OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Hujan berterusan di pantai timur tidak ekstrem

Hujan berterusan di pantai timur tidak ekstrem

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi jaminan ramalan hujan berterusan tahap bahaya dan buruk di pantai timur serta Sarawak adalah pada tahap ketepatan tinggi dan tidak ekstrem.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, luruan monsun yang diramal berlaku ketika ini bersifat lemah dan tidak dijangka membawa hujan lebat berterusan seperti episod luar biasa pada hujung November dan Disember lalu.

Katanya, walaupun kebarangkalian untuk amaran hujan ke tahap buruk dan bahaya adalah rendah namun pemantauan cuaca akan terus dilaksanakan berterusan.

“Intensiti hujan yang diramalkan di pantai timur bagi beberapa hari akan datang adalah lebih rendah berbanding episod hujan lebat sebelum ini yang menyebabkan banjir besar di beberapa negeri.

“Taburan hujan bulanan bagi Januari 2026 juga dijangka berada pada paras purata namun risiko banjir berskala kecil masih wujud berikutan paras air sungai yang sedia tinggi serta keadaan tanah yang telah tepu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau turut menjelaskan negara kini masih berada dalam fasa Monsun Timur Laut yang bermula sejak 13 November 2025 dan dijangka berlarutan sehingga Mac 2026.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, luruan monsun merupakan fenomena lazim yang menyumbang kepada hujan berterusan khususnya di pantai timur dan beberapa kawasan lain di Semenanjung Malaysia.

“Fenomena itu juga boleh menyebabkan angin kencang serta keadaan laut bergelora di Laut China Selatan selain dipengaruhi kewujudan kawasan tekanan rendah dan Borneo Vorteks.

“Sehubungan itu, MetMalaysia menasihatkan pendu­duk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan me­ngambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh amaran hujan lebat berterusan dikuatkuasakan,” katanya.-UTUSAN.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search