2 maut, 3 lagi masih hilang
- Admin UKK
- Berita
Dua maut tertimbus manakala tiga lagi hilang dalam insiden tanah runtuh di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands awal pagi semalam.
Mangsa pertama dikenali sebagai Haphey, 36, ditemui pada jam 3 pagi, manakala satu lagi mayat mangsa ditemukan pada jam 12.05 tengah hari.
Semua mangsa adalah warga Myanmar yang tinggal di rumah kongsi di cerun kebun sayur di situ dikenali Shing Lan Har, 56; Shing Aung, 39; Om Myue, 38; Haphey, 36, dan Thang Moung, 25.
Sehingga jam 5 petang semalam, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) termasuk Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Unit Anjing Pengesan K9, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih meneruskan pencarian tiga lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli, berkata mangsa kedua kejadian ditemui jam 12.05 tengah hari.
Katanya mangsa lelaki ditemui tertimbus pada kedalaman kirakira dua meter dan kira-kira 10 meter daripada tapak asal rumah kongsi bagi pekerja di kawasan kebun sayur di situ.
Pasukan SAR menghadapi cabaran dalam operasi memandangkan kawasan itu turut mengalami beberapa lagi runtuhan tanah di sepanjang jalan kecil yang menghubungkan antara Pusat Kawalan Bomba (PKB) dengan lokasi kejadian.
Terputus hubungan
“Hasil pemeriksaan mendapati (jalan) untuk ke tempat kejadian terputus hubungan dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda (4X4) untuk ke lokasi kejadian, tetapi (sekarang) menaiki 4x4 pun tak boleh lalu sebab ada beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku di dalam perjalanan untuk ke tempat kejadian,” katanya pada sidang media di PKB berkenaan semalam.
Hadir sama Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor.
Runtuhan di kawasan kebun sayur itu membabitkan ketinggian 80 meter dari kaki bukit dengan tapak lokasi rumah pekerja yang tertimbus berada pada kedudukan 40 meter dari kaki bukit. Anggaran kecerunan bukit runtuhan adalah antara 35 hingga 40 darjah.
Kata Azri lagi, kesukaran operasi menyelamat juga ialah tidak dapat membawa jentera berat untuk ke lokasi terbabit, selain faktor cuaca yang masih hujan hingga mengundang risiko runtuhan susulan.
“Walaupun cuaca hujan dan takut akan tanah runtuh lagi, namun operasi sehingga kini tetap diteruskan dalam keadaan pasukan yang sentiasa mengambil langkah waspada dan berjaga-jaga sekiranya berlaku pagi runtuhan kali kedua (susulan),” katanya.
Sementara itu Ismail berkata, kawasan pencarian mangsa dibahagikan kepada empat sektor membabitkan keluasan sepanjang 50 meter.
Operasi pencarian dilakukan dengan kekuatan seramai 120 orang terdiri dari pelbagai agensi dan juga termasuk kira-kira 20 rakan mangsa yang turut bekerja di kebun berkenaan.