih sebenarnya melindungi dan memelihara alam sekitar. Tujuannya ialah untuk menghapuskan karbon dalam atmosfera kerana karbon inilah punca kepada bencana hari ini,” katanya.
Beliau memberi contoh bencana iklim yang sedang berlaku di beberapa negara seperti banjir besar di Texas serta gelombang haba di China, India dan Pakistan, sebagai bukti kesan nyata perubahan iklim global.
Menurutnya, kos pelaksanaan teknologi tenaga bersih tidak membawa kesan besar kepada alam sekitar, malah perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk kelestarian bumi.
Dalam masa yang sama, beliau berkata Sarawak berada di landasan yang betul melalui penubuhan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar serta pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang sejajar dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – TVS