Operasi pembenihan awan di empangan utama Sarawak minggu depan
- Admin UKK
- Berita
KUCHING: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan melaksanakan operasi pembenihan awan di Sarawak pada 11 dan 12 Mei ini sebagai langkah meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan utama.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini, memaklumkan operasi itu akan memberi tumpuan kepada kawasan tadahan Empangan Bakun, Batang Ai dan Murum yang menjadi sumber penting bekalan air dan penjanaan tenaga hidroelektrik di Sarawak.
MetMalaysia berkata, pelaksanaan operasi berkenaan membabitkan kerjasama strategik pelbagai agensi antaranya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Operasi pembenihan awan ini akan dilaksanakan berdasarkan analisis meteorologi oleh MetMalaysia dengan mengambil kira faktor kelembapan udara, kestabilan atmosfera serta corak pergerakan angin bagi memastikan keberkesanan operasi.
"Kawasan sasaran dipilih berdasarkan kehadiran awan yang berpotensi untuk proses pembenihan," menurut kenyataan itu.
