OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir Nepal: SMART tumpu kawasan terakhir rakyat Malaysia dikesan

SUBANG - Kawasan terakhir rakyat Malaysia dikesan menjadi tumpuan utama Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) di Nepal.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, bagaimanapun, keutamaan pasukan itu bukan hanya mencari rakyat Malaysia, sebaliknya menyelamatkan semua mangsa yang ditemui ketika operasi berkenaan.

"Tumpuan kita adalah kawasan terakhir rakyat kitalah, itu tumpuan, tapi tak semestinya kita jumpa rakyat kita, keutamaan kita mestilah rakyat kita,” katanya dalam sidang akhbar majlis pelepasan pasukan SMART ke Nepal di Pangkalan Udara Subang di sini pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 11 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang melanda negara berkenaan.

Pasukan itu diketuai Komander Kontinjen, Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa dan berlepas kira-kira jam 9 pagi menggunakan pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut Meor Ismail, operasi SMART itu bermula selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan Nepal dan dijadualkan berlangsung selama 10 hari.

"Kekuatan pasukan diketuai seorang komander dan 10 anggota yang terdiri daripada anggota pelbagai kemahiran atau multi-skill.

"Antaranya kepakaran mencari dan menyelamat, operasi dron, logistik, komunikasi serta sokongan teknikal," katanya.

Beliau berkata, pasukan berkenaan turut membawa kira-kira 12.4 tan peralatan bagi menyokong operasi SAR di lapangan.

Meor Ismail berkata, lokasi sebenar pergerakan pasukan SMART hanya akan ditentukan selepas mereka tiba di Nepal dan menerima taklimat daripada pihak berkuasa tempatan.

"Selepas itu, pihak berkenaan akan memberikan taklimat pengoperasian dan kita akan bergerak berdasarkan kawasan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan gambaran awal diterima, pasukan SMART berkemungkinan digerakkan ke kawasan terowong, namun lokasi tepat masih belum dipastikan.

Dalam pada itu, Meor Ismail berkata, tempoh operasi ditetapkan selama 10 hari mengikut standard ditetapkan pasukan, selain misi berkenaan berteraskan aspek kemanusiaan.

"Kita ini ada standard kita, standard kita itu sahaja, kita lebih kepada kemanusiaan, kita membantu," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TUDM atas kerjasama diberikan dalam menjayakan operasi berkenaan, selain Kementerian Luar Negeri (KLN) yang membantu mendapatkan kelulusan untuk pasukan SMART menjalankan misi SAR di Nepal.

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Jabatan Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar Negeri, Choo Hwai Jeng.

Pesawat berkenaan dikendalikan Mission Commander TUDM, Leftenan Kolonel Phanom a/l Achuan bersama 31 kru TUDM.

Penerbangan ke Nepal itu dijangka mengambil masa kira-kira lima jam sebelum pasukan SMART meneruskan pergerakan ke kawasan operasi yang ditetapkan pihak berkuasa negara berkenaan.

 

 

 

 

 

11 anggota SMART berlepas ke Nepal bantu misi SAR

SUBANG – Seramai 11 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) Malaysia berlepas ke Nepal pada Sabtu bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan kejadian banjir dan tanah runtuh di negara berkenaan.

Pasukan itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada kira-kira jam 9 pagi menggunakan pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Komander SMART, Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa berkata, pasukan berkenaan akan membantu operasi SAR di kawasan yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Beliau mengetuai misi kemanusiaan itu yang turut membawa pelbagai kelengkapan operasi termasuk peralatan komunikasi.

Penerbangan ke Nepal dijangka mengambil masa kira-kira lima jam.

Misi berkenaan turut diselaraskan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian usaha Malaysia membantu negara berkenaan menangani bencana serta operasi menyelamat mangsa terjejas.

 

Lima stesen pemantauan catat udara tidak sihat

KOTA KINABALU, 3 Sept: Lima stesen pemantauan kualiti udara di Sabah mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 5 petang hari ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, berdasarkan rekod, bacaan tertinggi Indeks Pencemaran Udara (IPU) dicatatkan di Stesen Kota Kinabalu dan Stesen Politeknik dengan masing-masing mencecah 156.

Katanya, ia diikuti Stesen Kimanis (155), Stesen Keningau (154) dan Stesen Tawau (151), manakala Stesen Sandakan mencatatkan bacaan sederhana pada IPU 93.

“Keadaan jerebu di Sabah dipercayai dipengaruhi oleh jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan dengan asap dipercayai dibawa angin merentasi wilayah Borneo.

“Bagaimanapun, hasil rondaan JAS Sabah dan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pada hari ini mendapati tiada kejadian kebakaran besar lain dikesan atau dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mengikut laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura, mengesahkan tiada titik panas (hotspot) dikesan di Sabah berdasarkan pemantauan satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20.

Bagaimanapun katanya, sebanyak 780 titik panas masih aktif di Kalimantan dan 142 di Sumatera berdasarkan cerapan setakat semalam.

Untuk rekod, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat manakala 201 hingga 300 sangat tidak sihat, 301 hingga 400 bahaya dan bacaan melebihi 400 hingga 500 sangat bahaya.

Dalam pada itu, Nor Rashidah menegaskan, JAS Sabah terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering.

Katanya, sebanyak 502 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan setakat ini dengan tumpuan diberikan kepada kawasan sensitif dan lokasi berhampiran stesen pemantauan kualiti udara.

“JAS menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam menerusi laman sesawang rasmi JAS atau aplikasi MyJAS EQMS, selain mengikuti nasihat kesihatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada JBPM melalui talian 999 atau JAS Sabah di talian 1-800-88-2727,” tegasnya. – TVS

Jerebu: Kerajaan Pusat perlu gerakkan saluran diplomatik dengan Indonesia

KUCHING, 3 Sept: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan menerusi saluran diplomatik bagi menangani isu jerebu rentas sempadan dengan Indonesia.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Ibrahim berkata, isu berkenaan merupakan perkara antarabangsa yang perlu ditangani melalui kerangka ‘Government-to-Government’ (G2G) antara Malaysia dan Indonesia.

Menurutnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga sudah membawa perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perkara itu kini menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan saluran diplomatik yang sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, gesaan DAP Socialist Youth (DAPSY) Stampin supaya kerajaan Sarawak mengambil tindakan secara langsung terhadap Indonesia menunjukkan kurangnya kefahaman mengenai hubungan antarabangsa dan diplomasi.

Dalam pada itu, Afiq Fikri mempersoalkan tindakan DAPSY yang menggesa Kerajaan Sarawak berbuat demikian sedangkan DAP mempunyai wakil rakyat dan Menteri Kabinet di peringkat persekutuan.

Katanya, DAP sepatutnya menggunakan kedudukan dalam Kerajaan Persekutuan untuk membawa suara Sarawak dan mendesak tindakan lebih pantas berhubung isu jerebu rentas sempadan.

“Jika DAP tidak mampu membawa dan menyelesaikan isu serantau yang kritikal melalui kerajaan persekutuan, apakah gunanya DAP berada dalam Kerajaan Persekutuan?” soal beliau.

Beliau pada masa sama menegaskan isu jerebu rentas sempadan memerlukan pendekatan diplomasi yang strategik dan konstruktif, bukannya tekanan terbuka yang boleh menjejaskan hubungan antara negara.

Afiq Fikri berkata, Kerajaan Persekutuan perlu memainkan peranan utama bagi memastikan Indonesia memenuhi komitmen terdahulu dalam mencegah dan menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Beliau turut menolak pendekatan yang disifatkan sebagai permainan politik kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah jerebu yang sudah berlarutan dan kompleks.

Menurutnya, tekanan terhadap kerajaan Indonesia berkaitan isu berkenaan juga sudah datang daripada negara lain selain rakyatnya sendiri.

“Jerebu rentas sempadan memerlukan diplomasi antarabangsa yang membina. Menggesa kerajaan Sarawak untuk campur tangan secara sewenang-wenangnya bukan penyelesaiannya,” tegas beliau. – TVS

Banjir Nepal: ‘Gambar pertama macam adik saya, boleh tolong semak?’

PETALING JAYA – Sekeping gambar memaparkan seorang mangsa diusung anggota keselamatan Nepal mencetuskan harapan baharu kepada keluarga Muhammad Zaki Othman, 29, yang masih terputus hubungan selepas banjir melanda negara itu.

Gambar berkenaan dimuat naik menerusi akaun Threads Langtang Valley Nepal yang berkongsi perkembangan operasi menyelamat mangsa di kawasan terjejas banjir di Rasuwa.

Menerusi hantaran itu, akaun berkenaan memaklumkan seramai 3,021 individu telah diselamatkan dari kawasan terjejas banjir di Rasuwa termasuk 338 warga asing.

Apa yang mencuri perhatian, kakak Muhammad Zaki menerusi akaun @asmaliza11 mendakwa individu dalam gambar pertama perkongsian tersebut mempunyai persamaan dengan adiknya.

“Gambar pertama tu macam adik saya. Kalau ada yang di sana boleh tolong cross-check (semakkan( tak? Adik saya Zaki,” tulisnya menerusi ruangan komen.

Berdasarkan gambar tersebut, wajah individu yang sedang diusung tidak kelihatan, sebaliknya hanya sebahagian anggota badan terutama bahagian kaki dapat dilihat.

Individu terbabit dilihat memakai seluar panjang berwarna gelap selain selipar berwarna hijau muda.

Kedudukan individu itu ketika diusung menyebabkan bahagian atas tubuh dan wajahnya terlindung, sekali gus menyukarkan pengecaman menerusi gambar berkenaan.

Bagaimanapun setakat ini, belum ada sebarang pengesahan rasmi bahawa individu yang diusung dalam gambar tersebut merupakan Muhammad Zaki.

Perkongsian kakaknya itu turut mendapat perhatian seorang rakyat Malaysia yang dipercayai berada di Nepal selepas seorang pengguna meminta bantuannya menyemak perkara tersebut.

Individu berkenaan memaklumkan setakat ini, mangsa belum dihantar ke hospital sekitar Kathmandu, namun pihaknya sedang dalam perjalanan ke Kedutaan Malaysia dan akan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkenaan.

“Setakat ni dekat hospital area Kathmandu belum ada dihantar tapi kita orang dalam perjalanan ke kedutaan. Saya akan inform kedutaan. Terima kasih atas maklumat diberi,” kata @far.haniothman.

Sementara itu, orang ramai turut membanjiri ruangan komen dengan doa dan berharap terdapat perkembangan positif mengenai Muhammad Zaki serta dua lagi rakyat Malaysia yang terputus hubungan.

“Moga ada keajaiban,” tulis @syitaritory.

“Semoga dipermudahkan Allah segala urusan Adib, Zaki, Muhaimin dan yang lain-lain di sana,” komen @fafaaland_.

“Semoga ada khabar baik untuk awak dan kita semua,” kata @frahaiza.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan bapa Muhammad Zaki, Othman Mat Zin, 67, percaya anaknya masih berada di atas gunung bersama dua rakannya dan hanya terputus hubungan susulan bencana yang berlaku di Nepal.

Menurut Othman, keyakinan itu berdasarkan gambar terakhir diterima daripada anaknya yang menunjukkan mereka berada di kawasan tinggi dengan sungai terletak jauh di bawah.

Beliau turut memaklumkan Muhammad Zaki membawa beg besar mengandungi bekalan makanan dan keperluan yang dianggarkan mencukupi untuk tempoh lebih seminggu.

Muhammad Zaki bersama dua rakannya, Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, dan Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, dilaporkan terputus hubungan ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley susulan banjir yang melanda Nepal.- KOSMO! ONLINE

 

 

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search