OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jerebu dijangka pulih akhir bulan ini

Jerebu dijangka pulih akhir bulan ini

ARAU: Jerebu yang melanda Malaysia ketika ini dijangka beransur pulih menjelang akhir bulan ini apabila negara mula memasuki fasa peralihan monsun yang mempengaruhi peningkatan hujan serta perubahan arah serta kelajuan angin.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Prof Madya Dr Norazian Mohamed Noor berkata faktor itu membantu mengurangkan kepekatan bahan pencemar di atmosfera, di samping mengurangkan pengangkutan asap rentas sempadan dari Indonesia.

Berdasarkan tinjauan cuaca jangka panjang Jabatan Meteorologi (METMalaysia) bagi Oktober sehingga Mac 2027, kebanyakan kawasan Malaysia dijangka masih menerima hujan sekitar purata klimatologi sepanjang bulan ini hingga Disember.

Sebagai contoh, Selangor diramal menerima antara 220 hingga 330 milimeter (mm) hujan bulan ini dan 250 hingga 380 mm pada November.

Kuala Lumpur pula dijangka menerima antara 240 hingga 360mm hujan pada Oktober dan 300 hingga 450mm pada November.

"Keadaan itu memberi petunjuk positif bahawa peningkatan hujan berpotensi membantu memperbaiki kualiti udara di Malaysia. Bagaimanapun pemulihan itu tidak semestinya berlaku secara serentak di semua kawasan di negara ini."Keadaan jerebu bukan sahaja dipengaruhi oleh hujan yang turun di Malaysia tetapi turut bergantung kepada aktiviti kebakaran, taburan hujan di kawasan sumber pencemaran serta arah pergerakan angin.

"Hujan di negara kita sahaja tidak mencukupi untuk memastikan jerebu rentas sempadan berakhir sekiranya kebakaran masih aktif di kawasan sumber (Indonesia)," katanya di sini, baru-baru ini.Norazian memberitahu, berdasarkan analisis Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) bertarikh 13 Oktober lalu, sebahagian kawasan selatan Sumatera, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan masih dijangka menerima hujan rendah iaitu kurang daripada 50 mm bagi tempoh 10 hari tertentu sepanjang bulan ini.

Keadaan itu boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut khususnya apabila kawasan berkenaan mengalami kekeringan berpanjangan.

"Bagaimanapun, ramalan BMKG itu turut menunjukkan peningkatan hujan di beberapa kawasan Sumatera dan Kalimantan menjelang November dan Disember dengan sebahagian kawasan berpotensi terima hujan melebihi 300 mm sebulan.

"Sekiranya hujan secara berterusan dan meliputi kawasan kebakaran, keadaan ini boleh membantu mengurangkan aktiviti kebakaran dan penghasilan asap," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search