Jumlah kematian Taufan Kalmaegi semakin meningkat
- Admin UKK
- Berita
CEBU: Angka kematian akibat Taufan Kalmaegi di Filipina meningkat melebihi 90 orang hari ini, apabila kesan kemusnahan di wilayah Cebu semakin jelas selepas banjir terburuk dalam sejarah terkini melanda kawasan itu.
Situasi banjir yang digambarkan sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini melanda bandar dan pekan di wilayah berkenaan sehari sebelumnya, menghanyutkan kereta, rumah setinggan di tepi sungai serta kontena penghantaran bersaiz besar.
Jurucakap wilayah Cebu, Rhon Ramos berkata, seramai 35 mayat sudah ditemui di kawasan banjir di Liloan, sebuah bandar yang terletak dalam kawasan metropolitan Cebu City.
Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah korban di wilayah Cebu meningkat kepada 76 orang. Terdahulu, Timbalan Pentadbir Pertahanan Awam Kebangsaan, Rafaelito Alejandro, mengesahkan sekurang-kurangnya 17 kematian lagi dilaporkan di wilayah lain.
"Banjir paling teruk berlaku di bandar utama yang sangat padat penduduk," katanya dalam temubual bersama radio tempatan sambil menambah bahawa 26 orang masih hilang.
Wartawan AFP yang berada di lokasi pagi ini melaporkan suasana penduduk membersihkan jalan yang sebelum ini bertukar menjadi seperti sungai deras.
"Banjir semalam sangat dahsyat," kata Reynaldo Vergara, 53 tahun, kepada AFP sambil memberitahu bahawa semua barangan di kedai kecilnya hanyut dibawa air.
Dalam tempoh 24 jam sebelum taufan Kalmaegi melanda, kawasan sekitar Cebu City menerima 183 milimeter hujan, jauh melebihi purata bulanan 131 milimeter, menurut pakar cuaca Charmagne Varilla.
Pada Selasa, Gabenor wilayah, Pamela Baricuatro, menyifatkan situasi itu sebagai "tidak pernah berlaku sebelum ini,".
"Kami sangka angin kencang yang akan menjadi ancaman utama, tetapi sebenarnya air banjir yang benar-benar mengancam nyawa penduduk," katanya kepada media. - AFP
