1,419 mangsa banjir di empat negeri, Sabah paling terjejas
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Seramai 1,419 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri, setakat jam 7 pagi ini.
Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyatakan, ia membabitkan 522 keluarga kini berada di 13 PPS di Sabah, Sarawak, Johor dan Perak.
Sabah mencatat jumlah tertinggi dengan 1,164 mangsa berada di 9 PPS di Beaufort (587), Kota Belud (282), Kota Kinabalu (189), Tenom (106) dan Kemabong (tiada mangsa di PPS). Ini diikuti Miri, Sarawak (192), Segamat, Johor (27) dan Kinta, Perak (22).
Daripada jumlah itu, mangsa dewasa yang terbabit adalah seramai 872 orang, kanak-kanak (553) dan bayi (39).
Sementara itu, laman web Public Info Banjir menyebut, sekurang-kurangnya tiga sungai di Sarawak setakat jam 6.45 pagi ini melebihi tahap bahaya iaitu Bekenu dan Marudi, Miri serta Nanga Lemai B, Sibu.
Beberapa sungai di negeri itu juga berada pada tahap amaran, antaranya Kuala Binyo, Sungai Similajau dan Sungai Sibiu di Bintulu, Nanga Insungai, Limbang, Benawa dan Long Teru di Miri serta Matu, Mukah.
Satu sungai di Johor iaitu Sungai Muar di Jeti Kg Tekam, Segamat turut melebihi paras amaran.
