OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Ribut pasir landa selatan New Mexico

AMERIKA SYARIKAT: Ribut pasir melanda selatan New Mexico pada Isnin, menyebabkan banyak kenderaan terkandas dan beberapa kemalangan berlaku. Menurut laporan media tempatan, pasukan kecemasan telah dikerahkan ke beberapa lokasi nahas apabila jarak penglihatan turun hampir ke sifar.

Rakaman saksi yang dikongsi di media sosial menunjukkan kenderaan terkandas, termasuk sekurang-kurangnya sebuah yang mengalami kerosakan akibat perlanggaran.

Reuters berjaya mengesahkan lokasi dan tarikh rakaman tersebut berdasarkan laporan kerajaan serta media tempatan mengenai keadaan cuaca di kawasan itu.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS, keadaan kering yang berpanjangan berserta angin kencang telah menyebabkan sejumlah besar debu berterbangan merentasi rantau tersebut. – REUTERS

Banjir di Jakarta: Pembenihan awan ikhtiar elak bencana lebih parah

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia mula melaksanakan pembenihan awan untuk membendung hujan lebat yang menyebabkan banjir di sekitar Jakarta, sehingga mengorbankan satu nyawa dan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

Banjir yang bermula Isnin melanda Jakarta, menempatkan kira-kira 11 juta orang, serta bandar satelit berdekatan Bogor, Bekasi dan Tangerang.

Sekurang-kurangnya seorang yang dikenal pasti media tempatan sebagai kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas hujan lebat menyebabkan beberapa sungai melimpah, menyebabkan air naik tiga meter dan menenggelamkan lebih 1,000 rumah.

Pihak berkuasa menganggarkan cuaca buruk akan berlarutan sehingga 11 Mac, dan mengambil langkah awal dengan pembenihan awan mendorong hujan dari kawasan yang dilanda banjir atau 'menarik' hujan dari awan yang lebih kecil untuk mengelakkan hujan lebih lebat.

Ketua agensi cuaca Indonesia, Dwikorita Karnawati berkata, langkah itu sebagai usaha mengurangkan kemudaratan.

"Mudah-mudahan dengan pengubahsuaian cuaca, kita dapat mengurangkannya," katanya kepada pemberita.

Pembenihan awan adalah amalan menggunakan kapal terbang untuk membakar garam atau bahan kimia lain ke dalam awan untuk mendorong hujan akan dilaksanakan sehingga Sabtu dan memberi tumpuan kepada kawasan pergunungan di wilayah Jawa Barat, di mana hujan lebat boleh mengalir ke bandar berdekatan termasuk Jakarta.

"Kami tidak boleh membiarkan awan menjadi terlalu besar, jadi kami akan menurunkannya sedikit demi sedikit," katanya.

Pihak berkuasa berkata, sehingga lewat Selasa, sekurang-kurangnya 2,200 penduduk kehilangan tempat tinggal akibat banjir mendorong penduduk tempatan naik ke atas bumbung atau menggunakan tali untuk ke tempat lebih selamat.

Pasukan penyelamat mengerahkan bot getah dan bantuan ke kawasan yang paling teruk terjejas untuk memindahkan penduduk atau membantu mereka yang enggan meninggalkan rumah mereka.

Bandar rendah itu terdedah kepada banjir semasa musim hujan, yang berlangsung dari sekitar November hingga Mac.

Pada 2020, hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan hampir 70 orang di dalam dan sekitar Jakarta, manakala ribuan lagi terpaksa berpindah ke pusat perlindungan.

Tanah runtuh: Kepala ibu terbenam dalam tanah, leher terhimpit kayu

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Pasukan bomba mengambil masa hampir satu jam mengeluarkan kepala wanita yang terbenam di tanah dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap rumahnya di Kampung Lok Bunu, Sepanggar, di sini awal pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, mangsa wanita berusia 53 tahun itu terperangkap dalam rumah dan tidak sempat menyelamatkan diri kerana dipercayai sedang tidur.

"Mangsa terbenam di tanah pada kedalaman kira-kira 0.3 meter dan lehernya terhimpit dengan kayu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum itu, Sinar Harian melaprkan seorang wanita maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, wanita itu berjaya dikeluarkan dari runtuhan tersebut namun disahkan meninggal dunia manakala anak lelakinya berusia 25 tahun sempat menyelamatkan diri.

 

Lebih 120,000 terjejas akibat banjir di Indonesia

JAKARTA: Seramai 124,816 penduduk terjejas akibat banjir yang melanda kawasan metropolitan merangkumi Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi serta sebahagian wilayah Banten.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) melaporkan, pihak berkuasa sedang memantau situasi dengan rapi serta menyelaraskan usaha bantuan termasuk pemindahan mangsa, pengagihan makanan dan perkhidmatan kecemasan.

Jurucakap BNPB, Abdul Muhari, berkata setakat jam 7 malam tadi, banjir menjejaskan 13,704 keluarga atau kira-kira 51,320 penduduk di 18 kampung dalam 10 mukim di Kabupaten Bekasi.

"Kawasan yang terjejas termasuk Bojongmangu, Cikarang Utara, Cikarang Timur dan beberapa kawasan lain, dengan paras air belum surut," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan, wilayah Bekasi dan Banten merupakan kawasan paling teruk terjejas, diikuti Jakarta dan Depok.

Bagi mengurangkan risiko banjir berlanjutan, BNPB merancang operasi 'weather modification' dari 4 hingga 8 Mac di kawasan hulu Puncak Bogor.

Operasi itu bertujuan mengurangkan intensiti hujan yang menjadi punca utama banjir di kawasan rendah.

"Usaha ini dilakukan bagi mengalihkan taburan hujan dari kawasan berisiko tinggi bagi meminimumkan kerosakan lanjut," kata Abdul Muhari.

Beliau juga berkata, pihak berkuasa terus menilai kerosakan dan menyelaraskan bantuan kepada mereka yang terjejas.

 

Sistem perparitan usia 30-40 tahun punca banjir kilat seperti sungai – Marina

ISKANDAR PUTERI – Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Skudai, di sini, semalam susulan hujan lebat dan sistem perparitan lama yang tidak lagi mampu menampung kapasiti dan aliran air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, masalah itu telah berulang kali dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kawasan yang terjejas ialah antaranya Jalan Zapin 3, Jalan Ronggeng 4, Jalan Jelawat, Jalan Baung, Jalan Kilang Nanas, Kampung Poh Chee Leng, Syahbandar dan Jalan Laksamana.

“Kami telah melakukan lawatan tapak bersama pelbagai agensi. Penduduk tidak seharusnya menerima alasan bahawa ini hanya disebabkan oleh jumlah hujan yang tinggi.

“Ini bukan kali pertama atau kedua, tetapi berkali-kali dalam setahun penduduk terpaksa menghadapi masalah yang sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Marina, masalah utama berpunca daripada sistem perparitan lama yang berusia 30 hingga 40 tahun, tidak mampu menampung aliran air yang semakin meningkat.

Saliran utama di Skudai katanya, tidak cukup besar untuk menampung jumlah air yang tinggi. Contohnya kata beliau, di Jalan Jelawat, terdapat satu paip besar dalam longkang yang menghalang aliran air.

“Saya telah menghantar surat agar satu sesi townhall dapat dilakukan seterusnya memberi penjelasan kepada penduduk mengenai perancangan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Dalam pada itu, penduduk di Jalan Zapin merayu tindakan segera pihak berkuasa untuk menangani masalah banjir yang semakin kerap melanda kawasan mereka sejak kebelakangan ini.

Menurut seorang penduduk yang dikenali sebagai Dewi, rumahnya yang berusia hampir 40 tahun jarang dinaiki air sebelum ini, namun dalam tempoh setahun, kejadian banjir sudah berlaku sebanyak dua kali.

Beberapa video tular dalam media sosial memaparkan keadaan banjir kilat di sekitar Skudai, dengan arus deras sehingga menyebabkan rumah penduduk dinaiki air serta kesesakan lalu lintas.

“Air sangat laju, sudah seperti sungai,” kata seorang pengguna jalan raya yang berkongsi pengalaman mereka ketika kejadian.- MalaysiaGazette

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search