OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tujuh pantai berbahaya di Terengganu sepanjang musim tengkujuh

Tujuh pantai berbahaya di Terengganu sepanjang musim tengkujuh

KUALA TERENGGANU: Sebanyak tujuh pantai di negeri ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda ketika ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)Terengganu, Nor Mahathir Muhammad berkata, keadaan laut bergelora, ombak besar dan arus deras sangat berbahaya serta berpotensi mengancam nyawa pengunjung jika langkah kese­lamatan diabaikan.

Katanya, pantai yang dikenal pasti sering merekodkan kejadian lemas dan kewujudan arus deras serta lubuk berbahaya ialah Pantai Sura Tengah, Pantai Batu Burok, Pantai Bukit Keluang, Pantai Teluk Ketapang, Pantai Penarik, Pantai Rhu 10 dan Pantai Kemasik.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mandi-manda atau mela­kukan sebarang aktiviti air di pantai-pantai berisiko ini, khususnya ketika MT kerana kea­daan laut yang tidak menentu boleh mengundang bahaya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, kejadian lemas yang berlaku sebelum ini seharusnya dijadikan peringatan supaya orang ramai tidak mengambil ringan aspek kese­lamatan ketika beriadah di kawasan pantai.

Dalam kejadian terbaharu di Pantai Sura Tengah, Dungun baru-baru ini, dua beradik dilaporkan maut selepas dihanyutkan arus kuat ketika mandi di pantai berkenaan.

Nor Mahathir berkata, tragedi tersebut membuktikan bahaya arus laut yang kuat walaupun keadaan permukaan air kelihatan tenang terutama ketika musim monsun.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi papan tanda amaran yang dipasang, memantau keadaan cuaca serta mengawasi keselamatan ahli keluarga, terutama kanak-kanak.

“Kami menyeru semua pihak agar mengutamakan keselamatan berbanding aktiviti rekreasi bagi mengelakkan tragedi yang boleh meragut nyawa,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Pantai Seberang Takir dan Pantai Teluk Ketapang mendapati, pengunjung lebih berhati-hati dengan tidak mandi di laut. Mereka sebaliknya dilihat hanya bersantai dan bermain di tepi pantai.

Keadaan ombak yang agak kuat dipercayai menjadi faktor pengunjung mengelakkan diri daripada mendekati air laut selaras dengan langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.-UTUSAN.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search