Banjir di Jakarta: Pembenihan awan ikhtiar elak bencana lebih parah
- Admin UKK
- Berita
Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia mula melaksanakan pembenihan awan untuk membendung hujan lebat yang menyebabkan banjir di sekitar Jakarta, sehingga mengorbankan satu nyawa dan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.
Banjir yang bermula Isnin melanda Jakarta, menempatkan kira-kira 11 juta orang, serta bandar satelit berdekatan Bogor, Bekasi dan Tangerang.
Sekurang-kurangnya seorang yang dikenal pasti media tempatan sebagai kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas hujan lebat menyebabkan beberapa sungai melimpah, menyebabkan air naik tiga meter dan menenggelamkan lebih 1,000 rumah.
Pihak berkuasa menganggarkan cuaca buruk akan berlarutan sehingga 11 Mac, dan mengambil langkah awal dengan pembenihan awan mendorong hujan dari kawasan yang dilanda banjir atau 'menarik' hujan dari awan yang lebih kecil untuk mengelakkan hujan lebih lebat.
Ketua agensi cuaca Indonesia, Dwikorita Karnawati berkata, langkah itu sebagai usaha mengurangkan kemudaratan.
"Mudah-mudahan dengan pengubahsuaian cuaca, kita dapat mengurangkannya," katanya kepada pemberita.
Pembenihan awan adalah amalan menggunakan kapal terbang untuk membakar garam atau bahan kimia lain ke dalam awan untuk mendorong hujan akan dilaksanakan sehingga Sabtu dan memberi tumpuan kepada kawasan pergunungan di wilayah Jawa Barat, di mana hujan lebat boleh mengalir ke bandar berdekatan termasuk Jakarta.
"Kami tidak boleh membiarkan awan menjadi terlalu besar, jadi kami akan menurunkannya sedikit demi sedikit," katanya.
Pihak berkuasa berkata, sehingga lewat Selasa, sekurang-kurangnya 2,200 penduduk kehilangan tempat tinggal akibat banjir mendorong penduduk tempatan naik ke atas bumbung atau menggunakan tali untuk ke tempat lebih selamat.
Pasukan penyelamat mengerahkan bot getah dan bantuan ke kawasan yang paling teruk terjejas untuk memindahkan penduduk atau membantu mereka yang enggan meninggalkan rumah mereka.
Bandar rendah itu terdedah kepada banjir semasa musim hujan, yang berlangsung dari sekitar November hingga Mac.
Pada 2020, hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan hampir 70 orang di dalam dan sekitar Jakarta, manakala ribuan lagi terpaksa berpindah ke pusat perlindungan.