Tragedi banjir Nepal: Waris masih mengharapkan keajaiban selepas 19 hari
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Waris 55 rakyat Malaysia yang belum dapat dikesan susulan tragedi banjir besar di Nepal masih mengharapkan keajaiban, walaupun sudah 19 hari berlalu.
Isteri kepada Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih mesra dipanggil Loe, Hani Othman berkata, setakat ini pihak berkuasa belum memberikan perkembangan terbaharu berhubung ujian pemadanan DNA antara waris di Malaysia dengan sampel mayat mangsa di Nepal.
Bagaimanapun katanya, keluarga difahamkan proses berkenaan masih dijalankan dan berharap mereka yang masih belum dikesan berada dalam keadaan selamat.
"Belum ada (perkembangan ujian pemadanan DNA). Tapi katanya masih dalam proses. (Saya) masih mengharap keajaiban tetapi tetap reda dengan sebarang ketentuan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pada 28 Ogos lalu, Hani dilaporkan berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi mencari suaminya dan mangsa lain yang masih gagal dihubungi selepas bencana melanda Nepal.
Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana mahu berada lebih dekat dengan operasi pencarian dan tidak hanya menunggu perkembangan dari Malaysia.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bahawa Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 dijangka pulang ke tanah air semalam atau hari ini selepas ditamatkan tugasan SAR di Nepal, Hani enggan mengulas perkara itu buat masa ini.
"Tak tahu nak komen macam mana. Saya kena jaga hati banyak pihak, isu ini sangat sensitif," katanya.
Sementara itu, bapa kepada Rajita Sivan, P Sivan, 72, berkata, sampel DNA waris sudah diambil dan pihak keluarga kini menunggu perkembangan lanjut daripada Wisma Putra.
Katanya, keluarga berharap mayat mangsa dapat ditemukan bagi membolehkan proses pemadanan DNA dilakukan dan identiti mereka dikenal pasti.
"DNA sudah diambil. Tunggu berita daripada Wisma Putra. Saya berharap dapat jumpa supaya (padanan) DNA boleh dilakukan. Sekiranya ditemui (hidup) ia akan menjadi satu keajaiban," katanya.
Seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana itu, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.
