OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

56 lokasi hotspot banjir dikenal pasti

56 lokasi hotspot banjir dikenal pasti

Kuala Lumpur: Ancaman banjir di Lembah Klang belum berakhir apabila 56 lokasi hotspot banjir dan 232 kawasan berisiko dikenal pasti di Selangor selain hujan lebat serta ribut petir dijangka berterusan sepanjang minggu ini.

Keadaan itu membimbangkan berikutan kejadian banjir kilat berulang yang bukan sahaja merosakkan harta benda, malah mengganggu kehidupan harian penduduk dan mengancam keselamatan mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, tiupan angin timuran yang lemah bersama kehadiran udara lembap yang tinggi menggalakkan pembentukan awan ribut petir serta hujan lebat pada sebelah petang hingga lewat malam sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, keadaan cuaca berkenaan dijangka berterusan sepanjang minggu ini di Lembah Klang dan negeri-negeri barat Semenanjung.

"Tiupan angin timuran yang lemah berserta kehadiran udara lembap yang tinggi menggalakkan pembentukan awan ribut petir dan hujan lebat pada sebelah petang hingga lewat malam sejak beberapa hari ini di Lembah Klang serta negeri-negeri barat Semenanjung.

"Situasi ini dijangka berterusan sepanjang minggu ini. Cuaca kita dalam musim Monsun Timur Laut (MTL)," katanya, semalam.

Berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi 2025, Klang merekodkan jumlah hotspot banjir tertinggi di Selangor dengan 13 lokasi, diikuti Petaling (11), Gombak (10) dan Hulu Langat (sembilan).

Banjir kilat yang melanda Kampung Melayu Subang, Isnin lalu, menjadi antara gambaran jelas bagaimana hujan lebat dalam tempoh singkat mampu mengakibatkan kemusnahan dan kesukaran kepada penduduk.

Kejadian itu menyebabkan 789 penduduk daripada 325 keluarga terjejas, manakala puluhan kediaman dan laluan utama turut dinaiki air susulan limpahan Sungai Damansara dan Sungai Buloh.

Situasi banjir berulang itu turut menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan usaha mitigasi, penyelenggaraan sistem saliran serta kesiapsiagaan agensi dalam menghadapi bencana yang boleh berlaku dalam tempoh singkat.

Sehubungan itu, penyelarasan operasi, pemantauan kawasan berisiko dan kesiapsiagaan aset menyelamat perlu dipastikan berada pada tahap optimum bagi membolehkan tindakan pantas diambil ketika kejadian.

Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai pula perlu sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca serta bersedia berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search