Takungan air di 3 empangan MADA terhad, penanaman padi bergantung hujan
- Admin UKK
- Berita
ALOR SETAR: Takungan air di tiga empangan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) hari ini berada pada paras terhad iaitu dengan jumlah keseluruhan takungan sebanyak 437,405 ekar kaki bersamaan 35.76 peratus.
MADA dalam satu kenyataan memaklumkan Empangan Pedu berada pada paras 323,700 ekar kaki (36.99 peratus), Empangan Muda 14,850 ekar kaki (11.88 peratus) dan Empangan Ahning 98,855 ekar kaki (44.33 peratus).
"Memandangkan kedudukan air empangan yang terhad, status pengairan bagi penanaman padi musim ini akan bergantung sepenuhnya kepada keberkesanan turunan air hujan.
"Keadaan ini lebih mencabar berikutan unjuran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang menunjukkan kebarangkalian fenomena El Nino meningkat sehingga 96 peratus menjelang penghujung tahun ini," menurut MADA dalam kenyataan.
MADA memaklumkan keadaan dijangka berpotensi berkembang kepada tahap yang lebih kuat dan keadaan cuaca panas, kering dan risiko defisit hujan ini dijangka memberi cabaran besar kepada ketersediaan sumber air dan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda.
"Sehubungan itu, hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) MADA pada Isnin lalu, menetapkan Jadual Penanaman Padi Musim 2/2026 bagi keseluruhan kawasan seluas 99,489 hektar.
"Tarikh menabur bagi Fasa I akan bermula pada 23 September ini hingga 4 November depan, diikuti Fasa II pada 3 Oktober hingga 14 November, manakala Fasa III ditetapkan pada 13 Oktober hingga 24 November.
"Bagi mendepani risiko fenomena El Nino dan kebergantungan tinggi terhadap taburan hujan, MADA menyeru peladang mengguna pakai serta mengoptimumkan sumber air sedia ada secara berhemah," menurut kenyataan itu.
MADA turut menyokong keperluan pengairan di kawasan terjejas menerusi pengoperasian maksimum pam guna semula air saliran dan pam bergerak di lapangan.
Menurut kenyataan itu, aktiviti penanaman padi Musim 1/2026 bagi keseluruhan keluasan kawasan MADA iaitu sebanyak 100,641 hektar kini berada di fasa akhir berbunga dan menuai.
"Setakat semalam iaitu Minggu Ke-24, rekod kemajuan penanaman mencatatkan peringkat pratepuan mencapai 100 peratus, penyediaan tanah 99 peratus dan peringkat tanam 98.4 peratus, manakala kadar tuai telah mencapai 9.3 peratus," menurut MADA.
