Dedah laporan penuh letupan Putra Heights
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Penduduk yang terjejas dengan insiden letupan paip gas di Putra Heights di sini tahun lalu menggesa kerajaan negeri segera mendedahkan laporan penuh siasatan jawatankuasa bebas seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Setiausaha Persatuan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Badly Nordin berkata, sehingga kini mereka masih menunggu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menunaikan janji untuk mendedahkan laporan penuh berhubung hasil siasatan insiden berkenaan.
“Kami masih menunggu Menteri Besar Selangor untuk mendedahkan laporan penuh jawatankuasa bebas seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
“Penduduk memandang serius pendedahan itu agar kami tahu status tahap keselamatan serta sebarang keperluan langkah keselamatan pada masa depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, penduduk Kampung Kuala Sungai Baru menumpukan usaha untuk mendapatkan laporan penuh insiden daripada agensi terlibat selepas setahun tragedi letupan gas di Putra Heights.
Penduduk turut melantik firma guaman bagi membantu meneliti serta mendapatkan dokumen berkaitan kejadian tersebut.
Katanya, majoriti penduduk menerima baik inisiatif kerajaan dalam pembinaan semula rumah yang terjejas akibat letupan, namun ia masih belum cukup untuk memastikan kawasan itu selamat dihuni dalam tempoh jangka panjang.
“Kes saman masih berjalan melalui peguam yang telah dilantik untuk membantu meneliti serta mendapatkan dokumentasi serta kronologi berkaitan kejadian tersebut.
“Bagaimanapun, laporan jawatankuasa ini perlu didedahkan agar penduduk di sini berpuas hati apabila perkara ini mempunyai penjelasan yang jelas,” katanya.
Menurut Badly, perkembangan terkini yang dimaklumkan adalah kerajaan negeri perlu menunggu keputusan dan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Setakat yang kami tahu, kerajaan negeri masih menunggu Kerajaan Persekutuan sebelum laporan didedahkan kepada umum kerana katanya ia melibatkan pihak Persekutuan,” katanya. – UTUSAN
